SHAH ALAM – Wisma Putra hari ini mengeluarkan perintah kepada Duta Korea Utara, Kang Chol untuk meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam.
Perintah itu dibuat setelah Kang Chol gagal menghadirkan diri ke Wisma Putra di Putrajaya pada jam 6 petang hari ini.
Memetik laporan The Star, Wisma Putra telah menghantar nota kepada kedutaan itu di Jalan Datai, Bukit Damansara berhubung keputusan tersebut.
Dalam masa sama, kerajaan Malaysia menuntut permohonan maaf dari Korea Utara di atas tuduhan berhubung pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Luar mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara susulan kenyataan biadab dikeluarkan Kang Chol berhubung kes pembunuhan Jong-nam.
Jong-nam berada di KLIA2 pada 13 Februari bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.
Jong-nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Laporan Asal
SINAR