1. Aku telah diminta oleh beberapa orang sahabat untuk menulis pendirian berkenaan Mahasiswa Barisan Nasional, Aspirasi, Penggerak atau mahasiswa Pro-BN.
2. Pertama sekali takziah atas kekalahan Barisan Nasional – kekalahan ini pastinya akan memberi kesan yang besar pada pergerakan kumpulan kalian.
3. Aku dan mahasiswa pro-BN UMK ada sejarahnya yang tersendiri. Ketika Pilihan Raya Kampus aku diserang bertubi-tubi. Tapi aku tidak punya masalah, itu sebahagian daripada proses politik kampus.
4. Ada masa-masa tertentu aku menasihati mereka melalui tulisan supaya tidak terlalu “partisan” – ia tidak baik untuk perkembangan diri dan persatuan mahasiswa.
5. Sejak kekalahan Barisan Nasional aku melihat kelompok pro-BN telah terbahagi kepada dua.
6. Kumpulan pertama setia dengan perjuangan mereka yakni akan berada di belakang Barisan Nasional. Kelompok yang kedua pula – menukar pendirian dengan memberi sokongan kepada kerajaan baharu.
Kelompok kedua boleh disaksikan di Universiti Malaya dan Universiti Tun Hussein Onn.
7. Beberapa hari lepas aku berhubung dengan Setiausaha Siswa Barisan Nasional (Peringkat Nasional) untuk bertanyakan pendirian mereka. Alhamdulillah mereka tetap berdiri teguh di belakang BN.
8. Bagi aku, tindakan ini wajar dipuji. Mereka tidak beralih arah hanya kerana “kuasa, kemewahan dan kemudahan” hilang bersama kekalahan BN.
9. Untuk kelompok kedua – yang secara tiba-tiba datang dengan hujah “kami sentiasa akan bersama kerajaan” adalah sesuatu yang memalukan.
10. Hal ini kerana ketika BN memerintah dahulu, kalianlah antara mahasiswa yang banyak menghabiskan masa “menghalalkan” tindakan universiti untuk menyekat mahasiswa yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
Kemudian, andalah yang sering dijadikan buah catur untuk memainkan peranan menyebarkan propaganda menyokong kerajaan dan membenci pembangkang.
11. Aku tahu kegusaran utama kelompok kedua ini – mereka bimbang akan dilayan sebagaimana “mereka dan universiti” meladeni mahasiwa yang “derhaka dan radikal”.
Jika anda benar-benar ingin mengubah haluan, maka pastikan ia kerana hujah yang munasabah.
12. Aku fikir mereka tidak perlu khuatir – sekiranya kerajaan Pakatan Harapan berlaku tidak adil kepada anda, maka pasti ramai mahasiswa yang kalian pertama katakan radikal akan membantu.
Lebih-lebih mahasiswa yang memang berpegang teguh pada prinsip membantu mahasiswa tanpa kepentingan peribadi.
13. Secara peribadi aku juga akan membantu semampunya jika anda dizalimi. Aku telah memberitahu Setiausaha Siswa BN, jika perlukan apa-apa bantuan – jika aku mampu, aku bantu.
14. Buat rakan-rakan mahasiswa yang lain – yang menang adalah Pakatan Harapan, bukan kita. Apa jua yang berada di masa hadapan masih terlalu kabur.
Dikhabarkan AUKU akan dihapuskan tapi ia tidak bermakna undang-undang yang akan menggantikan AUKU itu lebih baik.
15. Aku telah menghantar mesej kepada Saifuddin Abdullah menyatakan harapan semoga dia dipilih menjadi Menteri KPT. Bersama mesej itu aku sampai beberapa isu kritikal yang perlu dilihat. Moga dia sudi mendengar dan bertemu.
Akhir kalam, semoga mahasiswa pro-BN akan selalu melontarkan kritikan berasas kepada Pakatan Harapan. Begitu juga kita yang dahulu selalu mengkritik BN.
Kita tidak boleh berangan-angan semuanya makin mudah kerana Pakatan Harapan telah menang. Hakikatnya tidak begitu.
Rahman Imuda
Nadi Mahasiswa Malaysia