Perkara yang kedua adalah mengenai keberadaan intelektual di dalam setiap lapisan masyarakat. Disesuaikan dengan keadaan anak muda yang terpisah oleh ideologi, aku boleh simpulkan bahawa kehadiran intelektual dalam setiap kelompok ideologi yang berbeza perlu ditekankan. Azhar Ibrahim di dalam bukunya Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi menyatakan bahawa cendekiawan perlu untuk memiliki rasa perpaduan yang tinggi, dan cendekiawan tidak harus untuk berpihak kepada mana-mana kepentingan dan juga kepentingan peribadi.
Karl Manheim juga menyatakan bahawa kemampuan bagi memahami golongan yang berbeza adalah aset yang paling berharga pada cendekiawan itu. Suka untuk aku menyamakan intelektual dan cendekiawan ini sebagai sosok yang lebih kurang sama, iaitu sebagai jambatan di antara masyarakat-masyarakat yang terpisah. Dalam konteks ini, lapisan masyarakat yang diperkatakan oleh Gramsci adalah pecahan anak-anak muda yang dipisahkan ideologi mereka. Walaubagaimana pun, bagi menyatupadukan dan menghakis budaya politik ini, setiap satu daripada kelompok ideologi itu harus mempunyai intelektual dan cendekiawan mereka tersendiri, agar mereka dapat menjadi jambatan kepada pecahan-pecahan kelompok yang berbeza seterusnya membentuk kesatuan di bawah naungan yang sama, iaitu anak muda.
Disesuaikan dengan fungsi cendekiawan itu sendiri, melalui semangat kesepaduan yang tinggi dan sifat empati yang dalam ini, maka kebergantungan sesama anak muda dan membentuk suatu circle yang lebih luas, tidak hanya tertumpu kepada kelompok mereka sahaja. Hasil daripada ini, perkongsian daripada pengalaman mereka akan menjadi pertembungan dengan hegemoni budaya yang berlaku, seterusnya mampu untuk memadamkan binaan sosial tiruan ini dengan perpaduan yang mereka punyai.
Soalan yang kedua pula adalah mengenai kehadiran kelompok elitis yang sering mendominasi politik perdana di negara ini. Seperti biasa kita boleh lihat bahawa sosok kehadiran kelompok elitis di dalam politik perdana di negara ini adalah perkara biasa. Wang dan politik mempunyai perkaitannya yang kemas dan rapat di dalam politik. Kita boleh lihat di dalam struktur pilihanraya itu sendiri, di mana bagi setiap calon yang bertanding, memerlukan deposit wang sebanyak jumlah yang ditentukan, dan wang tersebut akan dikembalikan walaupun mendapat undian hanya sebanyak satu per lapan sahaja. Itu tidak lagi ditambah dengan jumlah yang yang diperlukan bagi menjalankan kempen bagi menghadapi pilihanraya tersebut.
Secara logiknya, bagi orang yang berpendapatan rendah, mereka tidak mempunyai wang yang secukupnya bagi menyertai pilihanraya dan wang yang ada hanyalah difikirkan cukup untuk meneruskan kehidupan. Sesuai dengan apa yang diperkatakan oleh Syed Husin Ali, bahawa budaya feudal ini telah wujud sebagai neofeudal, sebagai suatu nilai yang terbentuk kembali dalam keadaan dan suasana yang baru. Budaya yang dikonstruk ini tidak dapat diubah melainkan terdapatnya peruntukan sejumlah besar wang bagi orang-orang biasa ini. Hal ini menerangkan perkaitan di antara wang dan penglibatan oleh orang-orang biasa di dalam arena politik.
Tambahan pula, sejarah menunjukkan bahawa kehadiran golongan elit di dalam politik pra-merdeka dilihat sebagai karismatik dan mempunyai kredibiliti yang tinggi, maka oleh itu kita dicorakkan dengan budaya dan sejarah yang kita bawa sehingga ke hari ini. Pujian seharusnya diberikan kepada PSM (Parti Sosialis Malaysia) yang menampilkan orang-orang biasa seperti petani, tukang gunting rambut dan tukang urut. Walaupun penempatan calon-calon tersebut merupakan suatu perkara yang tidak diyakini, namun di sebalinya perlu dilihat mesej yang cuba disampaikan. Mereka bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia yang mana sebenarnya sesiapa sahaja layak untuk bertanding, yang difikirkan layak. Kelahiran calon-calon pilihanraya daripada golongan bawahan mampu untuk membawa suara-suara tertindas mereka ke atas dan kita tidak harus membiarkan kelompok elitis ini bercakap bagi kelompok bawahan ini. Mengimbau kembali forum Lanskap di TV1, yang menampilkan Dr. Mohamed Abdul Khalid dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, yang mana Dr. Mohammad Shatar seringkali menyalahkan kelompok kolar biru dan ke bawah ini dengan mengatakan bahawa mereka harus mengubah sikap dari segi perbelanjaan dan penjimatan. Apakah kaitannya sikap sekiranya membuat perkhidmatan Uber merupakan suatu kebiasaan bagi menambah punca pendapatan.
Tambahan pula saranan daripada seorang ahli politik yang melegitimasikan rakyat marhaen supaya melakukan lebih dari satu kerja dalam satu masa. Ini merupakan suatu cubaan bagi mencipta satu budaya baharu bagi menutup tekanan ekonomi yang berlaku terhadap rakyat bawahan, dengan memetik sekali lagi pendapat Gramsci bahawa penindasan yang berlaku sebenarnya bukan sahaja daripada sudut ekonomi, tetapi juga dari sudut budaya. Pada aku, aku tidak bersetuju kerana ia menunjukkan bahawa mereka sebenarnya tidak memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat kerana tidak berada dan dilahirkan di dalam kelompok rakyat marhaen. Oleh itu, suara-suara kelompok pekerja ini sangat diperlukan bagi membetulkan tanggapan mereka dan kerana mereka mempunyai pengalaman serta pemerhatian empirikal yang lebih deep di dalam masyarakat kebanyakan.
Kesimpulannya, perlawanan budaya amatlah penting bagi menentang hegemoni budaya yang berlaku. Hegemoni budaya tersebut sering kali membuatkan kita tidak sedar akibat daripada rutinisasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Kesedaran haruslah wujud supaya perubahan di dalam masyarakat dapat dijalankan. Kehadiran intelektual, cendekiawan dan aktivis sangat diperlukan bagi membebaskan masyarakat daripada belenggu yang terus mencengkam pemikiran rakyat kebanyakan.
Bacalah, dan lakukan perubahan supaya setiap daripada kita menyedari tentang apa yang berlaku di sekeliling kita, bukan hanya sekadar menunggu perubahan untuk berlaku. Kadangkala, Tuhan sengaja tidak mahu memberi peluang kepada kita, oleh kerana Dia mahukan kita sendiri untuk bertindak dan mendekati peluang tersebut. Semoga cengkaman budaya ini dapat kita bebaskan dan perubahan yang positif dapat kita capai demi membangunkan negara yang tercinta.