Oleh: Azura Nasron
Sebelum ini, Mustafar Ali, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia telah mengumumkan berita permulaan Ops Mega 3.0. Ops Mega ini adalah untuk mengeluarkan semua pekerja tanpa dokumen/ pendatang asing tanpa permit/ PATI secara keseluruhan. Sayangnya berita ini telah tenggelam dalam kalangan masyarakat. Mungkin kerana isu pendatang asing jarang sekali dianggap sebagai isu hak asasi manusia oleh mereka. Namun, masyarakat berkemungkinan untuk menyukai tindakan yang dilakukan pihak kerajaan ini di mana kononya mampu mengurangkan kadar jenayah, memberi peluang lebih kepada pekerja tempatan dan sebagainya. Akan tetapi masyarakat sedikit pun tidak tahu dan sedar akan sebab dan punca kedatangan mereka tanpa dokumen ini. Ketahuilah, terlalu banyak sebab mengapa mereka berakhir di sini dalam keadaan tanpa dokumen dan akhirnya menjadi mangsa eksploitasi.
Pertama sekali adalah masalah pemerdagangan manusia. Malaysia mempunyai sejarah menjadi salah satu hub bagi pemerdagangan manusia daripada negara Myammar selain daripada Thailand, China, Korea Selatan, and Macau. Hasil pemerdagangan ini adalah bertujuan untuk menjadikan mereka buruh paksa dan mangsa eksploitasi seksual secara komersial. Bukan itu saja, Myanmar juga merupakan negara transit untuk menghantar pekerja dari Bangladesh ke Malaysia. Dikatakan hampir 1 per 3 masyarakat Myammar telah dihantar ke negara luar sebagai mangsa pemerdagangan manusia.
Perkara ini sebenarnya tidak asing bagi mereka. Kebanyakan mereka merupakan orang yang dihimpit kemiskinan. Kesulitan ekonomi dan peluang pekerjaan yang sangat terhad menyebabkan mereka tidak mempunyai sebarang pilihan lain. Malah dalam membicarakan pengetahuan dalam hak-hak mereka sendiri pun terhad. Maka, lebih mudah untuk mereka menjadi mangsa eksploitasi dan pemerdagangan kerana mereka tidak tahu dan tidak sedar tentang hak-hak yang mereka ada. Yang paling serius sekali adalah para pekerja wanita yang berpindah buat kali pertama tanpa sebarang destinasi atau apa-apa hubungan dengan sesiapa di negara luar. Mereka lebih terdedah untuk menjadi mangsa keganasan seksual.
Kedua, adalah masalah pekerja yang ditipu oleh pihak agensi. Ketahuilah, pihak-pihak agensi yang menghantar pekerja asing ini sedikit pun tidak dikenakan apa-apa peraturan atau tindakan jika mereka melanggar hak perkerja asing. Padahal merekalah punca kepada masalah penindasan ini. Selalunya ejen akan memberikan janji palsu berkenaan dengan proses mendapatkan permit dan pekerjaan di Malaysia. Mereka akan dijanjikan pekerjaan yang bagus, gaji yang tinggi dan kehidupan yang selesa selepas pulang ke tanah air kelak. Tetapi apabila pekerja asing ini sampai di Malaysia, bukan sahaja mereka mendapati bahawa kontrak, tempat pekerjaan, terma dan syarat mereka telah berubah, mereka juga diberitahu bahawa mereka telah melanggar undang-undang imigresen Malaysia dan menyebabkan mereka ditangkap dan ditahan.
Hampir setiap hari ada kes-kes baru yang menceritakan tentang penindasan yang terjadi kepada pekerja asing ini. Ada yang sudah menghabiskan belasan ribu semata-mata untuk datang ke Malaysia dengan janji gaji yang tinggi, tetapi akhirnya terpaksa bekerja dengan gaji RM900 tanpa sebarang dokumen. Sudahlah gaji kecil, mahu pulang ke tanah air sudah tiada duit, setiap hari bangun tidur dalam ketakutan hanya untuk memikirkan adakah hari ini diri akan ditangkap. Belum lagi cerita bagaimana mereka dilayan teruk semasa ditahan. Belum lagi cerita bagaimana keadaan tempat tidur mereka yang disediakan.
Ketiga, birokrasi dalam melakukan hal-hal dokumen ini mengambil masa terlalu lama dan rumit. Ada yang tunggu sehingga bertahun lamanya hanya untuk diakhiri dengan permohonan ditolak. Ada juga yang sudah membayar wang bagi dokumen-dokumen penting kepada ejen dan akhirnya ditipu. Tidak ketinggalan juga masalah rasuah dan ketidakcekapan dalam agensi penguatkuasaan sempadan antara pentadbiran dan pihak agensi. Namun, yang dikenakan tindakan nanti hanyalah para mangsa ini.
Akhir sekali adalah masalah antara pekerja dan majikan itu sendiri. Banyak kes pekerja terpaksa melarikan diri kerana bebanan dan penindasan terhadap diri yang begitu berat. Ada yang majikan suruh bekerja di dua tempat seperti pagi di bengkel, spa atau restauran dan malam pula untuk menyelesaikan hal-hal rumah majikan. Kerja lebih 12 jam sehari tanpa disediakan makanan atau wang tambahan dan lebih buruk adalah semua dokumen penting disimpan oleh majikan supaya pekerja tidak melarikan diri.
Banyak lagi sebab mengapa mereka akhirnya menjadi PATI ini. Mungkin ini adalah empat sebab utama. Apa pun terlalu banyak sebenarnya perkara yang kita masih belum mendengar dan memahami. Namun hanya dengan melihat kita sudah menghukum mereka semua. Sikap kerajaan seharusnya mendidik masyarakat. Bukan hanya dengan mengajar masyarakat erti hukuman dan undang-undang. Sikap kemanusiaan lah yang menjadikan kita manusia. Mangsa-mangsa ini juga manusia.
‘Jenayah’ yang mereka lakukan adalah untuk mencari harga diri dan kehidupan yang manusiawi. Kebanyakan kerja yang dilakukan pekerja asing ini adalah kerja-kerja yang disifatkan sebagai 3D (bahaya, kotor, dan sukar) – pekerjaan yang rata-rata dijauhi masyarakat tempatan. Masyarakat harus cakna dan bijak kerana ada beratus ribu di kalangan kita juga pekerja asing yang setiap hari menyebarang ke Singapura hanya untuk mencari sebuah kehidupan yang lebih manusiawi. Realitinya, layanan kerajaan ke atas mangsa sistem yang menindas ini masih sama walaupun kita sudah ada ‘kerajaan baru’. Di manakah kita di sisi kemanusiaan?