Pertemuan antara aktivis mahasiswa dengan Menteri Pendidikan; Dr Maszlee Malik baru-baru ini kembali menghangatkan semula perbincangan mengenai aktivisme gerakan mahasiswa. Tema-tema seperti ‘kehilangan adab’ dan ‘menteri angkuh’ pula mewarnai peristiwa penting tersebut.

Selesai solat subuh tadi, isteri saya melontarkan persoalan yang agak menarik mengenai aktivisme mahasiswa. Bila berbincang mengenai aktivisme mahasiswa, kebiasaannya kami mudah untuk bersetuju sesama sendiri. Mungkin kerana kami sempat merasai pengalaman bersama aktivisme mahasiswa ketika ‘zaman keemasannya’.

Dipendekkan cerita, kami bersepakat dan bersetuju bahawa mahasiswa hari ini sudah tidak sama dengan generasi mahasiswa sebelumnya. Jika dilukiskan garis masa, generasi hari ini mungkin boleh dititik mulakan dari penggal kedua tahun 2016, manakala tahun 2015 hingga penggal pertama tahun 2016 sebagai ‘fasa ketidaktentuan’. Di sini, penceritaan sejarah secara ringkas adalah penting. Saya fikir sudah tidak lagi menjadi rahsia bahawa berlakunya konflik dalam kalangan beberapa front mahasiswa Islam (Gerakan Mahasiswa Islam-GMI), atau secara spesifiknya di bawah jenama PMI di kampus-kampus berikutan perpecahan dalaman PAS pasca muktamar Jun 2015. Perkembangan di UM agak menarik untuk diberikan perhatian kerana saban tahun, PMIUM sering menjadi ‘prime mover’ kepada gerakan mahasiswa di peringkat nasional. Maka, perkembangan PMIUM sedikit-sebanyak memberikan kesan kepada corak aktivisme mahasiswa secara umum. UM juga tidak terkecuali dari konflik dalaman tersebut (paling kritikal, mungkin?). Perpecahan dalaman PMIUM kemudian menelurkan front baru di bawah nama Neo-Siswa UM pada tahun 2016 bagi menjarakkan diri dari PMIUM. Sehingga kini, Neo lebih memfokuskan skop politiknya dalam konteks kampus dan pada masa yang sama, bersama GAMIS dalam isu-isu nasional. PMIUM saya kurang pasti bagaimana corak pergerakannya kini. Jadi, saya tinggalkan kepada ahli-ahlinya untuk menjawab sendiri persoalan tersebut. Apa yang pasti, PMIUM juga sudah tidak segarang dulu di peringkat nasional dan lebih memfokuskan kepada lapangan kampus.

Dalam keadaan GMI di UM berpecah, muncul front-front baru (seperti Demokrat UM) atau yang sepi sebelumnya (Ikram Siswa, Pembina) dalam lanskap politik kampus UM. Front-front ini ada yang bersifat rentas kampus dan mempunyai cawangan di beberapa kampus lain. Pengalaman Demokrat UM agak menarik kerana ia hanya bermula sebagai sebuah front kecil yang menyertai PRK UM tahun 2016, kemudian berjaya menghantar wakilnya dalam MPPUM pada tahun 2017 dan kini dilihat sebagai antara front yang terkehadapan dalam menentang campurtangan politik di UIAM.

Di kala front-front ‘kiri’ kelihatan terkehadapan dalam membawa isu kemahasiswaan, GMI di UM pula sebaliknya. Dalam isu Dr Maszlee misalnya, mereka kelihatan seperti tidak berada dalam sfera perbincangan arus perdana di mana sehingga kini, tiada sebarang respon rasmi yang diberikan oleh Neo walaupun pertemuan pada dua malam sudah diadakan hanya beberapa meter dari UM. Lebih menarik, ada di kalangan ahlinya hanya berbahas secara sepihak dengan semata-mata menyentuh soal adab tanpa memberikan perhatian sewajarnya terhadap punca kepada kurang adab tersebut.

Berbalik kepada persoalan generasi, saya simpulkan bahawa generasi mahasiswa hari ini merupakan produk daripada konflik yang berlaku pada tahun 2015 dan fasa ketidaktentuan pada tahun 2016. Pada fasa ketidaktentuan, saya melihat Neo misalnya cuba disalurkan gagasannya kepada gagasan ‘ala-keilmuan’ dengan lebih menekankan aspek keilmuan berbanding aspek aktivisme. Tanpa menafikan kelebihannya, gagasan tersebut didapati memberi kesan kepada pembentukan generasi mahasiswa hari ini. Mereka sudah tidak lagi dapat menghadam konsep dan praktikaliti aktivisme mahasiswa seperti generasi sebelumnya kerana ia telah diganti dengan gagasan ala-keilmuan.

