Baru-baru ini saya berkampung di Taman Ilmu dan Budaya bagi menikmati semangat demokrasi pada era yang dikatakan ‘baharu’ ini. Saya meletakkan harapan yang tinggi dalam kita cuba membawa kebebasan bersuara. Lebih-lebih lagi penganjur utama program ini gemar untuk melaungkan semangat kebebasan bersuara. Mereka dikatakan mengangkat semangat untuk mahasiswa bebas dalam ber-akademik, saya kira itu asas kepada pergerakan mereka. Namun, mereka hanyalah sekumpulan pelajar yang tidak pernah mahu menyantuni dan hanya mahu menjadi “rebel” semata-mata di universiti. Setakat hanya berdemo di hadapan kementerian, mengangkat plakad untuk jangan mengundi MPP tetapi mahu menjadi pembuat keputusan kepada sistem pendidikan.
Jika dalam konteks Malaysia ‘baharu’ kita amat mementingkan metrokasi – apa metrokasi yang mereka miliki untuk menjadi tunjang pemansuhan/pindaan AUKU? Terlalu rendah; mereka cuma mampu ‘bising-bising’ sehingga mendapat perhatian Menteri Pendidikan, kemudian kenyang setelah diberi habuan daripada kementerian. Saya tidak pasti jika mereka sebenarnya pernah duduk dalam organisasi universiti secara serius atau dipilih menjadi wakil pelajar dalam Pilihan Raya Kampus.
Apabila Tikus Cuba Membaiki Labu
Cukup aneh apabila mereka menjadikan maki-hamun sebagai budaya tanpa ada satu refleksi intelektual kepada budaya kebebasan bersuara, adalah suata kedangkalan yang tidak patut terjadi dan membentuk mahasiswa. Konon menjual idea, “kami terbuka” tetapi masih dengan keputusan tanpa mahu mendengar mahupun menghormati pendapat orang lain yang berbeza. Ada sahaja perkara yang mahu dipertikaikan, ini adalah contoh mudah pseudo-liberal; mereka katanya mahu menghormati kebebasan bersuara dan berpandangan, tapi selagi ia selari dengan pandangan mereka.
Menidakkan hak mereka yang menghadiri tanpa membenarkan kami untuk mempertahankan hak yang bersuara dan menuduh kami membuat kacau adalah tindakan yang tidak berpengalaman dan menyerlahkan lagi betapa mereka ini bukanlah kumpulan yang layak untuk menerajui perubahan. Mana budaya inklusif yang anda canangkan selama ini?
Sedih saya melihat Kementerian Pendidikan Malaysia melantik sekumpulan mahasiswa pemberontak yang tidak pernah menjadi Majlis Perwakilan Pelajar tetapi hanya tahu mencari salah tanpa mewujudkan solusi kepada masalah. Tidak pernah mengangkat sumpah menjaga kebajikan majoriti tetapi hanya sibuk duduk di belakang papan kekunci dengan mendengar cerita karut yang dicerita oleh pemujangga yang sibuk bersyair di kamar mandi. Malahan, ada dalam kalangan mereka yang masih berangan menjadi pelajar di sebuah universiti ternama di Malaysia yang kisah sebenarnya sudahpun dibuang universiti tanpa ada pengiktirafan ijazah.
Kedegilan mereka ini untuk mengubah indoktrinasi dengan hanya menjadi radikal, menghakis kebolehan mahasiswa dibina menjadi kritikal. Sibuk menunding jari, mengemis kuasa, menagih sokongan membuktikan ketidak-relevena kumpulan yang kononnya mengangkat propaganda pembebesan akademik. Bagi saya, mereka mempunyai pemikiran yang tertutup – mereka cuma fikir kebebasan akademik hanya boleh dicapai melalui jalan marah-marah atau berdemo. Sebab itulah saya kata mereka perlu ini tidak ada ‘meritokrasi’ untuk memimpin. Apalah agaknya yang difikirkan oleh Kementerian Pendidikan ketika melantik mereka, saya rasa pihak Kementerian Pendidikan menyampah lalu memberikan mereka tugasan.
Berhentilah Berlakon, Kami Tahu Siapa Anda
Memetik kata-kata Pak Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIAM – “Datin Seri sudah mengeluarkan mandat untuk menghapuskan walaupun Puan Penasihat Undang-Undang menyatakan tiada keperluan untuk menghapuskannya cukup sekadar meminda. Kita perlu angkat semangat mandat daripada pihak atasan”. Jadi kalau sudah membuat keputusan mengapa perlu membuang masa mengkumpulkan mahasiswa?
Untuk apa memberi doktrinasi kepada kami seperti mahasiswa bodoh yang selama ini anda sendiri memaki hamun? Apa beza anda dengan rejim kerajaan lama? Sudah-sudahlah mengaku tidak berparti, dalam keadaan anda memihak kepada kerajaan semasa dan menidakkan hak kami bersuara, cukup membuktikan anda di pihak yang mana.
Nabilatul Husna Samsul Munir
Ikon Mahasiswa Nasional