PENGURUSAN HOLISTIK DATA AGENSI KERAJAAN, SOLUSI KEPADA PERMASALAHAN PTPTN
Saya mengambil maklum bahawa Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan telah melancarkan satu konsultasi nasional mengenai mekanisme bayaran balik pinjaman pendidikan dua hari lalu. Saya yakin bahawa ini adalah suatu inisiatif yang akan berjaya untuk meningkatkan penglibatan rakyat dan secara khususnya belia di dalam proses pembentukan dasar negara.
Namun begitu, bagi pendapat saya apa-apa mekanisme bayaran balik pinjaman yang akan dilaksanakan tidak akan berjaya jika PTPTN tidak dapat untuk mengenal pasti di antara peminjam yang tidak mampu untuk membayar balik pinjaman pendidikan mereka dan peminjam yang tidak mahu membayar balik pinjaman pendidikan mereka.
Berdasarkan perbincangan yang telah diadakan di antara Angkatan Muda Keadilan dan Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan pada bulan Disember lalu, salah satu masalah yang telah dikenalpasti di dalam perbincangan tersebut adalah berkenaan dengan kekurangan kerjasama berkaitan perkongsian data di antara satu agensi kerajaan bersama agensi-agensi kerajaan yang lain.
Situasi ini diyakini telah menyebabkan proses perkongsian data di antara PTPTN dan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna walaupun ianya adalah di antara kaedah yang terbaik bagi membolehkan PTPTN mengenalpasti kebolehan untuk membayar balik pinjaman pendidikan seseorang peminjam. Situasi ini bukan unik di PTPTN sahaja malah hampir semua agensi-agensi kerajaan.
Era moden ini membawa pelbagai cabaran baharu yang akan hanya boleh diatasi jika kerajaan bersedia untuk bergerak seiring mengikuti arus teknologi dan kemodenan dunia. Saya yakin masalah yang kini dihadapi oleh PTPTN boleh diselesaikan jika keputusan yang di buat oleh pihak pentabiran adalah berdasarkan maklumat yang tepat dan lengkap. Satu sistem pengurusan data yang holistik di antara agensi-agensi kerajaan berkaitan harus diadakan segera bagi membolehkan kerajaan mencapai objektif ini.
Na’im Brundage
Ketua Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan