Terjemahan daripada The Socialist, “Capitalism and education”, 7 Ogos 2017
Sebelum wujudnya kelas masyarakat, pendidikan merupakan aktiviti komunal yang sangat berkaitrapat dengan kehidupan seharian, bersosial, bercerita dan ritual. Pengetahuan yang penting seperti jenis makanan yang selamat dimakan telah diperturunkan secara lisan dan secara berguru. Pembahagian masyarakat menjadi kelas dan bangkitnya ekonomi perhambaan kira-kira 10,000 tahun lalu telah mengubah asas pendidikan kita. Sejak itu, ia telah menjadi seakan gelanggang pertarungan kepentingan sesama kelas.
Kelas pemerintah asalnya sentiasa sengaja mengelakkan pendidikan yang lebih menyeluruh ke atas kelas yang lebih rendah. Salah satu kaedah yang membuktikan hakikat ini ialah pada zaman pertengahan Eropah, Gereja Katolik mempunyai kuasa yang ampuh ke atas masyarakat dengan membataskan akses kepada Bible. Hanya agamawan yang berpendidikan dan bangsawan boleh membaca Latin, jadi hal ini membolehkan mereka sesuka hatinya mentafsirkan Bible agar dapat meneguhkan kekuasaan feudal bangsawan mereka ke atas petani dan orang miskin.
Pada hari ini, kebanyakan sistem pendidikan yang ada tidak banyak berubah sejak 200 tahun lalu. Ini kerana ia lahir dari perkembangan kapitalisme dan telahpun dibina untuk keperluan kelas kapitalis dalam era industri baharu. Revolusi Industri pada mulanya memunculkan keperluan kemahiran dalam kalangan pekerja. Perkembangan pengurusan khususnya sejak abad ke 20 antara faktor yang amat penting di sebalik keperluan kemahiran membaca dan menulis.
Dalam manifesto Bolshevik bertajuk The ABC of Communism, Nikolai Bukharin dan Yevgeni Preobrazhensky (ahli teori Marxisme) telah menggariskan apa yang mereka lihat sebagai fungsi sesebuah sekolah di bawah kapitalisme.
Pertama sekali, mereka “menginspirasikan generasi pekerja baharu dengan ketaatsetiaan dan kehormatan untuk negara kapitalis”. Sekolah dilihat sebagai mesin propaganda dan sebuah institut latihan. Pelajar diajar untuk patuh: berbaris di luar kelas, jangan bercakap dalam kelas, pakai pakaian seragam yang betul, siapkan semua kerja rumah yang diberi, ikut arahan guru dan banyak lagi. Hanya sedikit ruang yang tinggal dalam kerangka ini untuk interaksi sosial atau mempelajari kemahiran hidup.
Sistem pendidikan juga mengajar pelajar untuk tidak berfikir secara kritis. Dalam kelas Sejarah, peristiwa-peristiwa yang memungkinkan anak muda mencabar status quo dikaburkan. Propaganda dipaksakan dalam bentuk ritual seperti menyanyi lagu kebangsaan di perhimpunan sekolah, atau di Amerika Syarikat, Pledge of Allegiance.
Fungsi kedua pendidikan di bawah kapitalisme ialah untuk menumbuhkan generasi kelas ‘pengurus’ yang baharu (dimaksudkan sebagai salah satu kelas masyarakat baharu). Sekolah swasta yang eksklusif untuk orang kaya melatih pelajarnya dari kecil untuk melihat dirinya sebagai pemimpin, layak mendapat kejayaan dan lebih baik dari semua orang. Mereka telah diasuh untuk mempelajari subjek seperti undang-undang dan bisnes. Kebanyakan mereka akhirnya menjadi kelompok majikan, bos, hakim dan ahli politik yang berwibawa kerana merasakan sistem ini bekerja untuk mereka.
Ketiga, majikan memerlukan tenaga buruh yang cukup mahir untuk melakukan kerja yang mencipta keuntungan buat mereka. Peranan utama ini diisi oleh sekolah beraliran vokasional, yang semakin lama telah berjalan atas dasar keuntungan. Terdapat juga keperluan untuk para pengkaji dan saintis yang boleh mencari pelaburan yang menguntungkan mereka, seperti teknologi dan kemajuan baharu yang memudahkan kapitalis bersaing sesama lain.
Oleh demikian, sistem pendidikan yang ideal untuk bisnes besar seakan serupa dengan apa yang telah berlaku pada hari ini. Masyarakat pergi ke sekolah awam dan kolej vokasional untuk diajar menjadi pekerja. Kanak-kanak yang kaya belajar di sekolah persendirian dimana mereka dibesarkan untuk menjadi Malcom Turnbull yang seterusnya. Di tengahnya, wujud lapisan pakar teknikal dan pengkaji yang semakin ditekan kerana desakan bisnes.