Demonstrasi mahasiswa masih lagi dilihat sebagai satu aktiviti yang berisiko tinggi dan tidak bermanfaat. Sekiranya kita melihat kepada sejarah gerakan mahasiswa, kita akan menyedari beberapa siri demonstrasi telah membuka mata orang ramai – terutamanya kerajaan dalam isu-isu rakyat. Kami tak akan tulis cerita tentang 1970an kerana kami dah beberapa kali tulis, tapi ada satu demo yang telah berlaku pada tahun lepas berkaitan isu-isu kritikal yang sedang dihadapi rakyat ketika itu.
Pada Jun tahun lepas, ada gerakan mahasiswa yang desak kerajaan melaksanakan lima perkara bagi selesaikan isu kenaikan harga barang yang berlaku ketika itu. Mereka mendesak kerajaan untuk dengar tuntutan mahasiswa ini, sebelum gerakan itu ambil tindakan drastik untuk turun mengadakan demonstrasi di jalan raya.
“Kami menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri kerajaan yang tidak masuk akal. Dengan jumlah Kabinet yang besar, adalah lebih baik jika para menteri menyahut tuntutan ini dan menunjukkan kebersamaan mereka bersama dengan rakyat. Kami menuntut agar bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Bantuan sedia ada jelas tidak mencukupi dan tidak dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat akibat kenaikan harga barangan,” – Menurut wakil gerakan mahasiswa tersebut
Tuntutan ini disokong kira-kira 20 gabungan mahasiswa yang antaranya melibatkan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Gerakan itu juga menuntut agar kerajaan mengekalkan subsidi sedia ada dan tak kurangkan sebarang bentuk subsidi yang lain. Kumpulan ini berpandangan tekanan yang dahsyat bakal dirasai masyarakat jika ada subsidi yang dihapuskan dan keadaan ini perlu dibendung.
Antara cadangan mereka adalah meletakkan harga siling yang tepat untuk menyelesaikan isu seperti menetapkan harga siling bagi dedak agar harga ayam terus stabil. Mereka juga menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kawal harga barangan dan makanan kafeteria dan vendor di dalam universiti kerana berlakunya peningkatan harga makanan yang mendadak.
Keselamatan jalan raya, aktivisme yang sering dilupakan
Salah satu perkara yang kami sering terfikir adalah – walaupun mahasiswa selalu gunakan jalan raya (demonstrasi) sebagai medium untuk tarik perhatian tentang isu-isu yang mereka perjuangkan, jarang kita dengar tentang aktivisme mahasiswa yang memberi penekanan terhadap keselamatan jalan raya.
Pada peringkat global, keselamatan jalan raya merupakan kebimbangan yang mendesak yang memberi kesan terhadap berjuta-juta nyawa setiap hari. Untuk menangani isu ini, aktivis mahasiswa perlu muncul sebagai agen perubahan. Komitmen mahasiswa yang tinggi untuk mempromosikan kesedaran keselamatan jalan akan mainkan peranan penting dalam membina persekitaran yang selamat untuk semua pengguna jalan raya.
Meningkatkan Kesedaran
Sudah menjadi lumrah untuk mahasiswa memberi kesedaran kepada rakyat terhadap isu-isu rakyat. Aktivis mahasiswa perlu jadi pemangkin dalam meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat. Semua ini boleh dicapai melalui program-program masyarakat yang mampu dianjurkan oleh mahasiswa. Paling penting, mahasiswa juga perlu menjadi contoh – terutamanya sikap mereka di jalan raya. Kita selalu dengar orang muda kalau bawa kereta, kerjanya nak laju je.
Memperjuangkan Perubahan Dasar
Aktivis mahasiswa perlu memahami dengan perubahan dasar, kita mampu mencipta persekitaran jalan raya yang lebih selamat. Mahasiswa perlu secara aktif berinteraksi dengan pihak berkuasa tempatan, badan kerajaan, dan agensi pengangkutan untuk memperjuangkan peraturan keselamatan jalan yang lebih baik.
Melalui petisyen dan pertemuan, mahasiswa perlu mendesak penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap undang-undang jalan raya, pelaksanaan peningkatan infrastruktur, dan penggunaan langkah-langkah keselamatan inovatif. Contohnya di Sabah, mahasiswa perlu mempersoalkan mengapa banyak jalan raya seperti tanah di ‘Bulan’. Dengan memperkasakan suara kolektif mahasiswa, mereka boleh menekan pembuat dasar untuk berikan keutamaan kepada keselamatan jalan.
Memanfaatkan Teknologi dan Media Sosial
Dalam era digital, mahasiswa perlu manfaatkan kuasa teknologi dan media sosial untuk memperkuatkan advokasi keselamatan jalan raya. Mahasiswa perlu gunakan media sosial untuk menyebarkan mesej-mesej berkaitan keselamatan jalan raya. Melalui kempen dalam talian yang menarik, mahasiswa mampu mencipta komuniti dalam talian yang mendorong dialog, kesedaran, dan perubahan tingkah laku positif di jalan raya.
Ada tanggungjawab yang besar di bahu mahasiswa
Aktivisme mahasiswa mainkan peranan penting dalam mempromosikan kesedaran keselamatan jalan secara global. Mereka sepatutnya tak hanya menggunakan jalan raya sebagai tempat untuk melakukan demonstrasi, tetapi selalu bercakap berkenaan keselamatan jalan raya yang tidak kurang pentingnya.
Sudah tentu kita tak akan melupakan, tahun lepas tentang kematian lima mahasiswa akibat kecuaian orang lain. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dapati kemalangan maut babitkan lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berlaku di kawasan kadar pencahayaan berada pada tahap minimum di waktu malam dan lokasi pembinaan.
Ketua Pengarah Miros, Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, melalui video tular kamera papan pemuka kenderaan belakang, jelas menunjukkan kejadian terjadi apabila lori melanggar belakang kereta mangsa yang mengakibatkan lima maut.
“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika semua pemandu terutama yang mengekori kenderaan mengamalkan corak pemanduan selamat. Ini termasuk mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan hadapan bagi membolehkan pemandu belakang mempunyai masa dan jarak tindak balas yang mencukupi tatkala berlaku kecemasan jika kenderaan hadapan berhenti atau memperlahankan pergerakan,” katanya menerusi kenyataan kepada Harian Metro.