Mengenang Marsinah
Maisarah Mohd Pauzi
facebook.com/maisarah.mohdpauzi
Pernahkah anda terfikir, bahawa lembaran sejarah yang tercatat selama ini kebanyakannya hanya mencatat kisah para bangsawan dan masyarakat elit sahaja? Kalau difikirkan semula, sudah tentu logik kerana golongan elit memiliki pencatat harian. Lihat sahaja pada seluruh istana di dunia ini, pasti ada penulis yang akan mencatatkan setiap peristiwa yang berlaku pada setiap hari.
Sejarah rakyat untuk ditemui kerana bilangan tulisan yang ada sangat terhad. Apabila zaman telah berubah kita beralih ke zaman pasca Perang Dunia, kita berpeluang untuk membaca banyak peristiwa yang melibatkan pelbagai golongan.
Baiklah, tujuan penulisan kali ini adalah untuk menyingkap sejarah seorang wanita biasa yang dikenang dengan cara yang luar biasa. Apabila disebut tentang tokoh wanita dalam sejarah, khususnya di Indonesia, kita akan teringat pada R.A. Kartini. Walaubagaimanapun, bukan kisah R.A.Kartini yang ingin saya tulis tapi seorang wanita dari kelas pekerja bernama Marsinah.
Siapakah Marsinah?
24 tahun yang lalu, tanggal 8 Mei 1993, Marsinah yang merupakan seorang aktivis buruh telah ditemui mati di sebuah hutan di Dusun Jegong, Ngajuk, Jawa Timur, Indonesia. Menurut laporan akhbar, sebelum mayatnya ditemui, beliau telah diculik, diseksa dan akhirnya diperkosa. Hal ini turut dibuktikan dengan laporan bedah siasat yang mendapati kesan luka dan lebam di bahagian leher dan pergelangan tangan akibat dipukul dengan objek keras.
Pastinya kita tertanya-tanya, kenapa seorang wanita yang tidak berdosa ini dizalimi dan dianiaya sedemikian rupa? Marsinah bukan seorang aktivis terkenal, bukan tokoh politik, atau tokoh ekonomi. Malah beliau tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajarannya di peringkat tinggi. Walaubagaimanapun, wanita ini sangat gemar membaca dan mencintai ilmu. Beliau mengambil inisiatif sendiri untuk mengikuti kursus komputer dan Bahasa Inggeris.
Punca Pembunuhan Marsinah
Punca utama kekejaman ini adalah disebabkan oleh tuntutan kenaikan upah di tempat kerjanya. Tuntutan ini bermula apabila keluarnya Surat Edaran No. 50/Th. 1992 dari Gabenor Jawa Timur. Pekeliling tersebut menggesa para majikan untuk menaikkan gaji pekerja sebanyak 20% dari gaji pokok. Akan tetapi, sebagaimana sifat kapitalis yang kita kenali, mereka tidak mahu menunaikan tuntutan ini dek kerana kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung akan meningkat. Marsinah telah memimpin kaum pekerja PT Catur Putra Surya untuk mendapatkan kenaikan gaji dari Rp 1.700 menjadi Rp 2.250 per hari.
Walaubagaimanpun, sehingga hari ini, pembunuh Marsinah masih belum ditemui. Hari ini, Marsinah dikenang oleh aktivis buruh di Indonesia kerana peristiwa pembunuhannya adalah salah satu bukti sejarah pelanggaran Hak Asasi Manusia di Indonesia.
Bagi mengenang insan bernama Marsinah ini, kumpulan Punk Marjinal telah mendedikasikan sebuah lagu mereka yang bertajuk ‘Marsinah’. Berikut merupakan lirik lagunya:
Kulihat
Buruh perempuan
Berkeringat
Membasahi bumi
Yang gelap
Energi yang kau curahkan
Begitu besar tlah kurasakan
Terhanyut dalam kesombongan terlupakan
Gemerlap cahayamu
Membentangi garis kehidupan
Ada lara rintih caci maki
Kau hadapi
Keringat dan ketegaranmu
Mengalir deras tak ternilai
Hanya tetes darah dan air mata
Yang kau curah
Ooo Marsinah
Kau termarjinalkan
Ooo Marsinah
Matimu tak sia sia
Ketika kita mengenang R.A. Kartini dan pejuang wanita lain di tanah air kita, marilah kita turut mengenang sosok bernama Marsinah ini. Wanita, sungguhpun jarang didengar penglibatan mereka dalam lipatan sejarah, tapi, mereka wujud walaupun sejarah mereka agak terpencil. Semoga para pembaca tidak lupa pada pelanggaran Hak Asasi Manusia ini dan terus menjujung tinggi keadilan.