Penubuhan Kesatuan Pelajar : Wadah Baharu v Kesilapan Sama

Acara yang dirasmikan penuh gilang-gemilang ditambah lagi dengan kehadiran YB Menteri Pendiidkan ini menjadi penanda aras kepada pembaharuan yang dicanangkan. Ia lantas menjadi wadah mahasiswa yang selama ini digambarkan seperti tidak bebas dalam membuat keputusan kepada sesuatu rencana buat mahasiswa. Oleh yang demikian, harus kita sama-sama telusuri, adakah ini sebuah kejayaan atau hanya masih propaganda yang dijual atas nama kebebasan?

Sebagai salah seorang wakil mahasiswa partisan yang hadir, saya kira ini adalah satu usaha sia-sia yang hanya akan merugikan RM 100,000 yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi satu pembangunan yang tiada erti kerana masih berpisah tiada dengan idea yang sudah sedia kala. Sebab itu saya percaya, bahawasanya, kerajaan Malaysia Baharu ini adalah hanya sebuah kerajaan yang masih tidak ubah seperti tikus membaiki labu. Usahlah ikutkan desakan kumpulan picisan yang tidak pernah signifikan kepada mahasiswa. Seperti mana yang telah dilakukan ketika zaman saudara Hishamuddin Rais yang pada akhirnya terkubur jua, mengapa tidak kita belajar dari kesilapan ini?

Saya tidak faham, bukankah orang tua-tua pernah berkata, pengajaran terbaik yang seseorang boleh untuk pelajari adalah daripada kesalahan kisah lalu. Benar, ketika itu, banyak tragedi yang membelenggu sehingga wujud akta drakonian yang menyekat kebebasan mahasiswa namun itulah yang perlu bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan terjamin. Dek kerana terlalu emosi dan menyebabkan huru-hara, membuktikan mahasiswa ini bukan agen matang dalam menilai yang mana kaca, yang mana permata. Mungkin ini adalah sebuah pembaharuan yang diinginkan oleh mereka yang liberal tetapi saya percaya ini hanya sekali lagi pengulangan kesalahan yang diketuai oleh YB Maszlee Malik yang masih degil untuk tidak mempelajari kesilapan yang pernah dilakukan dahulu kala.

Dengan janji autonomi kepada mahasiswa supaya suara mahasiswa dapat disatukan dan didengari. Persoalan saya, adakah selama ini, tiada satu suara pun yang tidak didengari oleh universiti? Kejam sangatkah rejim administrasi universiti sehinggakan kebajikan mahasiswa tergadai dan dipinggirkan. Kononnya diumumkan diberikan RM 100 000 tetapi itu hanyalah omong kosong yang disebaliknya hanyalah wang yang diperuntukkan kepada pembangunan pelajar yang telah diberikan. Kasihan Kesatuan Pelajar UIAM, bagai pungguk rindukan bulan.

Usah menjadi manusia dungu yang mendambakan kebebasan tanpa kita sedar bahawa tidak semua perkara perlu untuk kita perolehi. Berdabik dada biarlah until kebaikan semua, bukan hanya individu yang memperjuangkan sesuatu yang tidak langsung diendahkan oleh mereka yang digelarkan sebagai penuntut menara gading. Saya sedikit gusar pada tahap manakah kemampuan kesatuan pelajar yang mampu membawa perubahan sedangkan masih lagi terkapai-kapai dalam mencari mekanizma terbaik kepada apa yang diperlukan bagi menjalankan method pembaharuan ini.

Usah kita sibuk inginkan budaya yang dijalankan oleh orang luar yang sudah pernah dibuktikan tidak bersesuaian untuk dijalankan di Malaysia.

 

Nabilatul Husna

Mahasiswa Nasional

 

Leave a Reply