1. Mahasiswa Harapan mendesak barisan kepimpinan Kerajaan Perikatan Nasional terutamanya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin menyatakan komitmen tegas untuk melaksanakan pindaan Artikel 119 (1) pada tempoh yang telah diketahui umum iaitu pada Julai 2021.
2. Komen dari Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim mengatakan pindaan mengurangkan had umur mengundi adalah tergesa-gesa sangatlah tidak masuk akal. Mahasiswa Harapan tegaskan bahawa pindaan ini telah dipersetujui oleh 2/3 Ahli Parlimen termasuk sokongan dari Ahli Parlimen BN dan PAS.
3. Membenarkan mereka yang berusia 18 untuk mengundi merupakan satu langkah ke hadapan dalam menjadikan negara kita sebuah negara yang matang dalam konteks demokrasi. Sepatutnya golongan veteran politik atau ‘warlords’ mengalu-alukan pindaan ini kerana golongan muda inilah bakal menggantikan mereka sebagai pimpinan negara satu hari nanti.
4. Oleh itu, Mahasiswa Harapan merasakan anak muda Malaysia berhak memilih kerajaan yang menepati citra mereka sebagai seorang warganegara Malaysia setelah mencapai usia 18 tahun kelak.
Mahasiswa Harapan
11 Februari 2021