Berkaitan laporan New Straits Times ‘Malaysians are not saving enough for their children’s education’ oleh pengurus PTPTN, Abdul Ghafar Yusop, yang dikeluarkan pada 28 September 2018.
Kenyataan Abdul Ghafar Yusop yang mengatakan bahawa faktor (seperti gaji yang kurang) ibu bapa tidak dapat menabung untuk pendidikan anak, sebagai alasan menunjukkan pengurus PTPTN itu langsung tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang realiti kehidupan rakyat Malaysia. Ia membimbangkan apabila pegawai-pegawai badan berkanun kerajaan yang sepatutnya lebih arif dan mengetahui masalah-masalah rakyat memberi pandangan yang tidak selari dengan realiti kehidupan rakyat.
Faktanya, hutang isi rumah pada tahun ini, seperti yang dilaporkan di The Star Online pada 28 March 2018 dalam laporan ‘Bank Negara: Household debt grew moderately at 4.9%’ adalah 84.3%. Angka ini menunjukkan paras hutang yang ditanggung isi rumah rakyat Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau Asia. Dalam situasi sebegini, kerajaan yang sepatutnya memastikan gaji sosial yang secukupnya untuk setiap individu untuk memastikan taraf kehidupan yang berkualiti. Antara gaji sosial yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah pendidikan percuma dan juga berkualiti.
Abdul Ghafar Yusop juga tidak harus lupa punca asas seseorang berhutang untuk menimba ilmu di Malaysia. Mengikut laporan Bank Negara Malaysia ‘The Living Wage: Beyond Making Ends Meet’, pendapatan isi rumah bagi golongan B40 hanya meningkat 3.8% setahun antara 2014 sehingga 2016 yang pastinya tidak selaras dengan kenaikan kos harga barang dan rumah di pasaran Malayisa. Kebanyakan dalam kalangan B40 juga mempunyai pendapatan yang kurang daripada RM2700 (gaji yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia untuk seseorang pekerja capai taraf kehidupan berkualiti minima). Beban rakyat Malaysia pula masih sama dengan kenaikan RM50 dalam gaji minima yang tidak sekali selaras dengan kenaikan kos harga barang dan rumah di pasaran.
Rakyat juga terpaksa berhutang dengan institusi-institusi kewangan seperti bank-bank komersial dan PTPTN untuk menimba ilmu dan melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tertiari adalah kerana kos pendidikan institusi swasta yang menjual pendidikan bermotifkan keuntungan. Kementerian Pendidikan dan badan-badan berkaitannya seharusnya menganalisa dan mencari punca sesebuah masalah, bukan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas.
Pendidikan bukan satu perniagaan tetapi adalah salah satu hak asasi manusia. Perubahan yang sebenar dalam pendidikan hanya berlaku kalau seorang rakyat biasa dapat melanjutkan pendidikan tanpa kebimbangan tentang kos-kos berkaitannya. Ia adalah tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk memastikan peluang pendidikan sentiasa terbuka untuk rakyat yang hendak melanjutkannya dan memastikan sistem pendidikan tidak mendiskriminasikan rakyat berdasarkan status kewangan.
Gandipan Nantha Gopalan,
AJK Pemuda,
Parti Sosialis Malaysia.