Oleh; Anonymous Hensem

Baru-baru ini, aku berkesempatan untuk menjadi panel bagi sebuah forum yang bertajuk “PRU 14: Mahasiswa Pilih Siapa”. Terima kasih dan sekalung penghargaan aku ucapkan buat sahabat-sahabat yang sudi mengizinkan aku untuk menjadi panelis bagi forum tersebut. Banyak yang aku pelajari daripada sahabat-sahabat panelis yang lain, juga daripada audiens yang sudi bertanya soalan. Ia sedikit sebanyak membuka mata dan mencerahkan pancainderaku sendiri. Namun, pada kali ini aku tidak berniat untuk mengulas lanjut mengenai isi kandungan forum tersebut, tetapi aku lebih tertarik untuk mengembangkan beberapa persoalan dan isi yang aku terlepas pandang dan tidak berkesempatan untuk meluahkan ketika sesi tersebut berlangsung.

Anak muda, ya, itulah kita semua. Pemuda dan pemudi yang juga merupakan sebahagian daripada warganegara yang tercinta ini. Anak muda merupakan warisan yang bernilai dan juga aset bagi sesebuah negara. Kecaknaan anak muda dan perhatian mereka sangat diperlukan bagi memajukan sesebuah negara kerana idea-idea mereka merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian khusus, kerana anak muda pada hari ini minda mereka sudah terbuka. Aku yakin bahawa kebanyakan anak muda kini lebih berfikiran terbuka, dalam konotasi yang positif, dan juga lebih matang dalam membuat keputusan.

Akan tetapi, beberapa persoalan yang diajukan semasa sesi forum berlangsung membuatkan aku terus berfikir pada hari ini. Soalan yang pertama adalah tentang kedudukan anak muda pada hari ini di dalam arus politik perdana. Secara umumnya, setiap anak muda mempunyai ideologi mereka yang tersendiri. Ada yang lebih berminat kepada pendekatan Islamis, ada yang lebih suka untuk mengekalkan status quo, dan ada juga yang memikirkan bahawa pendekatan liberal lebih sesuai, serta anak muda yang menyatakan bahawa pendekatan sosialis lebih sesuai.

Melihat kepada kedudukan dan pegangan mereka yang fragmented, soalan pertama yang diajukan oleh seorang audiens sangat membuka mata dan mindaku, iaitu bagaimana untuk menyilangkan ideologi yang terpasak di dalam fikiran mereka supaya mereka lebih bersatu. Sebelum itu, aku terlupa untuk menyatakan bahawa salah satu isi kandungan forum tersebut adalah berkenaan dengan politik arus perdana yang kebanyakannya masih dipelopori oleh ‘otai-otai’ di dalam arena politik negara ini. Aku fikir bahawa disebabkan pecahan-pecahan ideologi inilah, maka anak muda masih lagi menurut telunjuk ‘otai-otai’ politik ini, salah satunya disebabkan pengaruh yang dibawa oleh setiap tokoh masing-masing menurut idea yang dipegang oleh anak muda.

Budaya ini terbawa-bawa sehingga kini oleh kerana tiada kesedaran dalam kalangan majoriti anak muda menyebabkan nilai kedudukan politik bagi anak muda sangat terhad. Ini merupakan suatu penindasan terhadap suara-suara anak muda kerana mereka seharusnya bersuara demi golongan mereka, dan kejanggalan itu berlaku apabila ‘otai-otai’ ini sahaja yang bersuara demi anak muda, sedangkan mereka tidak berada di dalam situasi anak muda tersebut, dan kurang sesuai sekiranya orang yang berumur bercakap bagi anak muda, sepertinya anak muda itu masih lemah, tidak kompeten, tidak mampu untuk berdiri sendiri dan tidak matang.

Perkara ini seharusnya memberi satu tamparan yang hebat kepada anak muda kerana ia seolah-olah merendahkan kedudukan anak muda di dalam politik arus perdana. Suatu kesedaran harus timbul dalam kalangan anak muda kerana mereka seharusnya difikirkan layak untuk membuat keputusan sendiri tanpa bantuan senior politik.

Walaupun begitu, bukan mudah sebenarnya untuk menimbulkan kesedaran ini melainkan mereka bersolidariti untuk mengubah budaya politik terlalu pragmatik ini. Terdapat dua perkara yang diperkatakan Antonio Gramsci yang ingin aku petik secara mudah di sini, iaitu ilmu adalah penting bagi pembebasan sosial dan intelektual itu harus berada di dalam setiap lapisan masyarakat. Jika mengikut konteks yang dibincangkan, dengan menggunakan kerangka idea Gramsci, menurutku ilmu yang dimaksudkan adalah kecaknaan, empati dan pembacaan.

Ketiga-tiga elemen ini adalah penting bagi pembebasan sosial (perubahan budaya) supaya anak muda mempunyai ruang yang luas di dalam politik perdana. Pembacaan yang luas mampu menyedarkan sekalian anak muda tentang apa yang berlaku. Ilmu yang didapati melalui pembacaan berupaya untuk memberdayakan tenaga dan fikiran mereka supaya menjadi lebih matang dan bijak di dalam berpolitik. Pembacaan bagiku sangatlah penting bagi mewujudkan kesedaran tentang bagaimana sebenarnya mereka ini berada di landasan yang kurang tepat.

Kesedaran tersebut seterusnya mampu membentuk empati terhadap nasib anak muda yang lain, tentang nasib mereka yang hanya disuruh dan seterusnya menimbulkan kecaknaan bagaimana mereka harus berubah dan mengubah budaya politik ‘otai’ ini. Apabila lengkap ketiga-tiga elemen ini, aku sangat yakin bahawa walau apa pun ideologi yang digenggam kemas, kesepaduan dalam kalangan mereka juga akan berlaku berakar daripada istilah anak muda. Seterusnya anak muda akan berusaha mencorakkan budaya politik baharu bagi mendapatkan ruang di dalam pembuatan keputusan.

By Editor

Leave a Reply