Oleh: Hafiz Hassim
Pasca Pru-14, naratif ‘Malaysia Baharu’ mula bertebaran dalam masyarakat awam. Sebuah Malaysia yang progresif untuk terkehadapan dalam perubahan iklim politik mula mengambil tempat dalam wacana awam. Tidak kira apa sahaja kefahaman moral ‘Malaysia Baharu’ yang anda anuti, masyarakat Malaysia secara umumnya percaya, kejatuhan rejim BN pada hari ini adalah titik perubahan kepada iklim politik Malaysia.
Namun disebalik euforia ‘Malaysia Baharu’ ini, ayuh kita renungi semula, apakah benar wujud perubahan dalam lanskap budaya politik massa? Atau sebenarnya kepada siapa perubahan yang diusung ini diberhalakan? Benarkah kita benar-benar kritis dan responsif atau sekadar mengulangi naratif kekuasaan elitisme ‘Jadong’ (jahat, bodoh, dan sombong) yang sama?
Memandangkan saya masih belajar di sebuah universiti (yang pada hari ini bergelar Oxford of Muslim Nations), maka saya lebih selesa untuk melihat pemandangan budaya dalam lingkungan masyarakat universiti. Kerana mereka, (Pelajar) digelar ‘tercerah’ atas kapasiti akses ilmu yang dimiliki dan cerminan kepada dinamika perubahan, maka seharusnya mereka ini wajar dijadikan nilai ukur kepada pembaharuan budaya.
Beberapa peristiwa yang saya sendiri menjadi saksi dalam universiti ini. Pertama, pengisystiharan fatwa universiti sebagai wilayah bebas untuk pelajar bereksperimentasi dengan wacana dan pengembalian autonomi pelajar. Kedua, pengisytiharan posisi individu yang mengangkat fatwa kebebasan dan autonomi itu sendiri sebagai Presiden kepada institusi.
Ini sebenarnya adalah kontradiksi kepada kebebasan dan autonomi itu sendiri. Sebuah kebebasan dan autonomi bukan sahaja perlu difatwakan oleh Sang Penguasa, tetapi juga dalam wilayah kebebasan dan autonomi itu sendiri, ada Sang Penguasa yang merejimkan kuasa politik sewenangnya dalam institusi tersebut. Alegorinya begini, sebuah kandang diberi nama ‘kebebasan’ oleh penternaknya untuk ‘binatang ternakannya’ menentukan hal-hal mereka dengan ‘jinak’. Nah, inilah kebebasan yang kalian semua mahukan bukan?
Perubahan atau fabrikasi budaya
Maka, apa respon masyarakat universiti tentang perkara ini? Ada yang masih berselimutkan romantisisme dengan sang penguasa. Bukan sahaja baginya tidak perlu diambil endah, malah ia bukan persoalan moral yang harus ditetekbengekkan. Ada pula segelintir yang berprinsip dengan kebenaran yang diimani. Mereka ini dituduh pula tidak beradab. Ya. Hingga ke hari ini, walaupun dalam sebuah Malaysia Baharu, adab adalah hujah moralistik paling fatal kepada mereka yang kritis terhadap struktur kekuasaan. Seperti dihujah oleh Leon Trotsky dalam tulisannya, Their Morals and Ours: “Such a regime could not have endured for even a week through force alone. It needs the cement of morality.”
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pula dengan mudah mengambil pendekatan diplomasi atas hujah profesional dan neutral. Merujuk kepada ‘Pros and Cons’, kemudian dengan mudah mengambil tindakan neutral daripada mengeluarkan sebarang pendirian yang politikal. Ini adalah kelas pemikiran MPP yang hingga sekarang masih ‘conformist’ untuk bertenggek di atas pundak institusi atas dasar profesionalisme. Tidak berpendirian malah jauh sekali setia untuk berprinsip dan kritikal terhadap kuasa.
Namun saya tidak menafikan, iklim universiti sememangnya telah berubah pasca rejim BN. Kalau dahulu pemerasan budaya sewenangnya dikenakan untuk penggerak wacana yang bertentangan dengan orientasi rejim. Kali ini atmosfera kekuasaan telah kendur dan pelajar semakin bebas dan obses berwacana. Namun, wacana-wacana yang digerakkan lebih betah kepada hal-hal politik kepartian. Betapa rapuhnya idealismenya pelajar hinggakan politikus yang perlu menjadi figura kepada kebebasan akademik dan kompas kepada wacana masyarakat universiti berbanding pemugaran idealisme melalui wacana secara mandiri.
