Oleh: Usaid Asmadi, Aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia
Tadi aku lepak kejap di ruang rehat pelajar di fakulti pengajianku sementara menunggu kelas jam 2 petang nanti. Ada lebih kurang 3 jam disediakan oleh Tuhan kepada aku untuk dimanfaatkan. Disebelah aku ada buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang karya ZF Zamir sambil jari jemariku sedang melayan wasap pembeli yang mahu beli buku dengan aku.
Dimeja yang berwarna coklat, tempat yang sama aku duduk ada sekumpulan mahasiswa yang lain. Lagaknya seperti sedang menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Aku tak tahu subjek apa dan aku malas nak ambil tahu. Tetiba telinga aku tertangkap satu perbualan kumpulan mahasiswa ini dalam selang masa perbincangan mereka.
“Ni apa weh?”, Soal dia sambil menunjukkan paparan di telefon pintarnya kepada kawan sebelahnya.
“Kau tak yah tanya. Kau buat je”, Balas kawannya lalu sambung menulis apa yang dibaca ditelefon pintarnya.
Lalu dia mendiamkan diri sambil menulis sahaja apa yang disuruh. Aku terdiam. Lama aku termenung cuba memahami respon yang dibalas kepada soalan temannya.
Menghalang seseorang daripada bertanya apa yang tidak diketahui adalah sebuah kerja untuk memandulkan akal samada akal sendiri atau orang lain. Hal ini kerana bertanya adalah suatu indikator bahawa akal kita sedang berfikir dan berusaha memahami. Persoalan tidak akan timbul jika kita tidak berfikir (atau memang kita sudah faham). Proses ini akan semakin rancak apabila persoalan-persoalan yang timbul dibenak kepala dilontarkan dan dibincangkan. Maka terpasaklah sebuah pengetahuan berpaksikan kefahaman.
Pemandulan akal fikir seorang mahasiswa sebenarnya bukan sahaja berlaku didalam kuliah. Terkadang pensyarah didalam kuliah berusaha mengajak mahasiswa untuk mengasak akal fikir mereka. Tetapi pemandulan akal mahasiswa ini juga berlaku didalam perbincangan sesama mahasiswa. Tugasannya hanya siap tanpa mendalami sepatah kata yang ditulisnya sendiri. Visinya dan misinya hanyalah untuk menyiapkan tugasan yang diberi pensyarah tanpa memahami makna dan maksud apa yang dipelajarinya.
Yang penting siap dan hantar kepada pensyarah sebelum tarikh akhir kemudian berdoa semoga markahnya baik-baik sahaja.
Bila difikirkan kembali, kebiasaannya soalan yang akan keluar dari mulut kalangan mahasiswa adalah; “Dah siap ke belum?”. Jarang kita dengar mereka bertanya, “Kau faham ke tidak?”.
Kata Praemodya Ananta Toer, “…apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajarkan yang mana benar, yang mana tidak..”. Ini sedang berlaku dalam kalangan penuntut didalam universiti. Situasi ini adalah berpunca daripada sikap yang terbentuk pasca-pendidikannya di sekolah rendah, disusuli sekolah menengah dan kini di peringkat universiti dimana akal fikirnya terbentuk kesan daripada orientasi peperiksaan. Mahasiswa mengejar gred dan markah yang tinggi semata-mata. Bukan atas asbab cinta dan kefahamannya yang mendalam kepada ilmu.
Maka jangan ditanya kenapa ketika ribuan graduan keluar daripada universiti, masyarakat kita masih lagi dihujani dengan kes bunuh, rogol, kemiskinan dan sebagainya kerana mahasiswa kita hari ini tidak memaknai ilmu yang mereka pelajari. Semua ini berpunca daripada sikap malas berfikir untuk memahami. Kesannya mahasiswa kita tiada sikap dan pendirian apabila berlaku apa-apa perkara.
Kata ZF Zamir, ilmu yang terbaik adalah ilmu yang kembali kepada masyarakat. Ilmu itu memberi manfaat kepada yang memerlukan. Bayangkan jikalau mahasiswa di Malaysia ini benar-benar serius mencintai ilmu lalu turun kepada masyarakat dan memberi manfaat, pasti nuansa masyarakat kita ini akan berubah kepada lebih baik kerana setiap graduan ini akan duduk dicelah-celah masyarakat di kawasan rumahnya selepas mereka keluar menjadi graduan universiti dan mahasiswa yang punya sikap tidak akan berdiam diri ketika wujudnya masalah dalam masyarakat sekitar mereka.
Mereka akan usaha membantu membaikkan. Baik dalam skala yang kecil mahupun skala yang besar.
Cuma itulah, apalah yang boleh diharapkan perjuangan daripada mahasiswa yang malas membaca dan berfikir, dan hanya rajin copy paste daripada wikipedia dan google untuk kerja kursus mereka?