Saya tidak mengatakan generasi dulu lebih baik daripada generasi sekarang. Namun, saya fikir kita boleh bersetuju bahawa penampakan aktivisme dulu lebih menyerlah. Tidak dinafikan, generasi dulu mungkin gopoh, kurang beradab dan kurang mementingkan nilai keinteketualan (seperti generasi hari ini). Akan tetapi, mereka menonjolkan sehabisnya elemen gerakan mahasiswa sehingga sukar untuk kita menidakkan kegemilangan dan peranannya dalam mewarnai legasi wacana aktivisme mahasiswa. Tanpa mempertikaikan hak bagi mana-mana front untuk memilih gagasan tertentu, front-front mahasiswa hari ini juga mempunyai tanggungjawab bagi menyaring mana-mana unsur yang baik daripada generasi dulu untuk dijadikan contoh, dan begitu juga sebaliknya.

Diringkaskan perbincangan, saya fikir adalah penting bahawa front-front mahasiswa, khususnya GMI hari ini mencari persefahaman di antara mereka. Mahasiswa hari ini ada yang berada di kutub kiri (Demokrat dan seangkatan dengannya) dan ada yang berada di kutub kanan (GMI). Maka, mereka perlu mencari keharmonian atau titik tengah di antara dua kutub tersebut.

Saya berpendapat, corak atau orientasi seebuah gerakan mahasiswa merupakan satu proses. Dalam konteks GMI di UM misalnya, ia pernah bermula di pihak kutub kanan dan bersikap konservatif dalam banyak hal, yang kemudian sedikit demi sedikit bergerak ke kiri (kemuncaknya ialah aksi berkhemah di Dataran Merdeka). Kini, ia kelihatan bergerak ke kanan semula. Pada saya, yang sudah berada di kutub kanan teruskanlah untuk berada di kutub kanan, manakala yang berada di kutub kiri boleh terus berada di situ. Pada masa yang sama, front-front tersebut perlu bergerak ke arah titik tengah yang boleh dikrompomi oleh kedua-dua kutub.

Di sini, saya gariskan empat pendekatan untuk mencari titik tengah tersebut:

1) Front-front mahasiswa perlu mewujudkan kesatuan yang lebih struktural berdasarkan konsep ‘agree to disagree’ dan menghormati perbezaan di kalangan mereka. Kesatuan tersebut perlu menetapkan beberapa isu seperti autonomi universiti, kebebasan mahasiswa untuk berpartisipasi dan berkegiatan, demokrasi kampus yang bersih dan lain-lain sebagai isu teras yang perlu diperjuangkan sepanjang masa.

2) Mana-mana front berhak untuk memperjuangkan sebarang isu luar dari isu-isu teras tersebut. Namun, ia tidak boleh menggunakan nama kesatuan, sebaliknya perlu bergerak di atas kapasiti sendiri. Hanya isu teras dan isu yang dipersetujui bersama sahaja yang boleh menggunakan nama kesatuan.

3) Beberapa prinsip asas perlulah digariskan bagi mengelakkan konflik sesama front, seperti garis adab dalam beraktivisme serta kaedah berinteraksi dengan tokoh-tokoh tertentu.

4) Tidak dinafikan bahawa terdapat front yang berperanan menjadi proksi kepada parti politik atau pertubuhan tertentu. Tanpa menidakkan hakikat tersebut, setiap front perlu menetapkan sempadan pemisah antara tanggungjawab sebagai gerakan mahasiswa dengan tanggungjawab sebagai proksi. Dengan ini, mereka akan jelas setakat mana mereka dibolehkan untuk beraktivisme terutamanya jika melibatkan pertembungan kepentingan dengan induknya.

Semoga front-front mahasiswa pelbagai wajah dan warna dapat mencari titik tengah dan persefahaman dalam mengangkat isu-isu kemahasiswaan. Persefahaman merupakan aspek penting sebagai nilai solidariti dan semak imbang sesama front. Jadikan isu Dr Maszlee sebagai peluang bagi eksperimen pertama.

Memetik satu sumber yang meriwayatkan daripada almarhum Ust Fadhil Nor bahawa (lebih kurang bunyinya): “keberadaan gerakan mahasiswa adalah memenuhi tuntutan fardu kifayah kerana hanya gerakan mahasiswa yang tulen mampu memperjuangkan isu-isu kampus yang tidak mampu diperjuangkan oleh orang-orang politik.”

#StudentPower

Muhammad Khalis Ibrahim
14 September 2018@Perpustakaan Pengajian Islam UM

Leave a Reply