Kini aktivis mahasiswa punyai lebih banyak ruang untuk bersuara kerana jaminan menteri yang kelihatannya cuba mengotakan janjinya terhadap kebebasan suara. Ditambah lagi dengan batasan umur layak mengundi direndahkan menjadi 18 tahun; suara anak muda semakin relevan dalam Malaysia Baharu.
Untuk para pelajar menengah, perkataan ‘demonstrasi’ atau ‘perhimpunan’ masih lagi dimomok-momokkan. Aku sempat menyuruh anak-anak didikku untuk mencari #PandangKeSabah di Facebook. Mereka menurut kataku dan di situ, mereka melihat sekumpulan muda berteriak. Seorang anak didikku diam, dia Tingkatan 5. Seorang lagi anak didikku, ketika ini di ambang PT3. Dia tekun menekup telinganya dengan earphone. Mata terkunci pada rakaman anak muda dipukul DBKK kerana berdemonstrasi.
“Cikgu, ndak bikin malu kah ni?” Gelengnya.
Aku senyum.
“Kenapa dorang buat macam ni?” Masih ketawa dan mengeleng.
“Kamu rasa patutkah atau tidak?”
“Ndak, bikin malu.”
“Kenapa?”
“Patutnya dorang guna saluran yang betul.” Teringat pula aku kata-kata Timbalan Menteri yang baru-baru ini salah seorang pegawainya ditangkap kerana merakam bawah skirt perempuan.
“Itu salah satu cara dorang dapat perhatian tentang Sabah dan isu-isunya. Dorang memang aim mau kena tangkap pun.” Pelajarku masih menggeleng, kelihatannya belum terpujuk dengan penjelasanku. Biarkan lah.
Mereka adalah para pelajar menengah yang disuruh belajar dunia melalui tangan dan mata. Mendengar nasihat dan kata bila ada orang tua mahu menurunkan pengalaman rasanya di masa lalu. Jadi mereka ini bagaikan container; disumbat masuk-masuk-masuk “ilmu” yang diselit dengan keperluan taat kepada autoriti.
Jangan silap faham maksudku. Autoriti di sekolah itu perlu, sebab masih ada pelajar yang perlu ketegasan. Makin lembut makin lunak suara, makin manja. Makin malas. Ditengking dan dimarah dan disindir, barulah sedar. Baru mahu memberi perhatian. Baru berhenti bermain ludah dengan kawan belakang kelas.
Asal saja kita membincangkan semangat melawan, ia seolah perkara yang paling teruk di dunia. Ia bagaikan arahan untuk melanggar Tuhan. Ia digambarkan sebagai suatu landskap yang mengerikan; api, panik, bising, huru-hara, mati, peluru. Dari mereka mulai pandai membutangkan uniform mereka sehinggalah menarik bagasi untuk melapor diri ke kediaman universiti, semangat melawan itu diasingkan jauh sejauhnya dengan ilmu.
Sedangkan semangat melawan itu tidak hanya terzahir dalam bentuk yang ‘agresif’ seperti demonstrasi bawa kayu atau perhimpunan yang dibanjiri plakad dan suara bergema dari megaphone. Semangat melawan itu boleh lahir dari sekecil-kecil ‘enggan’ atau ‘tidak’. Sekecil-kecil menundukkan pandangan dan menutup aurat. Sekecil-kecil tidak membuang sampah dan mengepam tahi di tandas.
Dalam konsep Islam kiri, amar maaruf nahi mungkar itu juga bentuk perlawanan. Menolak dari perbuatan dosa juga satu perlawanan. Ia perlawanan menentang perkara yang ‘mudah’ dilakukan oleh manusia yang nuraninya itu dari api iblis. Contoh paling mudah; melempar kucing ke bara api kerana suka pada derita. Atau berjenaka dan mengaku tidak bersalah pada kekejamannya menghumban kucing ke mesin pengering. Bagi mereka, itu amat mudah.
Anak muda patut tahu, sedar dan faham bahawa semangat perlawanan itu perlu. Tanpa semangat perlawanan, dunia kini akan musnah secara total. Keadilan bukan lagi suatu yang hakiki, kasih sayang bukan lagi pengikat semangat kehidupan. Bayangkan bagaimana dunia sekarang jika Nabi terdahulu tidak pernah melawan kejahatan masyarakat yang angkuh dan tamak? Bagaimana dunia sekarang jika Nabi tidak pernah diturunkan untuk menegur manusia? Bagaimana dunia sekarang jika Nabi tidak pernah belajar menulis dan membaca, tidak pernah menyelamatkan haiwan sebelum banjir besar?
Tanpa semangat perlawanan, tidak wujudlah keperluan untuk berfikir. Immanuel Kant menyebut, “Sapere Aude!” –beranilah berfikir. Jika Tuhan benar-benar tidak mahu manusia berfikir, mengapa diberi akal yang cukup untuk membina bangunan kompleks atau mengatur pentadbiran negara? Berfikir bukan setakat mengiyakan, tapi untuk menidakkan perkara yang tidak patut berlaku dalam landasan nilai manusiawi.
Semangat perlawanan mampu bercambah jika seseorang manusia itu mulai menggunakan akalnya untuk berfikir. Garisan pertama yang perlu dilangkah ialah kenyataan bahawa dia perlu belajar secara berterusan. Pembelajaran secara berterusan dan meluas serta tidak terhad pada bidangnya sahaja. Dia perlu kekal cakna isu semasa dan pengetahuan am seperti Sabah, Sarawak itu di Malaysia dan bukannya anggota negara lain mahupun negara berdikari.
Nilai, etika dan prinsip hidup juga penting kerana perkara inilah yang orang banyak tinggalkan. Kita boleh menghasilkan seorang pelajar (akhirnya menjadi mahasiswa) yang ingat himpunan fakta tapi kita tidak boleh menghasilkan seorang pelajar yang memiliki sayang pada nyawa dan kehidupan. Sayang pada keadilan dan kebaikan.
Aku sudah melihat seorang pelajar Tingkatan 4 yang bijak, bertindak mengambil nyawanya sendiri dengan melompat dari sebuah pusat membeli-belah beberapa bulan lalu kerana dia sudah penat hidup. Aku melihat rakan dan gurunya (malah aku sendiri) terasa kehilangan. Aku melihat gurunya dalam diam menyalahkan diri sendiri, aku melihat rakan kelasnya cuba menangkis hiba. Ia suatu suasana yang traumatik untuk warga sekolah, malah untuk diriku juga biarpun aku tidak mengajar kelas mereka secara langsung.
Menumbuhkan semangat melawan bukannya senang. Tapi aku pasti di Malaysia, ia sedang menuju ke arah cita masyarakat yang bersemangat melawan. Bersemangat melawan untuk hidup, bersemangat melawan untuk yang memerlukan, bersemangat melawan untuk nasib haiwan terbiar, bersemangat melawan kemungkaran, bersemangat melawan puak manusia bernurani iblis.