PERSATUAN PELAJAR MALAYSIA DI TURKI MENYANTUNI PELARIAN SYRIA.
Pada 1 hingga 3 Februari 2019, penulis berserta 9 lagi pelajar Malaysia yang belajar di Turki telah melaksanakan misi kemanusiaan sempena musim sejuk yang bernama ‘Selimut Untuk Syria 2.0’. Projek ini adalah projek tahunan Persatuan Pelajar Malaysia Turki (MASAT). Bezanya tahun ini adalah ia dilakukan di tiga buah bandar di sempadan Turki-Syria iaitu Hatay, Kilis dan Gaziantep; ketiga-tiga bandar ini merupakan bandar yang memiliki jumlah pelarian yang ramai di Turki.
Selimut Untuk Syria 2.0 dilaksanakan bertujuan memupuk semangat kesukarelawan dalam diri pelajar, mengasah kemahiran kerja berpasukan, membina rangkaian dengan badan-badan kemanusiaan lokal dan mendorong para pelajar untuk menjadi sebahagian daripada solusi kepada krisis kemanusiaan yang berlaku di sekeliling mereka.
MASAT tidak berseorangan dalam projek ini. MASAT berkolaborasi dengan NGO-NGO Malaysia dan Turki seperti IHH Humanitarian Foundation, Hayrat Aid Organisation, Malaysia Stand with Syria (MSWS) dan SHIELD Training Academy. Gabungan kerjasama ini adalah pendedahan awal kepada para sukarelawan kepada pertubuhan-pertubuhan dalam bidang kemanusiaan.
Projek ini juga mendapat sokongan selebriti-selebriti tanah air seperti ahli kumpulan nasyid UNIC, peserta-peserta Da’i TV3 dan para asatizah seperti Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki yang membantu menghebahkan kempen kutipan dana kepada rakyat Malaysia. Hanya dalam masa sebulan sejak kempen kutipan dana dilancarkan, projek Selimut Untuk Syria 2.0 berjaya mengumpul dana berjumlah RM 30 000 yang melebihi sasaran awal iaitu RM 20 000. Pencapaian ini membuka mata kami bahawa masih ada ramai lagi rakyat Malaysia yang dermawan dan berhati mulia untuk menyumbang walau dengan jumlah sekecil RM 10 bagi membantu mangsa peperangan Syria.
Pada hari pertama misi Selimut Untuk Syria 2.0, kami melawat ‘Children’s Living Center’ yang merupakan projek mega IHH untuk anak yatim Syria. Projek ini didanai oleh banyak negara antaranya Qatar, Pakistan dan juga Malaysia. Ia merupakan sebuah kompleks yang menempatkan:
- Dua buah sekolah yang memberi pendidikan kepada 900 orang pelajar.
- Sebuah masjid
- Pusat rehabilitasi psikoloji
- Penempatan lengkap buat 270 orang anak-anak yatim Syria yang datang dari keluarga yang sangat memerlukan.
Setelah itu, kami dibawa ke Pusat Vokasional Kemahiran Menjahit yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih 20 orang wanita Syria yang kematian suami dalam peperangan. Pakaian yang dijahit dihantar ke dalam Syria dan diagihkan secara percuma. Ini adalah inisiatif IHH dengan kerjasama banyak NGO dalam membantu golongan wanita yang merupakan antara golongan paling banyak terkesan oleh krisis yang melanda negara Syria.
Setibanya kami di Pusat Koordinasi IHH Hatay, kami dibawa melawat kilang roti yang menghantar 100 000 keping roti ke dalam Syria setiap hari. Di sini juga terdapat gudang yang menempatkan sumbangan-sumbangan yang dikumpul dari pelbagai negara sebelum dihantar dan diagihkan. Antara sumbangan yang ada di gudang tersebut termasuklah khemah, peralatan rumah dan pek makanan. Khidmat yang sama juga diberikan di Pusat Koordinasi IHH di Kilis yang kami lawati keesokan harinya.
Hatay bandar yang cantik, tanahnya subur dengan tanaman pohon zaitun. Namun ada kisah keperitan hidup yang tersembunyi di sebaliknya. Kami melihat sendiri keadaan keluarga pelarian yang memilukan ketika membuat agihan bantuan. 46 pek makanan dan 72 bag arang dapat diagihkan kepada lebih 40 keluarga yang berada di Hatay. Penghujung hari, kami berkesempatan menjamu dan menyantuni anak-anak yatim dan ibu-ibu mereka di Darulhasene dengan makanan mewah tajaan rakyat Malaysia. Tawa dan senyuman mereka malam itu menghilangkan sedikit kepenatan kami.
Keesokan harinya, setelah melawat Pusat Koordinasi IHH di Kilis, misi diteruskan dengan agihan 100 helai selimut, stokin tebal dan pek makanan kepada 40 keluarga pelarian. Di sini, Anadolu Agensi membuat liputan misi kami untutk disiarkan dalam media tempatan. Suara keprihatinan rakyat Malaysia dapat disampaikan melalui liputan ini. Kemudian kami menziarahi mangsa peperangan Syria yang cedera di Rumah Rawat dan Rehat Esselame. Muhammad antara yang terselamat apabila rumahnya di Hama dibom oleh pesawat Russia. Namun kedua-dua kaki Muhammad terpaksa dipotong. Keadaan warga Esselame mengingatkan penulis bahawa peperangan mengakibatkan banyak kerosakan dan mencabut hak-hak asasi manusia seperti apa yang terpaksa Muhammad lalui.
Kami meneruskan perjalanan menziarahi rumah kecil Abu Ahmad. Kami melihat sendiri anak sulungnya; Ahmad yang kehilangan kedua-dua penglihatan dan kaki akibat terjatuh dalam perangkap perang di rumahnya di Syria. Sedikit sumbangan dapat diserahkan kepada Abu Ahmad bagi meringankan bebanan keluarga mereka.
Pada hari terakhir, kami melawat Rumah Anak Yatim Hayrat di Gaziantep. Di sini anak-anak yatim diberi pendidikan tambahan. Mereka diasuh untuk menghafal al-Quran, mempelajari hadis dan Risalah Annur. Anak-anak ini diberi peluang untuk merasai keseronokan yang dirasai anak-anak lain seperti bersukan dan bermain. Walaupun mereka adalah anak yatim dan hidup mereka teruji, anak-anak ini tetap ceria menyambut kami. Sejumlah sumbangan dapat diserahkan kepada En Abdullah Yazgan, pengurus Rumah Anak Yatim Hayrat Gaziantep. Diharapkan masa yang kami luangkan bersama menjadi kenangan indah buat anak-anak tersebut.
‘Suburkan jiwa memberi, bina harapan untuk dunia’ adalah slogan misi Selimut Untuk Syria 2.0. Dengan mengangkat tema memberi, diharapkan usaha kecil ini berterusan dan dapat memberi sinar buat kehidupan lebih ramai mangsa peperangan Syria pada masa akan datang.
Disediakan oleh:
RUQAYYA BINTI AZHARI
Wakil pelajar Persatuan Pelajar Malaysia Turki (MASAT)