Beban menjadi mahasiswa ini besar. Selain dari tanggungjawab pada keluarga dan diri untuk memegang gelar ‘graduan’, mahasiswa juga diperlukan sebagai tenaga buruh pantas yang berkualiti untuk para majikan dan kerajaan. Mahasiswa juga diperlukan sebagai pendidik, pengubah masa depan negara, penjaga nama bangsa dan agama, pemikir ulung dekad-dekad mendatang, pemimpin luhur rakyat, pembela negara.
Membaca tentang mahasiswa merupakan suatu yang segar; lagi-lagi apabila ia datang dari tangan mahasiswa sendiri. Buku ‘Mitos Mahasiswa Malas’ ini ditulis oleh 9 orang mahasiswa dan mahasiswi berbakat iaitu Abdul Rahman Shah, Ahmad Syafiq Amir Abdullah, Amir Haziq, Dini Nurhani Zainuddin, Fikry Rahman, Hayati Abdul Halim, Haziq Asyraf, Mohammad Fahmi Ahmad Kashfi dan Rusni Tajari.
Tulisan-tulisan mereka ini telah disunting oleh Megat Hanis, seorang graduan Sains Politik di UIAM, pengasas Dialogue Corner dan penulis kolumnis Projek Dialog. Prakata pula ditulis oleh Dr. Mohammad Alinor Abd. Kadir, seorang intelektual yang terkenal di dalam dan luar alam maya.
Buku ini dipecahkan kepada 3 bahagian (yang dipanggil bab) iaitu mahasiswa dan idealisme, mahasiswa dan gen-Y, dan laporan kajian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Menelusuri ‘Bab 1: Mahasiswa dan Idealisme’, ia ternyata bukan suatu ruang yang asing lagi dalam persoalan peranan mahasiswa. Bahkan idea kemahasiswaan itu sendiri berpeluk erat dengan idealisme, khususnya dalam idealisme kemenjadian sesebuah masyarakat. Bab ini dibina dengan 9 esei yang membincangkan soal pendidikan (secara teorinya), dan perlahan mengalir kepada soal mahasiswa dan idealisme.
Dalam konteks dan semangat idealisme yang disampaikan oleh para penulis dalam bab ini, mahasiswa generasi Y ialah generasi yang serba celik dengan maklumat. Kerana kecelikan ini, muncul pula stereotaip menjelikkan daripada generasi yang lebih tua yang menunding mahasiswa baka generasi Y sebagai baka manusia hedonistik yang sukakan hiburan; nothing more, nothing less.
Gambaran jelik begini sangat mudah dikongsi, sepertimana mudahnya orang berkongsi gambar-gambar yang boleh menaikkan emosi marah atau takut. Gambaran jelik ini juga memahat ilusi pemberontakan anak muda yang dianggap sia-sia. Malangnya gambaran jelik ini jugalah menjadi wajah lesu anak-anak muda. Maka dengan wujudnya idealisme, jadi mahasiswa boleh menjadi pembaiki kesalahan manusia terdahulu. Mungkin satu-satunya pujian yang didapati dalam premis ‘kelayuan mahasiswa’ ialah semangat suka mencuba (dan melawan).
Di Malaysia, kita pernah ada semangat membantah (jika itu dianggap tugu idealisme sejati mahasiswa) sebelum berkuatkuasanya AUKU. Ketika itu, anak-anak muda tidak disergah, dinasihat dari kecil dan dicuci otak untuk segera diam dan bungkam. Anak-anak muda yang masuk universiti itu anak-anak muda berani dan bertujuan.
Tapi itu dulu. Ketika itu juga, kita bolehlah menyebut itu zaman emas mahasiswa Malaysia. Sekarang sudah lain. Dari kecil lagi, kita diasuh untuk tidak melawan autoriti kerana ‘nanti tidak berjaya dalam pelajaran’. Aku masih ingat lagi, lambungan banjir kuning BERSIH dahulu sarat dengan amaran dari cikgu sekolahku: Jangan pakai baju kuning nanti Sabtu, kena tangkap!
Idealisme apa yang kita bawa pada arus pendidikan kita sekarang? Itu seharusnya menjadi salah satu perkara yang perlu kita fikirkan. Menghambur teori demi teori tidak menyelesaikan apa-apa, dan realitinya, masalah sekolah (dan totalnya, pendidikan) ialah masalah sistemik. Ia tidak boleh diselesaikan semata-mata dengan teori pendidikan dari ahli Barat yang jauh berbeza pemikiran dan perkembangan budaya inteleknya dengan kita.
Bagi aku, mengisytiharkan kegagalan pendidikan ialah momokan politikus. Pendidikan kita tidak gagal. Tapi pendidikan kita tiada ‘jiwa’. Jiwa itu disedut oleh sikap masyarakat kita yang begitu kaku dengan kesempurnaan huruf A berbaris. Kerana itu, pelajar kita belajar untuk gred. Mereka tidak belajar untuk diri mereka sendiri. Kita memaksa mereka untuk berpuas hati dan bergembira hanya apabila mereka berjaya bersalin deretan A di kertas keputusan.
