JANGAN pandang rendah pada tukang cuci kasut kerana ada antaranya mahasiswa universiti selain boleh meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan seterusnya mampu menampung perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian.
Antara yang berkecimpung sebagai tukang cuci kasut ialah penuntut semester empat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Mohamad Haziq Mahmood, 24, yang menganggap ia sebagai lubuk rezeki.
Katanya, minat mendalam terhadap kasut terutama jenis ‘sneakers’ menyebabkan dia mengambil keputusan terbabit dalam pekerjaan itu secara serius sejak dua tahun lalu.
“Cuci kasut sememangnya bukan pekerjaan popular lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja dan penuntut universiti kerana dianggap tidak setaraf dengan mereka, malah malu untuk melakukannya.
“Namun, mereka tidak sedar kerana dengan hanya melakukan pekerjaan mencuci kasut, saya mampu memperoleh pendapatan mencecah RM2,000 sebulan,” kata anak peneroka FELDA Kahang Timur, Kluang, Johor itu.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, setakat ini dia sudah mencuci lebih 500 kasut dengan kebanyakan pelanggannya terdiri pelbagai lapisan masyarakat dan ada antaranya menetap di Lembah Klang.
“Perkhidmatan saya berpusat di Kluang ketika cuti semester dan Tanjung Malim, Perak ketika sesi pengajian bermula, namun rata-rata pelanggan pula adalah dari Lembah Klang.
“Mereka mengepos kasut atau hantar sendiri bila ada kelapangan dan saya akan mengepos kembali kasut mereka selepas dicuci.
“Saya utamakan kualiti dan kepuasan pelanggan setiap kali menawarkan perkhidmatan mencuci kasut dengan harga antara RM10 hingga RM20 sepasang bergantung kepada jenis kasut,” katanya.
Menurutnya, kebiasaannya dia mencuci dua hingga tiga pasang kasut sehari, malah terpaksa meminta pertolongan rakan lain jika menerima banyak tempahan.
“Tukang cuci kasut adalah pekerjaan sampingan saja, namun pada masa akan datang, saya bercadang memperluaskan lagi dengan membuka kedai bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan.
“Setakat ini, maklum balas daripada orang ramai amat menggalakkan dan kebanyakan mereka tidak mengetahui bahawa saya adalah mahasiswa tukang cuci kasut,” katanya.
Mohamad Haziq berkata, pada peringkat awal, keluarganya agak keberatan membenarkannya meneruskan pekerjaan sampingan itu kerana dibimbangi akan mengganggu fokus kepada pelajaran.
“Saya memberitahu mereka bahawa pekerjaan itu adalah perkara yang diminati sejak dulu dan tidak kisah terpaksa meluangkan lebih banyak masa untuk melakukannya, namun pada masa sama saya memastikan pelajaran tidak terganggu,” katanya.