Oleh: Rien Sd
“Dalam politik hanya yang berani membawa perubahan, justeru diingati. Yang takut membuat pendirian jelas dan tidak memiliki keyakinan untuk menghujahkan pendiriannya akan dilupakan” (Khalid Jaafar, IKD)
Tulisan ini secara tidak langsung adalah respon kepada sebuah debat anjuran Demokrat Universiti Malaya (UM); Debat Politik Anak Muda: Partisan vs Non-Partisan. Saya menonton rakaman penuh debat ini yang dimuat naik dalam youtube, sehari selepas program.
Saya kira, ini eksperimen berani oleh Demokrat UM bagi melacak semula wacana alternatif (alternative discourse) kalangan mahasiswa dan memikir ulang pendirian anak muda dan gerakan-gerakan mahasiswa dalam ranah politik dan aktivisme khususnya, samaada dalam kampus ataupun ruang sosial.
Ketika Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) membuat rumusan kelam kabut dan jilat ludah sendiri, menolak gerakan mahasiswa ala kepembangkangan sebelum-sebelum ini dan menawarkan gaya politik baru- Budaya Baru Politik Mahasiswa (BBPM)- yang menolak keras gerakan ala anarkis; yang anti hierarki, tiada tanzim dan tidak berbai’ah kepada amir kampus (seperti tradisi kebiasaan Jemaah Islam Kampus), wajarlah kumpulan mahasiswa seperti Demokrat UM menukang semula mesin tua (yang dipelopor oleh orang-orang tua, politikus-politikus tua) yang mengoperasikan pemikiran mahasiswa (atau lebih khusus gerakan mahasiswa).
Namun, tulisan ini bukanlah untuk menyarung pingat kepada Demokrat UM atau menyembur ludah kepada GAMIS. Jauh daripada itu, saya kira, kita (anak muda dan mahasiswa- kerana bagi saya anak muda tidak semestinya mahasiswa-mereka sama dan akan bertemu-tetapi lapangan aktivisme mereka menawarkan cara yang berbeza) perlu berani berterus terang samaada kita seorang non-partisan atau anti parti politik?
Partisan, Non-Partisan & Aktivisme
Istilah partisan dan non-partisan ini sudah terlalu lama diperdebatkan kalangan anak muda dan mahasiswa. Istilah ini menawarkan sebentuk identiti yang akan digembleng ketika mencebur diri ke dalam dunia aktivisme. Maka ianya perlu jelas dan tiada lagi kekaburan agar pembawakan aktivisme kalangan anak muda dan mahasiswa tidak seperti lalang di padang.
Seorang atau sebuah gerakan yang partisan; berpartisipasi dalam politik kepartian atau juga seorang atau sebuah gerakan yang memiliki gerakan induk iaitu parti politik. Kita tidak perlu terlalu ruwet (merumitkan) makna partisan ini, bahkan dalam debat politik anak muda itupun, yang mewakili pendebat partisan adalah daripada Parti Bersatu dan Parti PAS.
Dalam rakaman debat tersebut, pada minit 03:58, rujuk https://youtu.be/qxKA7Ic4dXY, Syed Sadiq (pendebat partisan/parti Bersatu) mengatakan bahawa perubahan yang besar akan berlaku dengan mengikuti parti politik- bertanding dan menang- dapat duduk dalam parlimen kemudian berpeluang menggubal dasar/polisi negara yang opresif.
Saudara-saudara, nampaknya gerakan partisan adalah gerakan yang gagal membawa agenda aktivisme yang sebenar. Aktivisme mereka adalah tentang “put the votes in the ballot”. Ketika mereka menang (atau parti politik mereka menang), maka kita perlu melutut menagih sebuah perubahan sosial dan bersiap-siap untuk bebas daripada rejim tirani yang despotik.
Bahkan, gerakan partisan ini mengajak anak muda non-partisan, yang altenatif untuk membawa masuk semangat progressif anak muda ke dalam politik kepartian untuk mengubah suasana politik (political environment)- dengan gaya politikal- from up to bottom. Apa mereka buta dengan pengamalan sistem parti hegemonik- pemusatan kuasa kepada satu parti politik- di Malaysia hari ini? Adakah suara progresif anak muda- selepas berkompromi- mujarab untuk merawat diktator dan autokratiknya ahli dan parti politik di Malaysia?
Nampaknya, untuk sebuah perubahan (yang bullshit seperti yang ditawarkan oleh gerakan partisan), maka kita perlu menjadi tukang sorak dan tukang kempen agar mereka menang dalam pilihanraya kemudian menyinga membawa suara murbawan dalam parlimen. Mereka berjanji untuk menjadi wakil rakyat yang tidak ponteng dan tidur dalam parlimen. Inilah tawaran elit politik kita yang sangat canggih.
Namun, bezanya dengan non-partisan hanyalah tentang partisipasi politik kepartian. Seorang atau sebuah gerakan yang non-partisan adalah aktivis bebas atau gerakan bebas daripada pengaruh politik kepartian. Selalunya mereka ini, berwajah NGO, NGI, komuniti indipenden dan lain-lain yang sifatnya alternatif.
Cuma, saya masih keliru samaada debat anjuran Demokrat UM itu sebuah debat politik anak muda atau debat politik mahasiswa. Perdebatan mereka seputar gerakan mahasiswa non-partisan, keperluan mahasiswa menolak budaya partisan dan kegagalan mahasiswa yang berpartisipasi dalam politik kepartian. Sekali sekala mereka menyebut tentang anak muda.
