Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman di Dewan Utama, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018

Beberapa hari lepas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasioan (PTPTN) dibawah kepimpinan Wan Saiful Wan Jan telah mengumumkan Potongan Gaji Berjadual (PGB). Skim PGB akan menggantikan skim bayaran terdahulu dan dikatakan ‘langkah terdesak’ demi masa hadapan anak-anak bangsa yang bakal melanjutkan pelajaran ke menara gading. Melalui hujah ini – jelas kerajaan langsung tidak bercadang untuk memberi pendidikan percuma, seperti yang mereka nyanyikan dalam manifesto PRU14.

Pengumuman PGB oleh PTPTN umpama tabung amanah pendidikan berevolusi menjadi Ah-Long, kepalah Ah-Long Malaysia baharu ini adalah Wan Saiful Wan Jan – penganut ‘libertarian’ yang katanya mahu menyelamatkan Malaysia. Dia mahu menyelamatkan Malaysia dengan menekan ‘middle class income’ dan semampunya membuang tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat dalam hal pendidikan tinggi.

 

Terlalu gopoh, tiada koordinasi

Saya cukup hairan dengan dua sabahat baik ini – Dr Maszlee dan Wan Saiful, mengapa orang yang tidak kompeten dan kurang berpengalaman seperti mereka diletakkan pada bahagian yang amat kritikal untuk pembangunan negara? Pagi ini saya membaca kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran yang mengatakan majikan tidak boleh memotong gaji pekerja sesuka hati. Perkara ini menunjukkan Wan Saiful sedang ‘paranoid’ untuk memeras wang dari peminjam sehingga terlupa untuk berbincang dengan kesatuan majikan yang akan terlibat dengan polisi ini.

Beberapa individu dalam Pakatan Harapan turut melahirkan kegusaran mereka terhadap PGB, secara umumnya saya melihat cuma Wan Saiful sahaja bermati-matian mempertahankan polisi ‘syok sendiri’ yang dia beli di pasar malam (gopoh, tiada kajian panjang). Saya fikir Wan Saiful mahu menjadi hero, malangnya dia sedang syok sendiri.

Besar keyakinan saya – skim PGB akan ditangguhkan atau ditukar kerana mendapat banyak kritikan daripada rakyat, politikus kerajaan dan pembangkang. Saya fikir itu tidak cukup, Wan Saiful harus segera dipecat/dipindahkan kerana dia bukanlah orang yang sesuai untuk menerajui tabung pendidikan rakyat, seseorang yang bijak dan faham denyut nadi peminjam diperlukan.

Keresahan peminjam yang konsisten membayar

Bagi peminjam yang telah membayar secara konsisten sebelum ini, mereka akan terkesan dengan PGB. Kadar bayaran mereka yang terdahulu akan berubah mengikut kadar yang ditetapkan pada jadual PGB. Perubahan ini mungkin tidak memberi kesan jangka masa pendek untuk graduan bergaji RM4,000 ke bawah, namun ia akan memberi kesan yang besar bagi peminjam yang bergaji lebih daripada itu.

Mereka akan mengalami masalah gaji yang akan kurang secara mendadak kerana terpaksa membayar lebih banyak melalui PGB – apa yang lebih gila, Wan Saiful mahu potongan itu bermula pada bulan hadapan! Bagaimana kumpulan pertengahan yang bakal mengalami potongan gaji yang besar boleh beradaptasi dalam tempoh yang terlalu singkat?

Walaupun Wan Saiful dengan penuh angkuhnya mengatakan PTPTN berhak untuk ‘mengubah’ skim bayaran, namun dia harus sedar PTPTN adalah pinjaman pendidikan yang akan dibayar dalam tempoh masa yang panjang. Skim PGB akan memperlihatkan potongan gaji kelompok pertengahan akan mengurangkan tempoh bayaran, manakala bagi kelompok bawah – ia umpama membayar ‘ujrah’ sehingga mati.

Hal-hal seperti ini perlu diperhatikan dengan lebih teliti supaya ia tidak memberi bebanan kepada peminjam, lebih-lebih lagi pinjaman pendidikan berbeza dengan pinjaman-pinjaman yang lain, pendidikan sepatutnya tidak menjadi ‘hukuman hutang’, ia adalah hak asasi manusia.

Kesan buruk Skim PGB terhadap pendidikan tinggi

Apabila skim PGB diperkenalkan, PTPTN secara halusnya telah bertukar kepada badan ‘peminjam’ yang lebih kurang seperti Ah-Long dan bank komersial – mempunyai kewangan yang kukuh kerana wujud ‘jaminan’ bayaran balik. Keadaan ini pastinya menggembirakan ‘peniaga pendidikan’ yang bakal membuka lebih banyak institusi pendidikan swasta (IPTS) secara semborono kerana ia akan memberikan keuntungan yang besar.

Kewujudan PTPTN merupakan lubuk emas untuk mereka, wang sudah tersedia – cuma perlu menyediakan platform untuk memeras wang itu. Saya tidak hairan jika selepas ini yuran universiti awam akan naik dengan zikir – hutang negara banyak, peruntukan pendidikan tinggi kurang, yuran perlu naik untuk masa hadapan anak bangsa, jangan khuatir; pinjaman PTPTN boleh dinaikkan untuk pelajar membayar yuran.

Malas berfikir, kaki hukum

Saya agak hairan dengan kumpulan yang datang dengan hujah – hutang tetap hutang, perlu dibayar. Mereka kerap generalisasikan peminjam malas membayar, dan menggunakan wang di tempat lain. Padahal soalnya tentang skim bayaran, bukan persoalan hutang. Oleh itu tidak salah mereka digeneralisasikan sebagai – kelompok yang malas berfikir, tidak faham persoalan asas masalah dan pembodek setia Pakatan Harapan. Tidak mustahil Pakatan Harapan akan rebah kerana isu PTPTN, kaki mereka dibentes pembodek setia.

By Editor

Leave a Reply