Mahasiswa Pakatan Harapan mencabar Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Idris Jusoh atau wakil untuk berdebat isu kebebasan pelajar universiti berpolitik.
“Idris Jusoh seorang alumni beberapa universiti antarabangsa sepatutnya faham kepentingan mahasiswa universiti untuk bebas berpolitik, bersuara dan berpersatuan dalam usaha membangunkan modal insan bagi manfaat negara.
“Kami mengalu-alukan perbincangan sihat berhubung perkara ini di antara kementerian dan mahasiswa universiti.
“Sebab itulah, kami mencadangkan wakil daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk berdebat dengan kami berhubung isu ini,” kata Pengerusi Mahasiswa Pakatan Harapan, Na’im Brundage pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau memaklumkan terdapat ekosistem aktivisme politik yang aktif di universiti-universiti terkenal dan berprestij di luar negara seperti Harvard, Stanford, Yale dan Columbia University.
Beliau berkata malangnya kenyataan Idris mengenai mahasiswa universiti dibenarkan terlibat kegiatan politik di luar kampus sebagai hanya ‘janji manis’.
Beliau memberi contoh kes 15 universiti yang menerima hukuman disiplin kerana hadir perhimpunan ‘Tangkap MO1’ di Dataran Merdeka pada 2016.
“Tindakan yang dikenakan terhadap 15 mahasiswa universiti ini sangat jelas menunjukkan mahasiswa universiti masih tidak bebas untuk terlibat secara aktif dalam politik walaupun kegiatan tersebut berlangsung di luar kampus,” kata Na’im.
Jika Idris benar-benar serius memberikan pelajar universiti kebenaran terlibat kegiatan politik, beliau berkata menteri itu perlu memastikan universiti yang berada di bawah bidang kuasa kementeriannya tidak mengenakan tindakan disiplin sewenang-wenangnya hanya kerana mahasiswa melaksanakan hak mereka untuk bersuara dan berhimpun.
Dalam hal berasiangan, Mahasiswa Pakatan Harapan turut mengumumkan mereka akan melancarkan siri ‘Jelajah Siswa Gelombang PRU’ bagi meluaskan program persatuan mereka ke serata semenanjung Malaysia.
Mereka mengundang mahasiswa universiti yang berminat untuk menyertai mereka dalam siri jelajah yang akan berterusan sehingga pilihan raya umum ke 14 akan datang.