Oleh; Maisarah Mohd Pauzi
Kita sedia maklum dengan kekecohan politik di Malaysia apabila Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Tun M sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PH menang. Sudah tentulah khabar ini mencetuskan kemarahan dan kejengkelan rakyat. Sepanjang sejarah politik di Negara kita, berapa ramaikah aktivis yang ditangkap, dipenjarakan, dipukul dan berapa ramaikah yang berkorban kerana laungan ‘Reformasi’ ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu. Alih-alih, kita melihat laungan ‘Reformasi’ dan ‘Hidup Tun’ dilaungkan bersama-sama. Malah, ‘dosa’ Tun M pada DSAI dianggap ‘luka-luka lama yang kecil’ saja!
Seandainya mesin masa itu wujud, dan aktivis politik serta rakyat yang turut ke jalanan dahulu dapat melihat situasi politik hari ini, pastinya mereka akan menyesal dan kecewa!
Alang-alang kita berbicara tentang Tun M yang tiba-tiba jadi pembangkang, dan tiba-tiba diangkat dijulang sebagai pemimpin utama mereka, mari kita patah balik dan soroti sejarah politik Negara kita. Pastinya, kebanyakan daripada kita masih ingat tentang sosok pengasas UMNO, iaitu Dato’ Onn Jaafar. Ironinya, Dato’ Onn jugalah yang menentang parti yang diasasnya sendiri.
Ahmad Boestamam, dalam bukunya ‘Datok Onn yang Saya Kenal’ menggambarkan Dato’ Onn sebagai ‘lawan dan kawan politik’ nya. Buku ini menarik kerana penulisnya pernah menjadi lawan politik Dato Onn, malah Dato Onn juga pernah terlibat dalam memenjarakan Ahmad Boestamam selama 7 tahun. Ahmad Boestamam menyatakan bahawa:
“Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO yang menggantikan Datuk Onn, secara langsung yang saya ketahui tidak terlibat dalam penangkapan dan penahanan saya di bawah kuatkuasa Undang-Undang Darurat tetapi Datuk Onn terlibat sebagai sifatnya Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri dalam pentadbiran Inggeris di Malaya ketika itu”.
Situasi Ahmad Boestamam ini seakan-akan DSAI yang dipenjarakan semasa pemerintahan Tun M dan Dato Onn pada waktu itu seakan-akan seperti Tun M ketika DSAI ditahan. Adakah sejarah politik ini membuktikan ahli politik sentiasa mengulangi sikap politikus terdahulu?
Dalam buku ini juga, Ahmad Boestamam menulis:
“Tetapi entah kenapa dan bagaimana mulanya Dato’ Onn (tunggal Parti Negara) ditempatkan di kanan Dr.Burhanuddin (PAS) seolah-olah dia merupakan Ketua Pembangkang yang sepatutnya dipegang oleh Dr.Burhannudin. Namun demikian tidak ada seorang pun dari kami – baik dari PAS atau Front Sosialis ataupun PP – yang mengemukakan bantahan kerana perlanggaran kebiasaan ini, seolah-olah susunan yang demikian kami terima dan setujui dengan sebulat suara.
Dan memanglah secara tidak rasmi Datuk Onn memainkan peranan Ketua Pembangkang ini.”
Dalam petikan tersebut, yang dimaksudkan sebagai ‘tunggal Parti Negara’ ialah Dato Onn merupakan satu-satunya Ahli Dewan Rakyat dari Parti Negara di Parlimen pada waktu itu. Bermakna, Parti Negara hanya ada seorang Ahli Dewan Rakyat iaitu Dato Onn tetapi beliaulah yang mengepalai barisan pembangkang. Situasi ini seperti Tun M sekarang, kan? Cuma bezanya, Tun M pernah jadi Perdana Menteri paling lama di Malaysia dan dah bersara tapi diangkat sebagai calon PM kalau pembangkang menang.
Baiklah, mari kita teroka lagi apa yang ditulis oleh Ahmad Boestamam tentang Dato Onn. Ahmad Boestamam juga menyatakan bahawa Dato’ Onn memang kuat menentang UMNO semasa menjadi Ahli Dewan Rakyat, dan beliau juga turut menyerang Tunku Abdul Rahman.
“Di suatu ketika bila dia menyelar Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri, Datuk Onn menggunakan kata-kata tamsilan yang kira-kira begini bunyinya: DI DALAM NEGERI DIA MENGAUM SEBAGAI SEEKOR HARIMAU TETAPI DI LUAR NEGERI DIA KELU SEBAGAI SEORANG YANG BISU atau dalam bahasa Inggeris yang digunakannya: IN THE COUNTRY HE ROARS LIKE A TIGER BUT OUTSIDE THE COUNTRY HE IS DUMBED LIKE A MUTE.”
Sekali lagi, kita dapat rasakan situasi ini seakan-akan berulang dalam arena politik zaman sekarang apabila Tun M menyerang Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak. Cuma bezanya, Tun M menyerang DS Najib selepas beliau bersara lalu menubuhkan parti baru, sedangkan Dato Onn menubuhkan Parti Negara sebaik saja beliau keluar dari UMNO.
Sejarah politik seakan-akan berulang, tapi dalam situasi yang berlainan. Cuma, apa yang hendak disampaikan dalam tulisan ini ialah, sudah sampai masanya kita buang jauh-jauh ketaksuban dalam menyokong mana-mana blok politik, kerana kita lihat sendiri bagaimana realitinya hari ini… Dari musuh utama menjadi calon PM, itulah pembangkang. Tentang parti politik yang membentuk kerajaan buat masa ini, kita sudah cukup celik dengan apa yang sudah berlaku dalam negara kita.
Akhirnya kita bertanya, apa nak jadi sebenarnya dalam negara ini? PRU-14, kita dalam dilemma, kerana kedua-duanya sama tapi tak serupa.