Benarkah kita benar-benar merangkul makna kebebasan dan autonomi dalam Malaysia Baharu ini. Terlalu banyak konsep dalam wacana kebebasan dan autonomi itu sendiri yang bukan sahaja longgar, malah tidak diskursif atau dialogik daripada ruang kekuasaan. Hegemoni yang mengambil rupa baharu melalui subjek ‘kebebasan’ dan ‘autonomi’, sewenangnya dilacurkan oleh golongan mahasiswa politikus yang berkepentingan dalam politik untuk berada di atas pundak pemerintahan. Tiada sebarang perubahan yang substantif dalam pewacanaan semula ruang, melainkan legetimasi kuasa yang sama atas alasan rasional birokrasi, terus digunapakai untuk memenjarakan prinsip kebenaran dan keadilan dalam kejumudan ruang wacana yang diformalisasi ke dalam institusi.
Kuasa, Institusi, dan Pelajar
Menyebut mengenai pelajar dan institusi, saya ingin membawa kepada persoalan kerelevanan institusi MPP atau sekarang telah bertukar kepada Kesatuan Pelajar (Students’ Union). Kita ketepikan seketika politik proksi kepartian dalam sebuah MPP. Persoalkan, apakah benar MPP pada hari ini ini benar-benar mewakili suara pelajar, jadi jurubicara dan mengakar kepada massa; atau sekadar mengisi definisi dan mod kekuasaan tradisonal – instrumen bermental rejim-elitisme dalam hierarki kuasa?
Ini adalah persoalan paling fundamental yang perlu kita singkapi. Bagaimana mentaliti kita terhadap sistem sebelum kita meneruskan kepada persoalan struktural dalam subjek kebebasan dan autonomi. Dalam hal ini saya berminat dengan analisis Foucauldian yang melihat bagaimana projek rasionalisasi institusi atau ‘governmentality’ mengambil tempat dalam masyarakat untuk menjadikan kekuasaan birokrasi berhierarki terus terpusat dengan stabil, efisyen, dan produktif terhadap sistem:
“[…] they crystallize into institutions, they inform individual behavior, they acts as grids for the perception and evaluation things.” -Question of Method: An Interview with Michel Foucault
Kewarasan institusi ditanam ke dalam pemikiran masyarakat melalui proses objektifikasinya ke dalam sistem. Ia adalah persiapan awal untuk melahirkan kader-kader industri serta meneruskan kitaran sosial yang teralienasi daripada kejelikan realiti yang dihidangkan dengan ilusi kestabilan dan kovensional. Hingga ke hari ini, kepimpinan pelajar hingga kepada gerombolan tentera-tenteranya sekadar mengulangi definisi dan naratif politik yang defensif dan jumud. Legetimasi kekuasaan rasional atau autoriti berhierarki dibingkaikan bersama nilai Adab atau moral, menjadi hujah asas mereka untuk mengetepikan kritikan atau perlawanan.
Disebabkan itu, setiap kali Pilihan Raya kampus, kita bakal ditayangkan wayang politik digarapi watak mahasiswa politikus bersama naratif yang sama. Kebanyakkannya sibuk menyolek personalitinya dengan gaya karismatik dan disulami dengan retorik untuk menarik perhatian pelajar. Batang tubuh mereka kemas dengan kemeja bertali leher dan bersarungkan blazer sebagai fabrik kepada identiti profesional dan elitis mereka kepada masyarakat.
Begitu juga dengan status atau tweet dalam media sosial. Kalau dahulu dipenuhi dengan status yang mengarut atau pramatang. Tiba-tiba hari ini laman sosialnya telah bertukar menjadi medium untuk berbincang hal ehwal pelajar – seperti kebiasaan politikus yang bibirnya tak lekang meratib keperihan rakyat. Namun mentalnya hanya memikirkan pertaruhannya dalam gelanggang politik semata.
Daripada universiti lagi wayang politik arus perdana yang dipenuhi dengan kemunafikan dipentaskan. Maka tidak hairanlah amalan populis sebegini menjadi wabak ke dalam masyarakat. Ini adalah perlambangan cita kempimpinan bencana seperti yang disebut oleh Almarhum Dr. Syed Hussein Alatas. Sebuah masyarakat dipimpin oleh politikus-politikus kolot dan terencat dinamika mindanya dalam kekuasaan yang realis berbanding pembaharuan politik beridealisme.
Pada saat genting sebegini, golongan terpelajar harus belajar mempersoalkan semula kebiasaan atau norma jelik sebegini. Apa hubungan kuasa di sebalik individidu, realiti dan orientasi politiknya? Adakah ianya organik untuk mengakar kepada permasalahan masyarakat atau sekadar proses fabrikasi untuk memperpanjangkan barisan perbudakkan?
