Kuala Lumpur: Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusof Saari mencadangkan mahasiswa bekerja sebagai “floor engineer” atau tukang cuci di universiti untuk menjana pendapatan sampingan.

Ini kerana perkara ini dilihat menguntungkan kedua-dua belah pihak kerana universiti yang menghadapi pemotongan peruntukan kerajaan boleh mengoptimumkan kapasiti mahasiswa yang ingin mencari kerja sampingan. “Apa yang saya nampak sekarang, kalau dekat Universiti Putra Malaysia pagi-pagi, ibu-ibu dan bapak-bapak dari Indonesia selesai sahaja azan subuh di masjid, dia dekat luar cuci.”

“Jadi, saya punya salah satu pendekatan gantikan mereka ini dengan mahasiswa. Mesti ada mahasiswa yang nak bekerja, ke anda tak nak bekerja?” “Kalau saya diberi peluang, saya pun nak kerja jadi ‘floor engineer’. Sihat pun sihat, naik 3 tingkat, turun ke bawah seronok juga,” katanya dalam Forum “Dilema Poket Mahasiswa” di Hub Teach for the Needs (TFTN) di Bangsar, malam tadi yang turut disertai seorang lagi panelis, iaitu Pengarah Urusan DM Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid.

Katanya lagi seperti dalam Free Malaysia Today, cadangan berkenaan boleh mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan pengaliran keluar wang ke negara lain. Selain itu, beliau juga menyarankan kerajaan melaksanakan mobiliti buruh antara negara yang dapat menjimatkan dana negara seperti yang dilakukan negara Singapura.

“Maksudnya kita kekurangan doktor sekarang dekat hospital, kita jangan habiskan duit rakyat, duit kerajaan latih doktor baru ke luar negara, tapi kita import dari negara luar yang dah bersedia masuk ke Malaysia.” “Jadi, kita dah jimat kos kerajaan membiayai pendidikan, subsidi dan sebagainya.”

SUMBER

By Editor

Leave a Reply