Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membimbangkan kerajaan. Kerajaan ketika itu ambil keputusan untuk kawal aktiviti politik di kampus. AUKU diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan oleh parlimen pada 17 Mac 1971 dan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 April 1971.

Keadaan ini berlaku dikatakan kerana dikatakan pelajar pada tahun 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan pada AUKU. Pada 8 April 1975, Dr. Mahathir Mohamad mengusulkan agar AUKU dipinda dan ianya dikuatkuasa pada 12 Mei 1975.

Pengarahan kepada AUKU berlaku apabila kerajaan menegaskan pelajar tidak dibenarkan bergabung atau menyokong mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja. Penegasan ini merupakan satu kesedaran kerajaan bagi mencegah ketidakstabilan melalui perundangan. Larangan ini termaktub dalam Undang-undang Darurat (kuasa perlu) no. 74, Artikel 150 (2) yang dipinda pada 18 Februari 1971.

PMUM membantah perundangan ini, Jai Mohan (Setiausaha Agong) jelaskan larangan ini akan menjauhkan pelajar dengan rakyat dan menyekat idea pelajar untuk menyumbang ke arah pembangunan. Sokongan pihak pelajar kepada mana-mana pertubuhan politik tidak bermakna pelajar menyokong pertubuhan politik tersebut.

AUKU diusulkan setelah kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 yang tak berkesan mengekang peranan pelajar terutamanya keterlibatan pelajar dalam pilihanraya 1969. Para pimpinan parti oposisi dan pelajar membidas AUKU terutamanya Bahagian III (fasal 15 dan Fasal 16) dan Bahagian V (Seksyen VI Fasal 48, Seksyen VI Fasal 50 dan Seksyen VI Fasal 51).

Di Parlimen, Dato Asri meminta AUKU ditangguhkan manakala Lim Kit Siang dan Dr. Tan Chee Khoon mempersoalkan prosedur penubuhan persekutuan pelajar peringkat nasional dan antarabangsa. Kerajaan bersedia melonggar perkara tertentu dalam AUKU tetapi AUKU perlu diteruskan bagi menghalang anasir-anasir subversif dalam gerakan pelajar.

Pada 6 Julai 1971, PBMUM dan PKPM menghantar memorandum kepada kerajaan. Gan Yap Swe, Setiausaha Agung PKPM dan Noordin Razak, Presiden PBMUM yang mewakili 15 pertubuhan pelajar menyatakan AUKU akan membantut pemikiran kritikal dan rasional pelajar. PMUM pula mengadakan forum pada 23 Ogos 1971 dan 9 Disember 1971 disamping sudut pidato pada 4 Disember 1971. Namun, reaksi pelajar tidak berjaya memujuk kerajaan menlonggarkan AUKU.

Pada tahun 1975, kerajaan memugarkan kembali AUKU agar lebih tegas bagi mengekang budaya politik pelajar yang semakin radikal dan revolusioner. Perkara ini terbukti dalam tindakan pelajar sepanjang tahun 1974 terutamanya isu Tasik Utara dan Baling. Menurut Dr. Mahathir Mohamad, AUKU adalah alat mengekang pelajar daripada membuat kacau apabila sesi 1975/76 bermula. Usul agar pindaan AUKU 1975 ditangguh ditolak. Penolakkan penangguhan ini memulakan era baru bagi gerakan pelajar dalam perjuangan mereka.

Perbahasan mengenai kerelevanan dan kewajaran AUKU banyak berkisar mengenai aspek undang-undang dan analisis kerelevanan AUKU. Matlamat kewujudan AUKU dan apakah kesan perlaksanaan AUKU setelah ia diperkenalkan lebih 50 tahun yang lalu. Adakah ia membawa perubahan yang positif kepada aktivisme mahasiswa atau telah melemahkan gerakan mahasiswa secara sistematik atau tak langsung?

Sepanjang AUKU dikuatkuasakan, kita telah menyaksikan banyak kes melibatkan kebebasan bersuara mahasiswa yang dibawa ke mahkamah dan ini tidak termasuk kes-kes tatatertib diputuskan di peringkat universiti. Bahkan pada 1974, seramai 5,000 pelajar berdemonstrasi di Kuala Lumpur menyuarakan isu kemiskinan di Baling dan lebih 1,128 pelajar ditahan oleh pihak berkuasa.

Menyaksikan rakan mahasiswa yang dibicarakan di mahkamah dan mendapat liputan media secara meluas pastinya akan mencetuskan perasaan bimbang dan gentar mahasiswa untuk bersuara dan menyatakan pandangan. Secara tidak langsung, ini membuktikan AUKU telah berjaya mewujudkan suasana bungkam dan takut bersuara dalam kalangan mahasiswa.

Terdapat golongan yang berpandangan bahawa AUKU itu perlu kerana ia mengandungi peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran pengajian tinggi. Di samping mengakui kepentingan perkara ini, apa yang sangat perlu dilihat adalah dari aspek lain iaitu sebab musabab kewujudan AUKU itu sendiri terhadap mahasiswa.

AUKU diwujudkan tanpa membawa ruh dan semangat aktivisme mahasiswa. Malahan ia diperkenalkan ketika kemuncak mahasiswa terlibat dengan gerakan kemasyarakatan. AUKU yang dikuatkuasakan pada 30 April 1971 itu memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal dan mengimbangi gerakan mahasiswa.

Ini bermakna tujuan AUKU berlawanan dengan falsafah gerakan mahasiswa itu sendiri. Sesuatu akta atau undang-undang yang diluluskan sepatutnya selari dengan semangat gerakan mahasiswa dan lebih penting dapat mencetuskan transformasi dan perubahan terhadap naratif aktivisme mahasiswa.

Apakah peruntukan dalam AUKU sedia ada yang boleh menjadi pemangkin kepada gerakan mahasiswa dan menjamin kebebasan bersuara serta autonomi mahasiswa?

Setakat ini, kita tidak dapat melihat AUKU mampu memainkan peranan sedemikian malahan ia masih dianggap sebagai sesuatu yang menjadi penghalang kepada agenda pemerkasaan mahasiswa.

Antara kesan AUKU yang signifikan tetapi kurang dibicarakan adalah memperkenalkan Perkara 48 Jadual Pertama AUKU mengenai Majlis Perwakilan Pelajar. Era Kesatuan Pelajar dalam erti kata yang sebenar sebagai sebuah badan pelajar yang mempunyai autonomi tersendiri telah terkubur.

Zaman kegemilangan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menyaksikan mereka memiliki aset dan harta seperti seperti bas mini dan memiliki perniagaan makanan di kafeteria dan kantin di kampus. Malahan, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya pernah dianggap sebagai Kesatuan Mahasiswa paling kaya di Asia Tenggara. Selepas AUKU diperkenalkan, kita tidak lagi dapat melihat Kesatuan Pelajar yang mandiri tetapi sangat bergantung kepada universiti dan kerajaan.

By Editor

Leave a Reply