Saudara-saudara, saya kira label non-partisan ini adalah istilah malu-malu kucing oleh mahasiswa (atau anak muda). Kita perlu jelas, beza di antara “tolak mahasiswa partisan” dan “tolak anak muda partisan”. Penolakan mahasiswa kepada budaya partisan (dalam konteks gerakan mahasiswa), tidak sama dengan penolakan mahasiswa kepada budaya partisan (dalam konteks anak muda). Mahasiswa perlu sedar, aktivisme bukan hanya beroperasi dalam kampus- samaada aktivisme yang politikal atau intelektual- di luar kampus bahkan, setelah mahasiswa meninggalkan dewan kuliah mereka, menanggalkan jawatan dalam organisasi kampus, mereka juga perlu meneruskan agenda aktivisme dan komited dengan matlamat perubahan sosial.
Mahasiswa perlu bersikap dengan sikap yang sama kepada budaya partisan. Menolak budaya partisan di kampus sama dengan menolak budaya partisan di luar kampus. Sekalipun mahasiswa menjadi figura aktivisme dan front-line gerakan mahasiswa di kampus, sekiranya mereka menumpang kasih dalam parti politik ketika di luar kampus, ianya sebuah tragedi ngeri bagi budaya aktivisme anak muda di Malaysia. Sebentuk sindrom- sindrom kuasa- dan perjuangan mereka inilah yang bersifat kelalang-lalangan.
Selagi tiada klaim berani penolakan budaya partisan- dalam dan luar kampus- oleh mahasiswa (gerakan mahasiswa), maka bersiaplah kita “budak-budak pressure group” ini, menjadi mandom dan pekerja hegemoni setelah bergraduasi. Aktivisme yang sepatutnya sebagai third force, kuasa pengimbang, membuat kerja-kerja pemberdayaan (empowerment), menjadi alternatif kepada masyarakat akan menjadi gagal dan pincang apabila berada di tangan mahasiswa-mahasiswa malu-malu kucing ini.
Mereka- partisan dan non-partisan- berbicara tentang azimat yang sama, tentang perubahan sosial dan menawarkan sebuah projek pembaikan kepada struktur sosial yang berwajah rejim. Namun, anak muda dan mahasiswa yang tidak jelas pendirian, sekejap non-partisan sekejap partisan, dan terbelenggu dengan sindrom kuasa dan pangkat inilah yang sangat berbahaya.
Anti parti politik yang saya maksudkan bukanlah mengintai dan membongkar dosa-dosa peribadi politikus atau menolak segala yang datang dari lidah mereka (walaupun sebahagian mereka lidah bercabang dua), kerana ini bukan budaya politik idea, akan tetapi sebuah penegasan dan penolakan berani gerakan mahasiswa dan anak muda untuk tidak mengakhiri budaya aktivisme kepada politik kepartian. Walaupun sebenarnya- bagi sebuah demokrasi- tiada masalah untuk seorang aktivis memilih untuk menjadi partisan. Tapi, pendirian ini adalah pendirian sebuah mimpi ngeri kepada aktivis dan gerakan sivil yang terjun dalam gelanggang partisipasi sosial.
Gerakan Alternatif & Anti Parti Politik
Di luar kampus hari ini, yang kurang (bahkan seingat saya, langsung tidak disentuh oleh pendebat non-partisan dalam rakaman tersebut), ada banyak gerakan alternatif yang digerakkan oleh anak muda sivil. Mereka tidak lagi (kerana jelas berpendirian) mengulang-ulang debat anak muda partisan vs anak muda non-partisan. Kerja mereka adalah memberdayakan anak muda, mengangkat politik idea (merentas politik kepartian), menyusun wacana tanding kepada wacana arus perdana (yang established), menawarkan pendidikan alternatif dan melahirkan ramai lagi intelektual marjinal yang berbahasa dengan bahasa kaum (masyarakat) mereka.
Mereka ini tidak bicara dalam parlimen- tidak mengaut ribu riban elaun seorang dewan rakyat- tetapi beroperasi dalam masyarakat dengan memakai gerakan non-profit. Menjadi anak muda yang tercerahkan (yang tidak sekadar politikal), menjawab panggilan seorang pemikir dan aktivis sepenuh masa.
Kuasa inilah yang selalu diendahkan oleh elit-elit politik. Manusia bernilai di mata mereka, hanya yang sanggup menghadiahkan pangkah dalam pilihanraya. Kuasa ini masih dan akan terus berlegar dalam ruang sosial- di luar kampus. Tiada kompromi kepada parti politik- kerana semua baruah ini akan berwajah tirani, hanya menunggu masa mereka memegang kuasa- anti parti politik pada makna tidak akan mengimani kuasa (merebut state) sebagai satu-satunya jalan menuju perubahan sosial (social-reform). Tidak akan terjangkit dengan penyakit sindrom kuasa, pangkat dan kedudukan.
Tentang alternatif perubahan yang ditawarkan oleh gerakan-gerakan anak muda sivil ini adalah kesedaran politik, kesedaran kelas, pendidikan politik, dan pemberdayaan. Saya tidak dapat menerima logik kumpulan partisan atau politikus kita yang mengatakan ubah pemimpin kemudian ubah masyarakat. Bukankah masyarakat yang rosak nanti akan memilih pemimpin rosak- seperti menteri-menteri kita hari ini?