Bab 2 pula mendiskusikan ‘mahasiswa dan gen Y’. Sekali lagi, peranan mahasiswa dan perkaitan mereka dengan kelemahan generasi yang dilahirkan oleh derasnya arus teknologi yang melingkari kehidupan semasa. Aku menghormati pendapat dan idea mereka kerana hujah mereka berakar pada sebab rasional, iaitu keselesaan yang membuaikan para mahasiswa kini. Dengan kemudahan teknologi yang ada, sepatutnya mahasiswa lebih gagah mengubah dunia. Namun begitu, apakah keselesaan ini tidak perlu untuk generasi masa depan?
Jika keselesaan ialah faktor lunyainya semangat fikir mahasiswa, adakah kita patut lesapkan keselesaan ini agar kita mampu mencerdaskan lagi minda mahasiswa? Berpijak di bumi nyata, dan berkejar kembali pada pautan sejarah lalu, kita sendiri tidak memiliki ramai intelektual biarpun jika dibandingkan dengan keadaan semasa, mereka jauh kekurangan daripada anak muda sekarang.
Para penulis cuba mengoncangkan minda sedar mahasiswa, dan mengoyakkan ‘veil of ignorance’ yang menyelimuti akal anak muda sekarang. Tetapi hakikatnya, kesedaran anak muda banyak dipengaruhi oleh bermacam keadaan dalaman dan luaran. Aku rasa mahasiswa kini sebenarnya lebih cakna dan lebih sedar berbanding mahasiswa dulu kerana faktor teknologi dan upaya memahami media sosial serta kandungan yang wujud dalam alam media tersebut. Aku juga rasa mahasiswa kini sebenarnya lebih banyak mengubah dunia, berbanding mahasiswa generasi lalu kerana kapasiti media sosial.
Malah aku rasa generasi Y ialah generasi yang paling teruk dikritik kerana mereka lebih muda (dan buat masa ini, lebih banyak bereksperimen dengan perkembangan zaman) serta nilai-nilai yang dipegang oleh para pengkritik berlainan dengan semangat zaman generasi Y. Barangkali cabaran utama mahasiswa kini ialah melawan hegemoni budaya Barat dan meneguhkan tradisi dan identiti diri sama ada bernaung pada identiti berdasarkan agama, bangsa atau negara.
Kerana globalisasi, hegemoni budaya itu terlarut dalam bentuk yang tidak boleh disentuh (intangible) lalu memudahkan resapannya ke urat nadi belia tanpa disedari. Paling teruk, pengaruh itu tersedut dan diatasnamakan atau dinamakan semula sebagai ‘kemodenan’.
Bab terakhir pula menadahkan ruang untuk laporan kajian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Secara peribadinya, aku agak tertarik dengan dimensi pelajar dan dimensi guru, sekolah dan masyarakat. Kedua-dua dimensi ini tetap berasaskan satu perkara: beban. Biarpun 1001 cadangan, saranan, harapan, jangkaan yang kita sandarkan pada anggota sistem ini, beban pendidikan ialah tanggungjawab semua. Ia tanggungjawab pelajar dan keluarganya. Ia tanggungjawab institusi dan negara.
Laporan yang disisipkan dalam buku ini sememangnya komprehensif kerana turut menampilkan aktor pendidikan untuk masyarakat marginal, seperti usaha Teach for the Needs (TFTN). Aku pernah merancang untuk membuka sekolah TFTN di Kota Kinabalu, tetapi kerana kurangnya tenaga, sokongan dan pengetahuan pendidikan, aku tidak berjaya. Ternyata membuka sekolah itu payah.
Aku gembira apabila akhirnya ada juga yang berusaha membuka sekolah alternatif, seperti di Semporna, yang dikendalikan oleh Mukmin Nantang, salah seorang revolusionari yang aku kenali sejak dia mulai berteriak ‘Suara Mahasiswa!’ di kampus UMS.
Secara tuntasnya, buku ini dinukilkan dengan cemerlang oleh para penulis dan secara langsung, meluaskan pandangan aku pada pendidikan, mahasiswa dan idealisme. Argumen yang aku tulis bersempena dengan resensi ini juga sekadar buah fikir hasil dari esei-esei mereka. Lagipun, buku ini sudah diterbitkan 3 tahun lalu jadi aku percaya, idea mereka turut berkembang menuruti pengalaman empirikal mereka. Dalam buku ini, mereka banyak mengaitkan perkembangan minda mahasiswa dengan pembentukan pemikiran generasi zaman.
Untuk aku, itu suatu sudut perspektif yang menarik untuk dikupas. Namun harus diingatkan bahawa, ia hanyalah satu sudut; untuk menilai mahasiswa semata-mata kerana lahirnya mereka dalam generasi Y tidak ubah seperti Dr. Mahathir yang pernah menilai minda masyarakat Melayu yang layu kerana bangsa Melayu itu sendiri. Persepsi berat sebelah ini tidak menguntungkan sesiapa. Mitos ‘mahasiswa malas’? Busted.