KENYATAAN BERSAMA MAHASISWA PAKATAN HARAPAN TERKAIT ISU KEBAJIKAN MAHASISWA SELEPAS PENGUMUMAN OLEH PM PADA 10 APRIL 2020

Mahasiswa Pakatan Harapan mengikuti rapat pengumuman pada 10 April 2020 yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri berkenaan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020. Tambahan dua minggu ini memberi impak besar kepada rakan-rakan mahasiswa yang berada di dalam kolej kediaman universiti seluruh negara.

Kami berpendapat bahawa mahasiswa yang berada di kolej kediaman universiti perlu dibawa pulang ke rumah masing-masing bagi menghadapi waktu yang sangat getir ini. Kami syorkan di sini beberapa sebab mengapa mereka perlu dibawa pulang;

1. Mahasiswa yang berada dalam keadaan kuarantin di kolej kediaman sudah melebihi had masa kuarantin iaitu dua minggu, mengikut pekeliling Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tiada sebarang kes COVID-19 yang serius dilaporkan setakat ini.

2. Tanggungan perbelanjaan bagi mahasiswa yang terkandas di kolej kediaman amat besar dan mampu membebankan pihak pentadbiran pada jangka masa panjang. Bebanan ini juga dapat dikurangkan kepada keluarga yang terpaksa mengeluarkan wang tunai bagi perbelanjaan peribadi anak-anak mereka di sana.

3. Kebajikan mahasiswa daripada segi fizikal dan mental harus diambil berat pada waktu ini. Ada antara mereka yang berjauhan dengan keluarga dan orang tersayang dan ini boleh menjejaskan keadaan mereka dan dorongan motivasi mereka yang kian merundum.

4. Selain itu, pergerakan bantuan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan bantuan-bantuan lain dapat ditumpukan kepada golongan lain yang lebih memerlukan terutamanya masyarakat terpinggir sekitar kampus universiti. Ini juga dapat mengurangkan lagi pergerakan-pergerakan yang tidak perlu di saat PKP dilaksanakan.

5. Tiada perancangan jelas untuk sesi pembelajaran semester ini jika PKP dilanjutkan sekali lagi bagi menjaga kemaslahatan semua pihak. Kami berpendapat lebih baik jika pelajar-pelajar meneruskan sesi pembelajaran atas talian di rumah kediaman masing-masing.

Oleh kerana faktor-faktor ini, kami mohon agar pihak kerajaan mengambil langkah-langkah sedemikian agar kesejahteraan pelajar-pelajar di kolej kediamanan terjamin;

1. Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memulakan perancangan gerak kerja bagi menyusun pergerakan mahasiswa yang akan pulang ke rumah kediaman masing-masing.

2. Pergerakan untuk membawa pulang pelajar-pelajar yang terlibat perlu kerjasama erat pihak MKN, KPT dan pentadbiran universiti. Pergerakan membawa pulang pelajar perlu dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan pegerakan yang tidak terkawal.

3. KPT perlu mengeluarkan satu ketetapan dan pekeliling bagi mahasiswa yang terlibat dengan pergerakan keluar meraka dari kolej kediaman di universiti. Kami mencadangkan agar ada satu bancian dan pendaftaran untuk mahasiswa yang ingin pulang ke rumah kediaman masing-masing.

4. Pihak KKM melakukan saringan COVID-19 ke atas pelajar-pelajar yang akan terlibat dengan pergerakan keluar ini bagi memastikan kesihatan mereka berada pada tahap yang selamat.

Kami menggesa pihak kerajaan agar memberi perhatian kepada permohonan dan cadangan kami agar kebajikan semua mahasiswa di kolej kediaman dapat diuruskan dengan lebih baik.

Kami juga berharap agar kos perbelanjaan pengangkutan dapat dikurangkan dengan penyediaan subsidi khas. Peruntukan ini dapat dilakukan jika ada kerjasama yang utuh daripada segenap agensi-agensi kerajaan sepeti Kerajaan Negeri, pihak Pengurusan Zakat Negeri dan badan-badan yang bertanggungjawab.

Sejurus itu, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas-petugas di barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak COVID-19. Percayalah, khidmat bagi para petugas barisan hadapan tidak ternilai harganya demi keselamatan semua rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sudah tentu terhutang budi dengan mereka semua.

Kami juga percaya bahawa Kerajaan Persekutuan mampu membawa semua rakyat Malaysia keluar daripada kemelut ini dengan kerjasama yang jitu daripada pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan.

Kenyataan Bersama Oleh :
Mahasiswa Keadilan Malaysia & Mahasiswa Amanah Nasional.

——————————-
Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan kenyataan media ini, sila hubungi saudara Shahrul di talian +601124017264 atau saudara Syafi di talian +601113161723

Leave a Reply