Oleh: Maisarah Mohamed Pauzi
Ramai yang sedia maklum bahawa sukatan pelajaran di sekolah rendah dan sekolah menengah sudah mula memperkenalkan subjek baru iaitu Sains Komputer. Walaubagaimanapun, ramai ibu bapa dan orang awam yang masih belum faham tujuan pengenalan subjek ini. Sememangnya tidak dinafikan sukatan pelajaran subjek-subjek sedia ada sudah cukup membebankan.
Tapi, usaha untuk memperkenalkan subjek ini juga ada sebab yang releven dan signifikan. Rata-rata dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum sedar tentang Revolusi Industri 4.0. Gelombang ekonomi baru ini akan menyebabkan banyak pekerjaan sedia ada terhapus. Sebagai contohnya, dengan pengenalan App Uber dan Grab saja sudah mengancam pendapatan pemandu teksi. Dalam masa yang sama, pekerjaan baru juga wujud. Misalnya, pengurus media sosial yang bertanggungjawab menguruskan page Facebook dan akaun Instagram syarikat untuk tujuan pemasaran(marketing) dan khdimat pelanggan(customer care).
Apa itu Revolusi Industri 4.0?
Berdasarkan rajah di atas, sudah tentu anda dapat gambaran serba sedikit apa yang dimaksudkan dengan Revolusi Industri ke-4. Teknologi yang semakin berkembang telah menyebabkan banyak pekerjaan digantikan dengan mesin. Perkara ini bukanlah baru kerana sebelum ini sudah wujud 3 gelombang sedemikian. Cuma, teknologi yang berkembang semakin pesat sehingga masyarakat perlu mengejar dengan lebih pantas dan menyebabkan mereka lebih panik berbanding revolusi industri sebelumnya yang mengambil masa lebih lama untuk mereka beradaptasi dan biasa dengan teknologi tersebut.
Revolusi Industri ke-4 akan lebih dahsyat lagi kerana mesin akan mengambil alih kerja manusia yang memerlukan deria manusia. Misalnya, mesin tidak dapat membezakan telur yang retak dengan telur yang calar. Jadi, buat masa sekarang, kilang telur masih menggunakan tenaga manusia untuk mengasingkan telur yang retak dengan telur yang calar. Sekiranya masalah ini sudah boleh diatasi oleh mesin, pekerja kilang telur akan digantikan dengan mesin. Itu baru satu contoh yang mengancam pekerjaan manusia biasa. Bagaimana pula dengan teknologi Artifical Intelligence yang lain?
Rajah di bawah menerangkan beberapa bidang yang akan dan sedang mendominasi dunia teknologi sekarang.
Kalau anda perhatikan kesemua bidang yang dipaparkan berkait rapat dengan Sains Komputer dan Kejuruteraan. Jadi, tidak hairanlah, Malaysia juga agak panik dalam menghadapi cabaran teknologi dan ekonomi ini. Kita agak ketinggalan dalam melaksanakan pengajaran Coding/Programming di sekolah. Pekerjaan baru yang akan menggantikan pekerjaan lama memerlukan kepakaran dalam bidang digital seperti ini.
Masalah dalam Pelaksanaan Pengajaran Coding
- Usaha ini memerlukan kos yang tinggi. Untuk mengambil guru-guru baru dari bidang Sains Komputer akan memakan bajet yang besar. Jadi, guru-guru sedia ada dihantar berkursus di IPTA selama beberapa bulan untuk belajar Coding.
- Guru yang sedia ada tidak cekap dalam bidang ini. Mereka juga bukan dari latar belakang bidang yang berkaitan. Dan mereka tidak mampu menarik perhatian pelajar dalam subjek ini kerana mereka sendiri tidak meminatinya.
- Sains Komputer lebih baik dijadikan Kelab Kokurikulum, bukan subjek dalam sesi Pengajaran & Pembelajaran rasmi.
Langkah Penyelesaian : Peranan Mahasiswa
Kita sedia maklum, setiap IPTA di Malaysia ada fakulti Sains Komputer. Dan fakulti ini bukan fakulti yang tak ramai pelajar! Jadi, mahasiswa turun padang, melalui kelab fakulti, pergi ke sekolah-sekolah dan ajar coding.
Mengapa Mahasiswa? Kerana mereka sudah ada skil dalam bidang ini. Selain itu, mereka lebih bersemangat, dan jarak umur antara pelajar sekolah dengan pelajar university lebih dekat dan rasa empati dalam diri mereka lebih tinggi. Kita memerlukan orang yang tepat dalam mengajar sesuatu perkara.
Dan, kerjasama antara Kelab Sains Komputer di university dengan Kelab Komputer di sekolah akan lebih menjimatkan kos. Pertama, kos ‘training’. Kedua, kos upah. Walaubagaimanapun, sekiranya ada pihak penaja, pelaksanaan ini akan jadi lebih mudah kerana dapat meringankan sedikit kewangan dalam pelaksanaan pendedahan sains computer kepada pelajar sekolah.
Semoga dengan membaca artikel ini, kalian dapat memahami cabaran zaman sekarang. Kita perlukan ramai ‘maker, bukan ‘user’ saja. Pendidikan adalah untuk masa depan dan jangka panjang. Jadi, janganlah terlalu skeptik. Kita masih ada jalan keluar, Cuma memerlukan kesedaran dan kerjasama untuk menjayakan tujuan kita ini.