Elaun Pelatih : Semoga Syed Saddiq Di Jalan Yang Benar
Pasca kejayaan YB Syed Saddiq Abdul Rahman mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat dalam menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun pada minggu lalu, kini isu elaun pelatih menjadi fokus dan agenda utama dalam perhatian pihak Kementerian Belia dan Sukan. Isu yang dibahaskan ini wajar untuk kita perhalusi satu persatu. Kewajaran memberi elaun kepada pelatih; sama ada di sektor kerajaan atau swasta, seharusnya sudah mendapat kata putus sejak sekian lama. Tetapi masih tiada sebarang inisiatif oleh pihak berkepentingan untuk menyelesaikan isu ini
Saya tidak menafikan bahawa tujuan pelatih mendapatkan tempat praktikal di sektor kerajaan atau swasta adalah untuk mendapatkan seribu satu pengalaman bekerja sebelum menerjah secara serius ke alam pekerjaan suatu hari nanti.
Namun kita harus menerima kenyataan bahawa tidak semua pelatih berkhidmat dalam keadaan yang senang. Kebanyakan mereka datang dari latar belakang keluarga BL40 dan B40, yang terpaksa menyewa di sekitar Lembah Klang semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab di tempat praktikalnya. Mereka harus berhadapan kos sara hidup yang membebankan sambil membayar yuran pengajian.
Saya melihat usaha YB Syed Saddiq sangat baik dalam menjadikan isu ini terus dikembangkan. Anak muda dan isu kebajikan mereka haruslah diangkat dalam setiap peringkat pentadbiran setelah lulus Undi 18 Tahun. Ia memberikan kesan yang signifikan dalam membela nasib mahasiswa yang terlibat sama dalam hal ini.
Seandainya benar pihak kerajaan mahu mewajibkan semua sektor untuk membayar elaun kepada pelatih, saya syorkan ianya dimulakan dengan sektor kerajaan terlebih dahulu yang. Kerana ramai sedia maklum hampir semua pejabat mereka sendiri tidak membayar elaun kepada pelajar praktikal.
Di samping itu, pihak kerajaan juga haruslah menilai kembali semua jenis tugasan yang diberikan kepada pelatih di sektor kerajaan kerana terdapat pelatih yang tidak diberikan tugasan bersesuaian dengan bidang pengajian mereka. Melalui medium perlatihan ini sewajarnya ia akan mengembangkan intipati intelek dan meningkatkan motivasi pelatih yang berkhidmat.
Saya fikir bahawa mewujudkan satu polisi khas kepada semua sektor awam atau swasta untuk memberi elaun bermula dengan jumlah yang paling minima bergantung kepada timbang tara pihak yang terlibat. Melihat kepada kadar gaji ibu dan ayah, penerima biasiswa dan sebagainya. Supaya kadar elaun itu dapat membantu golongan pelatih yang membanting tulang dan berkhidmat buat sektor tersebut.
Inilah masa yang tepat untuk nasib anak muda dibela selepas kejayaan pindaan had umur mengundi pada minggu lalu.
Bukan apa, akhirnya kehadiran pelatih itu dapat memperkasa kadar efisyennya sesebuah sektor dan manfaatnya kembali kepada mereka sama ada kerajaan atau swasta.
Luthfi Yusri.
Kini sedang melanjutkan di Universiti Malaya. Editor sepenuh masa di Nadi Mahasiswa Malaysia. Beliau merupakan aktivis Belia HARMONI Pantai Dalam. Beliau juga merupakan Alumni Sekolah Merdeka.