Oleh: Abu Hurra
Bulan September ini merupakan bulan pendaftaran masuk mahasiswa dan mahasiswi ke Universiti Awam (UA). Jika dilihat secara puratanya, bilangan mahasiswinya mengatasi bilangan mahasiswa. Bahkan, kami mendapat khabar nisbah mahasiswa dan mahasiswi tahun satu di USIM adalah hampir kepada 1:4. Memberi erti bilangan mahasiswi adalah 75% daripada keseluruhan mahasiswa USIM bagi tahun pertama.
Ketidakstabilan jumlah ini sudah berlangsung lama, boleh dikatakan disemua Universiti Awam. Namun begitu senario politik kampus masih lagi berada ditahap yang sama. Suka penulis ingin mencadangkan suatu eksperimen politik buat mahasiswi terutamanya dalam hal politik. Dengan jumlah yang majoriti sebegini, mahasiswi mampu membentuk kehendak politik yang berkuasa dan kuat. Terutamanya soal keselamatan mahasiswi di Kolej Kediaman, Rumah Sewa dan di kawasan kampus sendiri.
Tsunami Mahasiswi
Oleh itu, “Tsunami Mahasiswi” Atau “Gelombang Mahasiswi” mesti dibangunkan. Bangunkan ia dengan menguasai pentadbiran Majlis Perwakilan Mahasiswa/Pelajar (MPP). Biar mahasiswi pula yang memimpin dan menjadi perwakilan mahasiswa. Ini lebih bertepatan dengan konsep perwakilan kerana mahasiswi telah mewakili kaum yang majoriti dikampus iaitu mahasiswi sendiri. Sudah berdekad mahasiswi dipimpin oleh mahasiswa. Tidak sedikit perwakilan mahasiswi diperlekeh dan diperlecehkan oleh mahasiswa dengan kata-kata, idea mahasiswi sebagai idea kecil dan teknikal.
Berapa banyak hati-hati mahasiswi yang terguris akibat keceluparan mahasiswa dalam mesyuarat? Bahkan terkadang mahasiswi dilayan tidak lebih hanya sebagai pembacuh kopi dan juga kerani dalam organisasi. Lebih malang, mahasiswi dijadikan tempat mahasiswa mengadu masalah organisasi dan masalah hati. Ini suatu diskriminasi mental yang tiada henti. Inilah masanya mahasiswi untuk bereksperimen. Tidak lagi bergantung dan bergayut dibulu ketiak sang mahasiswa. Sudah la tidak cukur, berbau pula. Jauh beza dengan mahasiswi yang sangat pandai menjaga kebersihan diri serta memberikan keharuman kepada persekitaran.
Parti Politik Mahasiswi
Nah, kemampuan mahasiswi jangan disekat lagi. Masanya sudah tiba, dengan jumlah yang majoriti dalam kampus dan kepimpinan yang hebat, mahasiswi bisa membangunkan Parti Politik Mahasiswi sendiri. Apatah lagi, saat ini Pro-M sudah terkubur kaku tanpa sebarang ganti. Maka, entiti politik mahasiswi lah yang akan membawa suara kaum majoriti (mahasiswi) dan kaum minoriti (mahasiswa) dalam kampus.
Bina parti politik yang Presidennya dari mahasiswi, Pengarah Jentera Pilhan Rayanya dari mahasiswi, semua calonnya adalah dari mahasiswi bahkan tukang pacak bendera dan tukang tampal poster juga dari mahasiswi. Semuanya hasil idea dan kretiviti mahasiswi. Dari Mahasiswi Untuk Mahasiswi. Ini tidak sukar kerana sebelum ini kebanyakan kerja-kerja teknikal politik ini dilakukan oleh mahasiswi, mahasiswa hanya tahu memberi arahan sahaja. Kali ini ianya sama sahaja, Cuma pemberi arahan dan pemikir strategi politik itu datang dari mahasiswi jua. Bukankah ini lebih memahami jiwa?
Fuh, jika mahasiswi mampu membangunkan parti ini. Suatu ukiran emas baru dalam politik kampus negara kita. Bahkan penulis kira barangkali inilah yang pertama didunia. Ukirlah namamu sebagai pembangun parti politik mahasiswi di kampus. Pasti kamu akan dikenang sampai bila-bila.
Eksperimen Awal
Mulakan dahulu langkah pertama, pasti ada yang mengekori dibelakangmu. Pilihan Raya Kampus (PRK) semakin hampir. Sudah tiada masa untuk tolak menolak.PRK 2017 akan menjadi medan, Parti Politik Mahasiswi pertama di Malaysia dibentuk dan masuk bertanding. Soal menang kalah itu, soal kedua. Namun, pandangan penulis. Parti ini mampu menyapu bersih kerusi perwakilan pelajar di kampus.
Ianya boleh dilakukan dengan beberapa strategi yang penulis akan kongsikan pada siri yang kedua nanti. Cuma hari ini, mahasiswi perlu tekadkan dalam diri untuk bangunkan satu Parti Politik Mahasiswi.
Apakah anda mahasiswi itu?
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengirim dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Nadi Mahasiswa.