Pertandingan Tik Tok: Sudut Pandangan Mahasiswa Pasca Siswazah

 

Susulan inisiatif yang dikeluarkan oleh YB Menteri (YBM) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu Dato Noraini Ahmad pada 8 April 2020 yang lalu menimbulkan kebimbangan semua pihak terutamanya mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kerana pertandingan ini hanya disarankan kepada mahasiswa-mahasiswa IPT. Persoalannya, adakah ini sebagai salah satu solusi untuk mengisi masa mahasiswa semasa tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP)?

Dari sudut pandangan seorang mahasiswa pasca siswazah yang kini di tahun akhir Doktor Falsafah, usul ini mencemarkan imej KPT serta ia mencabuli Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tangungjawab KPT untuk menjaganya sebagai garis panduan KPT sendiri. Memetik Falsafah Pendidikan Kebangsaan,

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Sehingga kini, pemerhatian saya mendapati bahawa perkembangan intelektual mahasiswa tidak seiring dengan kecanggihan aplikasi moden yang tercipta khususnya media sosial. Malah ia lebih memberi kesan buruk, apabila mereka cenderung untuk mewujudkan satu pemisah antara diri mereka serta keprihatinan terhadap keilmuan, aktivisme serta perkembangan potensi diri. Oleh yang demikian, sejauh mana aplikasi Tik Tok ini boleh membantu perkembangan potensi mereka? Adakah YBM KPT sedang menjalankan uji kaji terhadap mahasiswa seperti tikus-tikus makmal?

Dalam penyelidikan, mengenalpasti masalah adalah perkara yang paling utama. Dalam kes ini, terdapat masalah makro yang boleh dijadikan tumpuan KPT seperti kebajikan mahasiswa yang menetap di kampus dan sekitar kampus, status pembelajaran mahasiswa termasuk mahasiswa pascasiswazah,  capaian jaringan jalur lebar untuk pembelajaran di atas talian serta keboleh pasaran graduasi tahun akhir di pasca PKP atau pasca musim Covid-19 disaat ekonomi seluruh dunia terjejas. Masalah mikro seperti makanan yang diberi kepada pelajar sedap atau tidak bukan yang paling utama.

Kemudian, gariskan objektif bagi menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, masalahnya adalah capaian jaringan jalur lebar bagi pembelajaran di atas talian,  objektifnya adalah menkaji pemberian jaringan jalur lebar percuma dan menkaji keberkesanan pembelajaran di atas talian. Kemudian, skop kajian serta metodologi akan dijalankan. Disinilah, bahagian yang paling sukar dalam penyelidikan iaitu kajian kualitatif serta analisis segala dapatan. Mereka berlatar belakang sains sosial lebih mahir menjalankan kajian kualitatif, sebagai mahasiswa berlatar belakang jurusan kejuruteraan kimia hanya menjalankan kajian di makmal sahaja.

Tindakan YB Menteri tidak boleh sekadar cadangan semborono tanpa isi, ia mencerminkan kelemahan sosok yang penting dalam mencetak mahasiswa yang berketrampilan sebagai pelapis pemimpin pada masa hadapan. Di peringkat IPT,  perkara ini boleh dibincang secara lumat kerana merekalah yang lebih memahami gerak kerja serta budaya mahasiswa, manakala diperingkat YBM pula perlu menganalisa setiap usul yang diberikan dan memutuskan dengan kadar segera. Kerjasama pihak atasan serta pentadbiran IPT pasti boleh membuah solusi yang lebih efektif dan mampu menjana pemikiran intelektual mahasiswa. Tempoh PKP boleh dijadikan satu peluang untuk meyuburkan semula budaya keilmuaan yang semakin layu dikalangan mahasiswa, kempen #Malaysiamembaca satu usul mikro yang berimpak tinggi.

 

Norfazliana binti Abdullah

Pelajar Tahun Akhir

Doktor Falsafah Kejuruteraan Kimia

Universiti Teknologi Malaysia

Mantan Naib Pengerusi Persatuan Pasca Siswazah Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga.

Leave a Reply