Lapan orang anak muda memilih untuk merayakan Hari Malaysia di atas lori “black maria” polis. Mereka merupakan 8 anak muda yang menjadi watak utama dalam demonstrasi Pandang ke Sabah di Kota Kinabalu. Salah seorang daripada mereka bermesyuarat di atas black maria dengan gari mengikat tangan dan baju yang koyak akibat pergelutan dengan pihak berkuasa. Seingat saya – ini bukanlah kali pertama demonstrasi berlaku di Kota Kinabalu, namun ia adalah kali pertama pergelutan anak muda dan pihak berkuasa berlaku.
Saya telah membaca 10 tuntutan mereka, semuanya mempunyai asas yang kukuh untuk diperjuangkan oleh rakyat saya dan perlu didokong oleh pemerintah baharu Sabah. Malangnya, mereka diladeni dengan cara yang salah – seolah-seolah kerajaan belum bertukar, bahkan lebih keras berbanding kerajaan sebelum ini.
Banyak bersabar, kerajaan masih baharu
Teringat saya tulisan seorang pegawai khas menteri yang mengatakan era baru bukan sahaja dinilai daripada pemuda yang berani tapi menteri yang berani berhadapan dengan demonstrasi. Dia juga mahu rakyat memahami proses transisi perubahan – mengikut pemahaman saya ia bermaksud banyakkan bersabar dan biarkan kami bekerja, kami tahu apa yang baik untuk anda. Ia berbunyi lebih lucu apabila tulisan itu merujuk aksi mahasiswa bertemu dengan menteri di restoran Amjal tempoh hari.
Menteri yang ketika itu datang dengan tidak bersedia (terbukti apabila mahasiswa bertanya apa harapan beliau untuk mesyuarat tersebut) dan hanya aksi memberi air mineral kepada mahasiswa yang selalu disebut-sebut pasukannya. Jika inilah yang dimaksudkan dengan menteri yang berani berhadapan dengan demonstrasi, bukankah ia amat melucukan?
Saya percaya penganjuran demonstrasi Pandang ke Sabah adalah manifestasi kemarahan anak muda Sabah kerana udara Malaysia baharu sepertinya masih sama dengan Malaysia lama. Bagi mereka yang mengikuti politik Sabah – walaupun kerajaan telah bertukar, watak-watak penting kerajaan sepertinya masih membawa mentaliti dan filosofi kerja yang sama. Bahkan ada diantara mereka bertukar warna dan pendirian untuk menubuhkan kerajaan.
Hal ini bererti walaupun kerajaan negeri Sabah bertukar, kemungkinan besar sepuluh isu yang dibangkitkan oleh penganjur Pandang ke Sabah akan kekal tidak diambil serius. Atas sebab inilah saya kerap mengatakan – kita bukan mahu perubahan individu semata-mata, tapi pada dasar, undang-undang dan institusi.
Loyalis Pakatan Harapan seperti Mat Jenin
Sejak Pakatan Harapan memerintah, saya mengikuti rapat kritikan atau soalan-soalan penting yang dilemparkan kepada kerajaan. Selalunya saya turut melihat komentar yang diberikan oleh pendukung PH. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila kita menjumpai pendukung PH yang mempunyai angan-angan Mat Jenin dan menolak mentah-mentah apa jua bentuk kritikan terhadap PH. Dalam kes demonstrasi Pandang ke Sabah, para Mat Jenin ini beranggapan ianya tidak perlu dan anak muda yang berhimpun adalah tentera upahan UMNO.
Pada dada para Mat Jenin penuh dengan ketaatan dan fanatik kepada PH, malangnya akal mereka kerap kosong. Bagi kumpulan ini – apa sahaja yang mengkritik Pakatan Harapan adalah datang daripada pihak pembangkang (Barisan Nasional atau PAS). Kebanyakan Mat Jenin enggan mengakui kewujudan “third force” yang selalunya diisi oleh anak muda atau NGO. Para Mat Jenin inilah yang akan membantutkan reformasi yang diidamkan rakyat Malaysia.
Reformasi Akta Perhimpunan Aman
Saya ingin memuji Syed Saddiq, Mat Sabu dan Nik Nazmi yang mengatakan rakyat harus diberikan hak untuk mengadakan perhimpunan aman. Namun sokongan daripada individu penting kerajaan sahaja tidak cukup, sudah tiba masanya Akta Perhimpunan Aman dipinda. Saya melihat masalah utama yang ada pada akta ini adalah permit polis dan permit tempat. Selalunya kedua-dua permit ini sukar untuk diperolehi apabila demonstrasi yang ingin dianjurkan bertentangan dengan pendirian kerajaan. Kemudian – kita juga sering berhadapan dengan masalah mendefinisikan “tempat awam”.
Adakah tempat awam ini dimiliki oleh kerajaan tempatan? Pada saya ia dimiliki oleh orang awam dan kerajaan tempatan hanyalah menyelia dan menguruskan bukan menjadi tuan kepada tempat tersebut. Hal ini bermaksud sepatutnya permit dari kerajaan tempatan tidak diperlukan untuk mengadakan demonstrasi.
Masalah permit demonstrasi harus diperhalusi, saya berpandangan perlu ditubuhkan satu badan bebas untuk menguruskan permit demonstrasi supaya pengeluaran permit akan berlaku dengan adil.
Jalan raya tidak pernah busuk
Jalan raya tidak pernah busuk, ia sentiasa akan menjadi tempat yang relevan apabila suara-suara rakyat enggan didengari penguasa. Amat malang jika mereka yang dahulunya pernah turun ke jalan raya mengatakan ia tidak lagi relevan kerana berkongsi angan-angan Mat Jenin.