MASS GATHERING & “BOM JANGKA” COVID-19

 

Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia mencatat penambahan yang sangat drastik pada 14 Mac 2020, di mana jumlah kes positif pada tarikh tersebut mencapai angka 242 dengan peningkatan sebanyak 21% berbanding sebelumnya. Angka tersebut semakin bertambah pada hari berikutnya dengan penambahan sebanyak 76.8% kes positif yang direkodkan ketika itu. Sebahagian besar kes positif yang dikesan adalah berkait rapat dengan satu Perhimpunan Tabligh yang diadakan di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari sehingga 3 Mac 2020. Perhimpunan ini dilihat sebagai “bom jangka” bagi penularan wabak Covid-19 di seluruh negara ketika itu. Perkara ini terjadi apabila berlakunya perhimpunan melibatkan ramai orang atau mass gathering di sesuatu tempat di mana ada antara peserta yang telah dijangkiti virus tersebut.

Hal yang sama juga turut berlaku di beberapa negara lain termasuk Perancis, Amerika Syarikat dan Korea Selatan di mana acara atau program- program yang melibatkan orang ramai telah menjadi “bom jangka” bagi penularan wabak Covid-19. Berikut merupakan antara mass gathering yang menjadi punca utama penularan wabak Covid-19 di beberapa negara termasuk Malaysia:

 

  1. Malaysia : Perhimpunan Tabligh, Masjid Sri Petaling.

Menurut laporan akhbar The Star pada 13 Mac 2020,perhimpunan yang berlangsung antara 27 Februari sehingga 3 Mac 2020 di Masjid Sri Petaling ini melibatkan seramai 16000 peserta dari seluruh negara dengan seramai 14500 peserta tersebut berasal dari Malaysia. Segalanya bermula apabila seorang peserta Warga Brunei yang telah kembali ke negaranya disyaki positif Covid-19 setelah pulang dari program tersebut, menjadikan ianya kes pertama Covid-19 di Brunei. Hal yang sama juga berlaku apabila beberapa Jemaah Tabligh yang telah pulang ke negeri masing-masing turut menunjukkan simptom-simptom telah dijangkiti Covid-19. Sehubungan dengan peningkatan drastik jumlah kes positif Covid-19 ketika itu, kerajaan telah mengambil langkah untuk membatalkan sebarang acara melibatkan orang ramai. Selain itu, sebarang acara keagamaan seperti Solat Jumaat dan Solat Berjemaah di masjid-masjid turut dibatalkan.

Menurut laporan media The Malaysian Insight pada 26 Mac 2020, menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham menjelaskan sebanyak 55% kes positif Covid-19 yang berlaku di Malaysia berkait rapat dengan Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling pada awal Mac lalu.

 

  1. Perancis : Mulehouse Gathering

Pada mulanya, keadaan di Perancis agak terkawal apabila hanya 12 kes positif Covid-19 dicatatkan pada penghujung Bulan Februari. Segalanya bermula apabila kes pertama Covid-19 direkodkan pada 29 Februari yang dikatakan mempunyai kaitan dengan perhimpunan keagamaan di sebuah gereja di Bandar Mulehouse di bahagian Timur Perancis. Perhimpunan keagamaan yang berlangsung selama lima hari ini telah mengumpulkan lebih 1000 orang penganut Kristian dari pelbagai negara.

Menurut Laporan Media Reuters pada tarikh 30 Mac 2020, perhimpunan keagamaan ini telah menjadi penyumbang kluster terbesar kes positif Covid-19 di Perancis. Sebanyak 2500 kes positif Covid-19 di negara itu dikatakan berkait rapat dengan perhimpunaan keagamaan atau Mulehouse Gathering itu.

Selain itu, perhimpunan ini juga dikatakan mempunyai kaitan dengan beberapa kes positif  Covid-19 di beberapa negara termasuk negara-negara Afrika Barat seperti Burkina Faso, Kepulauan Mediterranean dan Switzerland. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Jerman telah mengambil langkah untuk menghentikan sementara pergerakan bebas keluar masuk di sempadan Jerman-Perancis.

 

  1. Amerika Syarikat: Cabo Spring Break 2020

Menurut Laporan Akhbar The New York Times pada 2 April 2020,seramai 70 orang pelajar dari University of Texas telah menghadiri Program Cabo Spring Break 2020 bagi menyambut cuti musim bunga di Mexico. Setelah pulang ke Austin, Texas seramai 44 orang dari pelajar tersebut disahkan positif Covid-19.

Perkara ini berpunca dari sikap pelajar- pelajar tersebut yang mengambil remeh berkenaan perintah berkurung di Amerika Syarikat berikutan penularan wabak Covid-19. Kebanyakan dari mereka menganggap bahawa hanya warga tua sahaja berpotensi tinggi untuk dijangkiti wabak Covid-19 berbanding dengan orang muda.

 

  1. Korea : Perhimpunan Keagamaan di Shincheonji, Church of Jesus

Shincheonji, Church of Jesus atau turut dikenali sebagai Temple of Tabernacle of the Testimony merupakan sebuah kuil bagi penganut- penganut fahaman Kristian Shincheonji yang terletak di Bandar Daegu di bahagian Selatan,Korea Selatan, Menurut laporan dari Korea’s Centres for Disease Control and Prevention (KCDC), mereka menyifatkan perhimpunan keagamaan yang berlaku di kuil tersebut sebagai punca utama penularan wabak Covid-19 di Korea Selatan pada penghujung Februari lalu.

Menurut laporan Media Reuters pada 20 Februari 2020, sebelum terjadi penularan yang berpunca dari kuil di Bandar Daegu tersebut, kes-kes positif Covid-19 yang direkodkan di Korea Selatan, kebanyakannya berpunca dari individu yang mempunyai rekod perjalanan ke China atau mempunyai kontak rapat dengannya.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pertahanan Korea Selatan telah mengambil langkah untuk mengharamkan sebarang perhimpunan yang melibatkan orang ramai di Bandar Daegu ketika itu seterusnya menghalang mana-mana kmpulan atau individu untuk meninggalkan rumah mereka.

Berdasarkan perbandingan kes-kes Covid-19 yang berlaku di beberapa negara di atas dapatlah kita simpulkan bahawa wabak Covid-19 ini tidak mengenal agama mahupun bangsa.Tidak perlu membuat tuduhan yang mengatakan wabak ini adalah balasan Tuhan terhadap sesuatu negara atau sesuatu kaum mahupun menuding jari terhadap mana-mana kumpulan agama. Tugas kita sebagai seorang masyarakat yang bertanggungjawab adalah untuk mematuhi segala arahan kerajaan buat masa ini.

Amalkan penjarakan sosial, utamakan kebersihan diri serta patuhilah arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Duduk di rumah dan marilah kita bersama-sama berganding bahu bagi memutuskan rantaian Covid-19. Semoga Malaysia pulih sepenuhnya dari wabak yang menakutkan ini.

 

NOORHASLINA

SUARA MAHASISWA UTHM

 

 

 

 

Leave a Reply