Hari ini tular sebuah artikel yang telah dikeluarkan di sebuah laman iaitu sabahkini2.com bertajuk “Bahana ‘degil’ 19 mahasiswa positif, kini tiga Kolej Kediaman UMS dikenakan PKPD” pada 5 April 2021. Artikel ini bersifat jahat kerana menyalahkan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.
Perlu diketahui bahawa kes mula bergejala di UMS dikesan pada 25 Mac 2021 dan dilaporkan positif pada 2 April 2021. Ini merupakan laporan yang telah diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada 3 April 2021 di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mengaitkan kes penularan di dalam kampus sebagai sikap ‘degil’ mahasiswa adalah tidak berasas. Mahasiswa menuntut diberikan kelonggaran untuk keluar masuk kampus atas kepentingan kebajikan, dan bukan diatas kepentingan lain yang tidak rasional.
Selain itu, perlu untuk diketahui juga bahawa mahasiswa keluar kampus pada 26 Mac 2021, namun kes bergejala telah dikesan sebelum tarikh tersebut lagi. Ini bermaksud kes penularan wujud sebelum mahasiswa dibolehkan untuk keluar masuk kampus pada 26 Mac 2021.
Pihak Suara Mahasiswa UMS menuntut agar sabahkini2.com untuk memadam hantaran yang telah tular tersebut dan membuat permohonan maaf kepada mahasiswa UMS.
Pihak kami berharap agar dalam kalangan mahasiswa tidak mudah untuk menerima segala berita yang kurang tepat dan berhenti bersikap menyalahkan pada waktu sebegini. Segala yang berlaku adalah diluar jangkaan kita. Apa yang dituntut sebelum ini semuanya demi kebaikan dan manfaat mahasiswa secara bersama.
“Dari Mahasiswa kepada Mahasiswa, dari Mahasiswa untuk Rakyat Malaysia!”