Mukmin Nantang merupakan aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah.

Cerita-cerita tentang gerakan mahasiswa semakin tenggelam dalam arena politik Malaysia sehingga persoalan tentang fungsi tidak mampu dilontar. Sebelum pergi ke soalan itu, persoalan yang harus dijawab terlebih dahulu adalah “masih wujudkah gerakan mahasiswa?”.

Jauh dari kepulauan Borneo yang tersisih dan terpinggir kami menunggu cahaya-cahaya pergerakan mahasiswa ketika rakyat semakin perit ditindas oleh pemerintah dan diperbodohkan oleh pemain-pemain parti politik.

Di manakah gerakan mahasiswa? Wujudkah? Apa yang sedang mereka lakukan? Kami di Negeri Bawah Bayu sedang kehausan akan cerita-cerita teman-teman di Tanah Malaya sebuah daerah pensejarahan gerakan mahasiswa radikal yang tugasnya menyatakan sikap terhadap penindasan-penindasan rakyat kelas bawahan. Kami yang kecil ini igin berteman.

Ketika berada pada ambang Pilihanraya Umum(PRU) 14, kedengaran letupan-letupan gerakan mahasiswa. Saya seolah melihat perayaan besar apabila muncul beberapa gerakan mahasiswa di arena politik Malaysia. Meriah. Namun malang sekali, ia cumalah anjing-anjing kepanasan yang baru sahaja bebas menggong-gong keras  apabila tuanya memberi arahan bergerak.

Keluar lalu menggigit anjing-anjing lain yang tidak sebulu dengan bulu di bandanya. Bulu-bulu parti politik. Lihatlah apa yang mereka gaduhkan? Hal tuan siapa paling benar. Mereka selalu berangan-angan mengatakan tuan mereka akan menang PRU 14. “Gonggongan” – Hidup rakyat, bebaskan rakyat, kami pembela nasib rakyat kedengaran kuat.  Kasihan, hidup mereka saja bertuan, ada hati mahu membebaskan rakyat.  Merdekakanlah dirimu dahulu!

Selain daripada gerakan mahasiswa sayap parti politik, sebenarnya kita masih mampu melihat wujudnya gerakan-gerakan mahasiswa di kampus-kampus. Pada kebiasaanya persatuan ini berdaftar di bawah universiti dan kemungkinan akan membuka sayap gerakan untuk bertanding Pilihanraya Kampus.

Namun, ia cuma panas sewaktu PRK sahaja dan mula suram sepanjang setahun. Ada baiknya juga kerana ia lebih fokus bermain isu-isu kecil di universiti walau pun terkadang ada pasang surutnya atau tidak konsisten. Masalah timbul apabila kurangnya dokongan antara gerakan-gerakan dari kampus lain untuk sama-sama melawan suatu kekuasaan yang sama iaitu Hal Ehwal Pelajar(HEP).

Sentimen “universiti aku biar aku yang selesaikan’’ atau ‘’bukan universiti aku buat apa mahu sibuk” sepertinya menebal dalam gerakan mahasiswa. Lihatlah apa yang terjadi dengan isu bantahan yuran di Universiti Malaysia Kelantan, isu bantahan pagar ALB di Universiti Islam Antarabangsa, Isu bantahan yuran makan malam di Universiti Malaya dan Isu penggantungan Asheeq Ali di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Isu-isu ini tidak mendapat perhatian dan solidariti seluruh gerakan mahasiswa. Ada pun solidariti sekadar hangat-hangat tahi ayam. Akhirnya isu bertahun ini tidak dapat diselesaikan kerana momentum gerakan yang melawan tersangatlah kecil. Kuasa universiti tidak mampu diganggu-gugat oleh mahasiswa.

Di manakah kubur Kesatuan Mahasiswa Malaysia?

Persoalannya di manakah Kesatuan Mahasiswa Malaysia? Wujudkah masih dan siapa yang bertanggungjawab ke atasnya? Krik-krik. Habis cerita untuk Kesatuan Mahasiswa Malaysia. Di tengah-tengah udara panas PRU 14 muncul sebuah pergerakan baru mahasiswa yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Mortar Movement’.

Mahasiswa menjelajah sudah tiga kampus dan akan meneruskan beberapa kampus lagi. Baru-baru ini saudara Rahman menulis pandangan beliau mengenai Jelajah Kuasa Mahasiswa yang berlangsung di Dewan Restoran Amjal Universiti Malaya dengan tajuk Romantism Ceramah Fahmi Reza dan Raliti Semasa.

