Apabila kita bercakap soal buruh ni, seharusnya kelompok yang harusnya paling memberikan perhatian adalah kumpulan mahasiswa – memandangkan mereka akan masuk ke industri sejurus bergraduasi. Malangnya, kita tidak melihat mahasiswa secara agresif masuk ke perbincangan pasaran buruh di Malaysia, walaupun mereka menyedari akan hakikat pekerjaan amat sukar didapati setelah mereka bergraduasi. Hal ini menyebabkan desakan-desakan positif terhadap pasaran buruh jarang didengar dan sering ditutup oleh persatuan majikan yang memiliki sumber yang lebih besar.

Satu kajian oleh Khazanah Research Institute memberitahu kita beberapa dapatan penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkepentingan dalam mengatasi cabaran graduan baharu dalam pasaran buruh.

Separuh graduan berjaya mendapatkan pekerjaan sebaik tamat pengajian. Analisis sepuluh tahun sejak 2010 hingga 2020 menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi, melebihi 75 peratus. Dari peratusan ini, separuh daripada graduan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh setahun selepas menamatkan pengajian.

Sejak 2012, jumlah keluaran tahunan graduan warganegara melebihi 200,000 orang dan separuh daripadanya berjaya dapatkan pekerjaan dalam tempoh setahun selepas tamatkan pengajian, manakala selebihnya memilih untuk sambung pengajian, menyertai program-program peningkatan kemahiran dan sebahagian kecilnya sedang menunggu penempatan pekerjaan.

Bagi tempoh 10 tahun kebelakangan ini, tiga daripada empat graduan hanya peroleh gaji permulaan di bawah RM2,000, menunjukkan struktur gaji permulaan graduan yang tak menunjukkan pertumbuhan yang positif. Malah, gaji rendah ini turut berkait rapat dengan kurangnya penciptaan pekerjaan berkemahiran dan struktur pekerjaan yang tertumpu kepada bidang separa mahir.

Peratusan graduan yang bekerja dalam kategori pekerjaan tetap dan sepenuh masa juga makin menurun dan hampir separuh bekerja dengan status kontrak atau separuh masa.

Dengan isu-isu pasaran buruh yang semakin mencabar ini, kumpulan mahasiswa seharusnya jadi suara yang kuat dan penting dalam perjuangan hak buruh di Malaysia.

Di Malaysia, ada saja gerakan aktivisme mahasiswa dalam hal hak-hak buruh dah berikan impak dalam membawa isu-isu buruh ke dalam perhatian awam dan mendorong perubahan yang penting. Mahasiswa ada mainkan peranan dalam memperjuangkan isu perlindungan pekerja, gaji yang adil, keadaan kerja yang selamat, dan hak asasi asas pekerja. Cuma, seperti yang kami katakan tadi, mereka perlu lebih serius dalam menangani isu pasaran buruh ini.

Ketika pandemik, salah satu hal yang kami perasan adalah mahasiswa turut vokal dalam memperjuangkan pekerja migran di Malaysia. Mereka telah angkat kesedaran tentang isu-isu yang dihadapi oleh pekerja migran, termasuk penindasan, eksploitasi, dan ketidakadilan.

Ada beberapa hal yang boleh dilakukan mahasiswa untuk isu ini

1. Memperkasa Pekerja: Aktivisme mahasiswa mainkan peranan penting dalam perkasakan pekerja dengan menyediakan platform untuk menyuarakan kebimbangan mereka terhadap isu-isu berkaitan pasaran buruh. Melalui kerjasama yang erat, aktivis mahasiswa menyokong pekerja dalam perjuangan mereka untuk dapatkan gaji yang lebih baik. Dengan menjadi pembesar suara kepada para pekerja, aktivis mahasiswa dapat membantu mewujudkan dinamik kuasa yang lebih seimbang antara majikan dan pekerja.

2. Advokasi Dasar: Aktivis mahasiswa perlu terlibat dalam advokasi dasar untuk mempengaruhi undang-undang buruh. Kumpulan mahasiswa perlu jalankan penyelidikan, mencadangkan dasar dan melobi untuk perubahan perundangan yang menggalakkan hak dan perlindungan pekerja. Usaha-usaha ini akan menyumbang kepada pembentukan dasar buruh yang mengutamakan layanan adil, peluang sama rata dan persekitaran kerja yang selamat.

3. Kesedaran Dunia Kerja: Aktivis mahasiswa memainkan peranan dalam promosikan persekitaran pekerjaan yang beretika dengan meningkatkan kesedaran tentang eksploitasi buruh dan menggalakkan rakyat memilih majikan yang memiliki reputasi yang bertanggungjawab.

4. Pendidikan dan Kesedaran: Aktivisme mahasiswa perlu menyumbang kepada meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai tentang hak-hak buruh. Mahasiswa perlu menganjurkan bengkel, seminar dan kempen kesedaran untuk mendidik rakyat seputar isu berkaitan pekerjaan dan majikan.

5. Kerjasama Antarabangsa: Aktivisme mahasiswa perlu merentasi sempadan dan memupuk perpaduan antarabangsa dalam kalangan organisasi pelajar dan buruh. Dengan bekerjasama dengan rangkaian global mahasiswa boleh bertukar-tukar idea, berkongsi kaedah terbaik dan menyokong hak buruh pada skala global. Kerjasama ini akan mengukuhkan suara kolektif dan kesan pergerakan perjuangan hak buruh di seluruh dunia.

6. Mempengaruhi Amalan Korporat: Para aktivis mahasiswa perlu pengaruhi tingkah laku korporat melalui kempen yang disasarkan dan beri tekanan kepada syarikat untuk amalkan undang-undang buruh yang adil. Beberapa aktiviti seperti menganjurkan boikot, protes dan meningkatkan kesedaran awam tentang syarikat yang terlibat dalam amalan buruh yang mengeksploitasi akan memberi galakkan kepada dunia korporat untuk mematuhi undang-undang buruh yang telah ditetapkan.

7. Perubahan Budaya Jangka Panjang: Aktivisme mahasiswa berpotensi untuk bawa perubahan budaya jangka panjang dengan mencabar norma dan sikap masyarakat terhadap hak-hak buruh. Dengan menyokong keterangkuman, kesaksamaan dan keadilan, mahasiswa membantu mengalihkan naratif mengenai hak pekerja dan membentuk semula pendapat umum.

Mahasiswa ada tugas yang berat

Isu pasaran buruh bukanlah isu yang boleh dipandang ringan, kerana ia melibat masa hadapan orang ramai. Masih banyak hal berkaitan penindasan buruh yang berlaku di industri, malangnya terlalu banyak kes yang tidak dilaporkan. Mahasiswa harus ingat, apabila mereka memperjuangkan hak-hak buruh, secara tidak langsung mereka sedang memperjuangkan hak-hak mereka apabila menjadi pekerja satu hari nanti.

 

Leave a Reply