oleh Rien Sd

Tapak tangannya digeser-geser. Kemudian bahunya yang berbalut kain nipis kemeja lengan pendek disapu-sapu. Sejuk ketika itu memuncak. Sudah pukul 1 pagi dan dia masih di situ melabuh punggung bersama beberapa orang yang fikirnya pemandu-pemandu grab yang menunggu penumpang. Beberapa orang muda dengan rambut berwarna terpacak-pacak menggeliat kesejukan sambil menunjuk-nunjuk happy meal yang mereka mahu.

Dia masih mengambil kisah keriuhan itu. Sesekali geram bercampur kelakar melihat gelagat pelanggan McDonald yang beragam itu. Mocha dihirup sedikit demi sedikit. Hampir setengah habis diratah. Kentang sudah layu, hanya sebatang dua disuap ke mulut. Kebanyakan masanya menconteng buku nota melakar peta minda untuk manuskrip buku yang perlu disiapkannya sebelum hujung minggu ini.

“Kacang bang?” lehernya yang melembik menjadi lurus. Serabai rambutnya akibat menunduk lama diramas kemas oleh jari jemari.

“Ah?”

“Berapa ni?” sambil tangannya menggodek-godek kacang goreng dalam bakul.

“Seringgit bang” sambil menggaru-garu kepalanya.

Dua beradik yang comot. Adik beradik mungkin, fikirnya. Selipar mereka kotor oleh lecah. Seluar pendek paras lutut mendedahkan luka-luka kecil pada betis mereka. Di lengan mereka masing-masing memikul bakul kecil berisi kacang goreng, chewing gum dan keropok tasen.

Dia meramal dua beradik ini tinggal sekitar situ. Mocha dihirup seteguk. Dompet lusuhnya dikeluarkan daripada beg sandang, dua keping RM1 ditarik keluar.

“Bagi dua kacang tu” katanya.

“Ini bang” mata budak itu layu. Bajunya hamis mungkin ditimpa hujan lebat dan tidak berganti-ganti. Mata mereka tidak bertentang, budak lelaki itu menunduk. Adik kecilnya melilau ke penjuru McDonald sesekali ke arah kentang di atas meja.

“Siapa buat kacang ni dik?” tanyanya mahu tahu.

“Tu” jarinya menuding ke arah wanita berusia sekitar 40 tahun di luar. Gemuk, pendek, bersandal dan ditangannya menggengam telefon bimbit. Kira-kira 100 meter dari tempat duduknya, maka imej wanita itu masih samar-samar. Tambahan pula, dia memang rabun dan kaca matanya ditanggalkan ketika itu.

“Siapa tu?

“Mamaku” dua keping RM1 yang dihulur diragut lemah. Mereka berlalu pergi. Adiknya yang lebih kecil meludah senyum singkat.

***

Sebelum membelah jalanraya petang itu, Kelisa merahnya menyumbat masuk ruang parkir berhadapan Seven Eleven. Usai membeli berikat-ikat sawi dan kangkung di pasar, dia kekeringan tekak. Terik mentari tadi terlalu kasar mencarik-carik kerongkongnya. Pasar Batu 2 Setengah itu sudah tidak seperti dulu. Pasca perobohan oleh majlis perbandaran, peniaga berpindah di tempat yang lapang. Kanopi mereka ala kadar memayungi barang jualan. Namun, dalam sesak pembeli tawar-menawar harga ikan, kelihatan seorang dua penguatkuasa majlis perbandaran yang turut memilih-milih makanan basah. Bukan semua manusia jahat, kadang mereka berbuat yang tidak baik kerana mengelak periuk nasi daripada berhenti berasap, fikirnya.

“Berapa ni?” di tangannya sebotol air 100 plus. Satu-satunya yang boleh melegakan tekak.

“Dua ringgit” jawab budak muda sebaya adik lelakinya yang tengah terpuruk di rumah menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Susah betul hidup orang muda sekarang. Buat satu kerja tidak akan cukup. Permintaan budak-budak muda sekarang bukan calang-calang. Mahu yang “grand”, ada “brand” tapi kocek nipis. Lamunannya berderet, bebelan dalam hatinya merancak.