Tulisan ini mendapat dua respon balas dari saudari Izzah Dejavu (UIA) yang bertajuk Biar Mereka Beronani Sampai Mati Kalau Mereka mahu dan Saudara Suhail (UM) Hey Rahman Kau Siapa. Saya sudah membaca ketiga-tiga tulisan mahasiswa ini dan agak susah untuk meletakkan pendirian.

Ketiga-tiga ada pandangan masing-masing dan kalau boleh saya simpulkan bahawa mereka berdiri di benang yang sama iaitu mahu melihat gerakan mahasiswa menjadi lebih baik dan kembali kepada kefungsianya. Setelah lama mahasiswa tidak berbalas tulisan akhirnya muncul beberapa orang sudi membakar semula cahaya inteletual ‘hujah lawan hujah’. Dari kepulauan borneo kami dapat membaca semula kisah-kisah mahasiswa.

Bagi saya sangat penting tulisan Rahman bagi meluaskan lagi momentum Mortar Movement agar lebih diketahui ramai lalu membuka ruang polemik yang akhirnya nanti kita sama-sama mampu mewujudkan sebuah gerakan yang punya tunjang, gagasan dan matlamat yang jelas. Tahniah juga buat Izzah dan Suhail sudi menjawab persoalan yang sebenarnya juga menjadi tanda tanya kami gerakan mahasiswa di Sabah.

Saya mendokong Mortar Movement dan Saudara Fahreen Beddu dan Azwan Irwan selaku ketua gerakan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah membuka ruang seluasnya untuk pergerakan ini sampai ke Sabah. Namun ada beberapa persoalan harus jelas dalam pergerakan ini supaya ia tidak terus-terus menjadi tanda tanya. Bukan tidak percaya cuma kami mahu tahu.

Saya cuba memahami pergerakan ini, saya cuba bertanya secara terus kepada orang yang terlibat, saya cuba untuk membaca pergerakan ini melalui lama facebook rasmi Mortar Movement namun saya tidak menemui jawapan yang konkrit.

Mungkin perlunya risalah ringkas dihebahkan untuk teman-teman gerakan mahasiswa atau page rasmi Mortar Movement perlu di isi dan disusun dengan lebih serius. Sifat ingin tahu ini sangat tinggi buat kami yang jauh apatah lagi pergerakan ni mahu datang ke Sabah.

Saya ingin tinggalkan beberapa persoalan dan selepas itu saya akan teruskan dengan pandangan dan kritikan terhadap Mortar Movement. Saya tidak mahu terus menulis mengenainya kerana gagasan pergerakan ini belum jelas.

  1. Apakah Mortar Movement?
  2. Siapakah penggeraknya dan benarkah mahasiswa tersebut tiada terkait dengan mana-mana parti politik atau kepentingan elit?
  3. Siapakah yang mendanai Mortar Movement sehingga mampu bergerak jauh contohnya akan ke Kelantan dan Sabah?
  4. Apakah matlamat besar Mortar Movement?
  5. Benarkah pergerakan ini diteliti dan disusun dengan rapi secara organisasi?
  6. Bolehkah diberikan sedikit garis masa atau bayangan Mortar Movement setelah selesai jelajah?
  7. Adakah Mortar Movement berdiri sendiri atau ada beberapa gerakan bernaung di bawahya?
  8. Mengapakah wujud nama Mortar Movement apakah perbezaan dengan syarahan sebelum ini iaitu Student Power Fahmi Reza?
  9. Wujudkah perkaitan Mortar Movement dengan Kesatuan Mahasiswa Malaysia?
  10. Mohon dikongsikan dapatan Mortar Movement untuk tiga kampus sebelum ini dari sudut sasaran peseta dan mencapai matlamat?

Semoga persoalan ini mampu membuka ruang pengetahuan buat kami yang masih kabur-kabur dengan agenda utama Mortar Movement. Kami dari Borneo Komrad, Suara Mahasiswa UMS dan Kelab Sasrtera Mahasiswa(KARMA) UMS tetap mendokong apa saja pergerakan mandiri mahasiswa. Teruslah bergerak dengan kepercayaan!

By Editor

Leave a Reply