Forum anjuran Kelab Bangsar Utama pada 15 Ogos yang lalu ini diilhamkan oleh sebuah kajian dari Kajidata Research yang menyatakan kecenderungan anak muda terhadap parti politik. Keputusan kajian menunjukkan bahawa 51.8 peratus anak muda tidak cenderung sama sekali terhadap parti politik. Peratusan dari kajian ini secara tidak lansung bakal memberi impak kepada PRU14 dari undi kelompok anak muda. Barisan ahli panel didatangkan dari pelbagai latar belakang yang berbeza iaitu Andy Yong (Parti Gerakan), Syukri Razab (AMK), Hisommudin Bakar (Ilham Centre) dan Anis Syafiqah (aktivis mahasiswa).
Antara kenyataan penting yang sempat dipetik sepanjang forum adalah dari Andy Yong yang lebih banyak mengupas punca ketidakcenderungan anak muda terhadap parti. Melihat kepada keadaan ekonomi yang mendesak, anak muda lebih banyak cenderung kepada sesuatu yang memberi hasil secara lansung kepada diri mereka seperti bekerja untuk gaji yang tinggi tanpa memikirkan hal-hal yang lebih besar yang mentadbir kehidupan mereka sehari-hari.
Parti perlu ambil serius isu anak muda
Hisommudin yang juga penganalisis politik turut menambah bahawa PTPTN masih menjadi isu penting kepada anak muda. Kos sara hidup yang menjadi masalah utama membawa kepada permasalahan yang lebih besar bagi anak muda untuk melunaskan hutang PTPTN mereka. Katanya, parti politik perlu mengambil serius isu ini yang sangat dekat dengan anak muda.
Sebagai anak muda, kita tidak boleh lari dari kenyataan ini bahawa kos sara hidup adalah punca mengapa kita tidak berminat memikirkan hal politik negara, tapi adakah ini jalan mudah yang sepatutnya anak muda ambil? Adakah memikirkan diri sendiri semata-mata adalah jalan keluar terbaik daripada permasalahan besar yang membelengu masyarakat? Adakah ini fungsi sebenar anak muda?
Tidak cenderung kerana kecewa?
Moderator forum turut mengajukan soalan kepada saudara Syukri Razab bahawa kekecewaan anak muda terhadap corak permainan parti -parti politik di Malaysia adalah serius. Jadi apakah kepastian bahawa parti politik boleh membawa ‘institutional reform’ kepada masyarakat? Soalan ini juga adalah ditujukan sebagai respons kepada kenyataan Anis Syafiqah bahawa “anak muda sudah muak dengan politik kerana terlalu banyak drama”.
Kekecewaan ujarnya adalah satu kebiasaan dalam politik dan jika anak muda sendiri tidak menunjukkan kredibiliti tiada benda yang sepatutnya diboikot. Tambah Syukri lagi, yang juga merupakan bekas aktivis mahasiswa di zamannya – “pada era yang hampir ada perubahan, boikot ini tidak patut dilakukan. Boikot adalah tanda protes, protes perlu disalurkan kepada premis yang betul”.
Anis Syafiqah banyak mengulas tentang hak mengundi atau memboikot adalah hak individu. Anak muda perlu kembali dengan satu gerakan yang mantap untuk menjadi ‘check & balance’ yang mampu mencabar ketirisan dalam parti- parti yang ada di Malaysia. Sebahagian anak muda tambah Anis, akan memboikot PRU14 dan sebahagian yang lain masih belum ambil tahu tentang politik negara. Jadi, anak muda yang lain bagaimana?
Sebagai anak muda yang hadir ke forum malam itu, saya merasakan gerakan anak muda perlu kembali kuat dan stabil. Anak muda perlu bersatu menjadi agen penggerak yang boleh menggertak kuasa pentadbiran yang kadangnya diseleweng individu atasan. Dengan kekuatan bakal menjamin kepastian bahawa perubahan bakal berlaku. Anak muda perlu sedar akan fungsinya kepada masyarakat. Kesedaran tentang kebergantungan kepada sesuatu kuasa (i.e parti politik) perlulah realistik dan tidak sepenuhnya.
Ketidakbergantungan secara total kepada parti tidak memberikan lampu hijau untuk kita tidak lansung menyokong agenda-agenda perubahan yang ingin dibawa parti politik. Keterlaluan memihak kepada sesebuah pihak juga memperlihatkan kita bagaimana anak muda tidak mempunyai prinsip yang teguh membantah ketirisan dalaman yang berlaku. Anak muda yang berjiwa bebas harus bebas bergerak dan berperanan dalam tatanan masyarakat yang luas dan sentiasa berubah.
Walaubagaimanapun, mengundi adalah satu perkara paling asas dalam mempraktikkan amalan demokrasi. Justifikasi memprotes perlu disaluti sebab yang kuat dan mendatangkan satu impak yang benar-benar besar kepada masyarakat. Jika kita, anak muda berfungsi untuk masyarakat – yang terbaik perlu dilakukan untuk masyarakat.
“Jangan ditanya apa yang negara bagi padamu, tanyakan apa yang negara ambil darimu”. Bangkit anak muda!