Mencabar norma sebagai tanggungjawab kemanusiaan kaum terpelajar
Kata Pramoedya Ananta Toer; “Semua yang terjadi di bawah kolong langit ini adalah urusan setiap orang yang berpikir.” Kaum terpelajar seharusnya punyai renungan diri (self-reflection) yang mendalam untuk memahami dan melihat kuasa dan konfliknya; dan di mana representasi kita dalam konflik tersebut. Renungan ini harus disandingkan bersama keikhlasan agar ianya tidak terkongkong oleh mana-mana kuasa melainkan keimanannya terhadap kebenaran dan keadilan manusiawi.
Perlawanan atau konflik adalah sesuatu keniscayaan yang berterusan di atas padang sejarah. Ia adalah proses meleburkan rantai perhambaan manusia melalui semangat perpaduan atas naluri cinta akan kebenaran. Nyalaannya merengkuh segala bentuk pembodohan dan perbudakkan budaya.
Dalam warisan sejarah sosial Muslim sendiri, junjungan besar; Nabi Ibrahim, Nabi Muhammad, dan Saidina Hussein tumbuh dalam kalangan minoriti dengan semangat perlawanan dan pembebasan. Menurut Ali Shariati, seorang ahli akademik juga arkitek revolusi Iran, kenabian adalah fungsi sosial seorang yang tercerah atau ‘Rausyanfikir’ yang sentiasa relevan zaman berzaman. Gagasan yang dibawa oleh Rausyanfikir sentiasa bersifat revolusioner; melawan kebekuan hegemoni, menjadi pemuka risalah pembebasan, dan komunikatif terhadap massa untuk bersama menggalas tanggungjawab kemanusiaan dalam semangat zamannya.
Maka kaum terpelajar seharusnya punyai kemandirian dan tekad idealismenya. Mereka sentiasa berada di atas garisan perjuangan, mencipta bahasa kebenaran kepada Sang Penguasa, dan sentiasa menggugat dominasi kekuasaan tunggal. Ianya sentiasa bersifat penentangan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam hal penindasan walaupun bilangannya minoriti.
Norma jelik yang terpapar dalam sketsa politik pada hari ini seharusnya dicabar oleh kaum terpelajar. Sandiwara golongan elitisme-jadong yang dipenuhi dengan kemabukkan dominasi kuasa dan populisme sewajarnya ditanding kritis bagi memenuhi semula ruang wacana yang ofensif lagi kritikal terhadap kekuasaan. Kita tidak lagi memerlukan kepimpinan yang sanggup menelanjangkan kesucian idealismennya sebagai pelajar demi bersenggama dalam sistem hierarki dan menjadi ternakan institusi.
Budaya ghairah pelajar kepada KPI program yang dicandukan dengan sistem merit tanpa sebarang usaha untuk memperbaharui struktur fundamental masyarakat semasa harus diubah. Lambakkan program telah dianjurkan oleh pelajar untuk memenuhi KPI kokurikular pelajar semata. Namun jarang sekali ianya dirincikan secara sistematik kepada permasalahan, idea, dan fungsinya yang horizontal dalam masyarakat. Kebudayaan golongan terpelajar seharusnya lebih progresif, rencam dengan idea dan praksisnya mengakar ke dalam masyarakat; bukan bermusim atau sekadar mengisi masa lapang.
Mengakhiri bicara, saya menyeru golongan terpelajar bersama berpadu tenaga demi mengumpulkan kekuatan dan keberanian untuk terkehadapan dalam membicarakan masalah-masalah sistem ekonomi, sosial, politik, dan pendidikan pada hari ini. Sebagai kaum yang tercerah telah menjadi tanggungjawab asasi pelajar untuk melawan pemerasan budaya, bangun demokrasi akar umbi universiti dan autonomi pelajar, dan cipta idealisme pelajar demi mengangkat semula cita pelajar merdeka beridealisme dan mengakar sebagai jurubicara massa. Tanpa definisi, konsep, dan rangka yang substantif ke dalam ruang, segala perubahan sekadar akan menjadi fabrik kepada hegemoni sebelumnya.
Kepimpinan terpelajar memerlukan mereka yang memahami realiti sistem dan struktur semasa dan kesannya terhadap kondisi massa. Mereka juga seharusnya mempunyai seni dalam menganalisis segala permasalahan sosial secara kritis serta menyediakan mekanisme untuk keluar daripada keselesaaan dalam kejumudan ruang akibat bius ilusi hegemoni yang melumpuhkan kemanusiaan kita pada hari ini. Maka untuk sekalian kaum terpelajar, tuntut semula ruang, bergerak dan mengakarlah bersama idealisme, kerana;
“Idealisme adalah kemewahan terakhir yang hanya dimiliki orang muda.” – Tan Malaka.
Penulis bercita-cita menjadi seorang peladang dan penternak kambing