“Awas kamu kalau mencuri ah!” pekik budak muda di hadapannya. Suara itu semacam menampar pipinya. Tersentak. Sambil menyambut baki duit yang dihulur, dia menoleh ke belakang. Dua beradik yang jual kacang dua hari yang lalu kepadanya. Muka mereka layu, kening mereka jatuh, bahu tak bermaya. Tapi ketika itu, tiada bakul yang dijinjing.

Botol air tidak sempat dimasukkan ke dalam plastik, dia merampas kelam kabut. Dua beradik itu diekori. Mereka mundar-mandir di lorong menjual coklat. Seorang menggeleng-geleng kepala, seorang lagi mencuit-cuit bahu abangnya. Semacam memujuk.

“Mau beli apa kamu, dik?” sapanya dari belakang. Suaranya semacam menjerkah, dua beradik itu hampir beredar keluar. Gelabah.

“Kejap… kejap… sini kamu” belum sempat melangkah ke luar. Mereka menoleh, berjalan perlahan kembali ke situ.

“Mau ini?” sambil memegang sepapan coklat Cadbury.

“Mau?” ulangnya. Dua beradik ini menunduk. Semacam ada malu yang tak tertampungkan.

“Sini…” dua papan coklat dibayar di kaunter. Dua beradik mengekorinya ke luar.

“Mana mama kamu? tanyanya sambil melanjut langkah.

“Goreng kacang dia” jawab mereka serentak.

“Di mana?”

“Rumah mak cik kami, di Sim-Sim” kepala mereka diusap-usap. Rambut yang kekuning-kuningan itu di ramas halus. Terik panas telah membakar kulit dua beradik ini. Baju mereka tidak berganti, mungkin tiada rumah sendiri, fikirnya.

“Di mana kamu tidur ni?”

“Kadang-kadang sini…” sambil menunjuk tempat mereka berdiri.

“Kadang-kadang di bandar” bualan mati.

Benar mungkin mereka tidur di situ. Ada beberapa keping kotak dilipat-lipat rapi di sandar tepi tangga bersebelahan Seven Eleven, tekanya. Sepesan dua ditinggalkannya agar dua beradik ini berhati-hati. Jangan mencuri.

“Kalau mau, minta ya. Jangan mencuri. Dengar?” dua beradik itu mengangguk. Kunci keretanya dipulas, enjin mengaum. Pedal minyak ditekan, kereta keluar daripada ruang parkir. Ekor matanya masih meninjau dua beradik itu, risau kalau-kalau mereka disepak oleh budak muda pekerja Seven Elevan itu.

***

Malam itu, dia memilih untuk duduk di rumah. Kopi pekat dibancuh, manuskrip ditukang dengan teliti. Penerbit sudah menghubunginya berkali-kali, membuat peringatan. Baginya, menulis adalah kerja abadi. Semestinya pengaruh budayawan Indonesia, Pramoedya Ananta Toer. Rak bukunya tidak satupun lekang daripada judul-judul buku karangan Pram.

Papan kekunci komputer ribanya diketik perlahan-lahan. Sambil mengingat nasib dua beradik yang dijumpa malam sebelum itu. Kopi dihirup seteguk-seteguk.

“Bagus juga kalau aku tulis pasal dua budak tu” sambil menyapu-nyapu tengkuknya.

Konversasi singkatnya bersama dua beradik itu dicatat. Kisah benar itu diolah menjadi fiksyen yang kemas. Garapannya kali ini terlalu beremosi. Mengenang dua beradik yang masih terlalu mentah ke hulu ke hilir, menjinjing bakul menjual kacang goreng.

Umur begini sepatutnya berada di sekolah, fikirnya. Ketika anak-anak tempatan bermalas-malasan ke sekolah, ponteng dan tidak berselera lagi untuk menduduki bangku sekolah, dua beradik ini tengah bertarung untuk hidup lagi seratus tahun. Mereka sudah mula membilang upah.

Umur yang masih setahun jagung itu tidak merasa empuknya tilam, kotak buangan Supermarket di situ dikutip untuk digunakan alas. Minimalis dan berjuang untuk terus hidup. Fiksyen yang dianyam itu sarat pujangga yang menyayat sukma. Dia berharap tulisan yang tidak seberapa itu mampu memukul hati para pembaca. Walaupun tidak terpanggil untuk membantu material, cukuplah mereka mengutip pengajaran sosial daripada naratif masyarakat terpinggir ini.

By Editor

Leave a Reply