PKP TERLALU BOSAN? HIDUPKANNYA DENGAN AKTIVITI!

 

Pada 25 Mac 2020, hari Rabu yang lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dipanjangkan sehingga 14 April bagi menangani wabak Covid-19 ini. Justeru, amat penting bagi kita semua untuk duduk di rumah dan tetap menjaga kesihatan fizikal dan mental sepanjang tempoh tersebut. Dalam tempoh pelaksanaan PKP seminggu yang lalu juga, ramai yang sudah tidak senang duduk dan mula merasakan “Cabin Fever” bukan?

 

APA ITU “CABIN FEVER”?

 

Ia merupakan suatu keadaan di mana seseorang merasa bosan, letih bahkan boleh membawa kepada simptom-simptom lain kerana terlampau lama berada di dalam suatu ruang tertutup atau terpencil. Ada beberapa situasi yang boleh menyebabkan seseorang itu merasai “cabin fever” ini seperti berada di dalam musim sejuk, berada di dalam tempoh pengasingan (seperti yang kita hadapi sekarang), mahupun mereka yang terperangkap dalam situasi keganasan rumah tangga.

 

Antara kesan “cabin fever” ini ialah seseorang mungkin merasa amat letih, susah untuk menumpukan perhatian, lesu, kerap tidur, mudah marah, dan ketidakmampuan untuk mengatasi stres. Ini adalah disebabkan kurangnya stimulasi mental hingga boleh mengganggu fungsi kognitif seseorang. Sekiranya situasi ini tidak dihadapi dan diuruskan dengan baik, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih teruk seperti depresi dan kemurungan.

 

PENJAGAAN KESIHATAN MENTAL SEMASA PKP

Kesejahteraan mental sebenarnya boleh terganggu semasa kita menghadapi tempoh PKP ini sekiranya kita tidak menguruskan dan menyusun masa kita. Di sini, ingin saya kongsikan beberapa perkara yang boleh kita lakukan di rumah dari tiga sudut iaitu fizikal, mental/emosi dan spiritual.

 

MENTAL & EMOSI

  • Tetapkan target harian anda

Anda boleh menyediakan To-Do list harian anda dan pangkahkan setiap kali anda berjaya lakukan satu-satu tugasan itu. Ini akan memberikan satu kepuasan kepada diri dan menambahkan lagi semangat untuk lakukan perkara lain pula.

 

  • Lakukan aktiviti yang merangsang otak

Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah bermain permainan atas talian atau muat turun aplikasi tertentu di telefon pintar anda. Tetapi awas! Anda tetap perlu mengehadkan penggunaan telefon pintar atau screen time anda untuk mengelakkan kerja lain tergendala dan mungkin sakit kepala akibat terlalu lama menghadap skrin. Selain daripada permainan yang terdapat di dalam gajet, permainan board game juga boleh merangsang otak di samping dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan bersama ahli keluarga, bergelak ketawa. Tidaklah rasa tepu sangat, kan?

 

  • Ambil angin di luar rumah

Rancanglah pergerakan anda di rumah. Pastikan anda bergerak ke pelbagai ruang, jangan hanya terperap di dalam bilik ya! Jika anda tidak dapat atau tidak mahu keluar, sekurang-kurangnya bukalah tingkap dan pandanglah keluar untuk mendapatkan sedikit udara segar.

 

  • Berhubung dengan orang lain 

Ingat, kita hanya mengamalkan penjarakan sosial dan bukannya penjarakan emosi. To be socially distanced doesn’t mean to be emotionally detached. Di ruang masa yang ada, hubungilah ahli keluarga dan rakan-rakan anda. Ceritakan hari anda dan luahkan perasaan. Ini sedikit banyak akan mengurangkan rasa kesunyian kerana terperangkap di dalam ruang yang sama. Anda juga dapat berkongsi cerita perkembangan masing-masing sekaligus akan membuatkan anda berasa seperti dicas tenaganya!

 

  • Mengehadkan screen time

Tidak salah untuk menggunakan media sosial, namun perlu dihadkan penggunaannya untuk menjaga kesihatan. Tambahan pula terdapat banyak berita palsu mengenai wabak Covid-19 ini. Kalaupun ia adalah daripada sumber yang sahih, hadkan sumber bacaan anda mengenainya. Lebih-lebih lagi sekiranya anda mengalami kecelaruan kebimbangan, ini akan membantu anda untuk lebih relaks dan kurangkan trigger anda.

 

  • Belajar sesuatu yang baru

Manfaatkan masa yang ada ini dengan mencuba perkara baru. Anda boleh belajar Bahasa atau melukis doodle ringkas. Pendek kata, cari sahaja di perisian Google apa yang anda ingin belajar. Mahu mencuba pelbagai resipi baru dan viral juga boleh. Dah cuba buat Dalgona Coffee?

 

FIZIKAL

  • Kekalkan pola pemakanan yang normal

Banyak masa di rumah tidak bermakna anda hanya boleh menjadikan makan sebagai aktiviti sepanjang hari ya. Kawal pemakanan anda dan makanlah pada waktunya. Dikhuatiri kita mahu mengelak daripada virus ini tetapi terjebak pula dengan obesiti.

 

  1. Senaman ringkas

Ada pelbagai senaman yang boleh dilakukan. Menari, workout yang mudah dan sebagainya. Dengan melakukan senaman ini akan mengeluarkan hormon endorphin yang akan membuatkan kita rasa gembira. Ini dapat membantu kita mengurangkan rasa tepu dan sunyi. Berat badan pun tidaklah naik mendadak kan?

 

SPRITUAL

  1. Tingkatkan kualiti ibadah, gandakan amalan sunat

Jika di hari biasa kita adakalanya melakukan solat dengan cepat dek kerana mengejar masa, di masa lapang ini manfaatkanlah dengan menghayati bacaan solat dan tadabbur ayat-ayat tilawah kita. Laksanakanlah qiamullail dan pohonlah kepada Allah moga wabak ini segera diangkat dan semoga kita diberi ketabahan melalui ujian ini. Anda juga boleh melakukan aktiviti seperti solat berjemaah, bertilawah, sesi tazkirah dan usrah samada bersama keluarga, mahupun bersama rakan secara atas talian.

 

  1. Banyakkan berdoa

Selain berdoa untuk wabak ini segera berakhir, panjatkanlah juga doa buat barisan hadapan yang bertungkus lumus menguruskan wabak ini. Doakanlah mereka yang dijangkiti agar segera pulih dan doakan juga supaya semua rakyat Malaysia bersabar dan bersatu menghadapi wabak ini dan kesannya pada masa akan datang.

Akhir kata, jagalah kesihatan mental kita sepanjang tempoh PKP ini. Ia sangat penting untuk kita menjadi lebih kuat bagi menghadapi kesan-kesan selepas PKP terutamanya dalam hal-hal berkaitan ekonomi, samada ekonomi negara mahupun ekonomi keluarga. Hanya dengan kesejahteraan mental, kita akan kuat untuk menghadapinya.

Dan patuhilah arahan Perdana Menteri kita untuk ‘stay at home’. Kerana akhirnya semua itu adalah untuk kebaikan kita bersama.

 

Rujukan:

https://www.verywellmind.com/cabin-fever-fear-of-isolation-2671734

https://www.humblewarriortherapy.com/blog/cabin-fever-how-to-care-for-your-mental-health

 

Nur Shazleen R. Samsul Bahari

Aktivis Persatuan Belia Harmoni Universiti Malaya

 

Leave a Reply