Kenyataan Media Nadi Mahasiswa Malaysia
1) Nadisiswa menyambut baik usaha kerajaan berkenaan pindaan terhadap tiga akta yang telah diluluskan Dewan Rakyat malam tadi.
Akta tersebut ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.
2) Pindaan tersebut memberikan lampu hijau kepada mahasiswa untuk lebih bergiat aktif memandikan diri dengan aktiviti intelektual di Universiti. Semua pindaan terhadap akta ini bertujuan menamatkan larangan ke atas penuntut institusi pengajian tinggi untuk terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.
3) Pindaan ini juga signifikan bagi membunuh budaya ‘culture of fear’ dalam kalangan mahasiswa akibat kekejaman AUKU.
4) Walaupun ia bermula dengan beberapa pindaan dalam Rang Undang-Undang AUKU 2018, saya fikir ini adalah langkah awal kerajaan untuk memansuhkan akta ini secara terus.
5) Mahasiswa seharusnya diberi kebebasan untuk beridealisme secara kreatif, berwacana secara tuntas dan berpersatuan secara mandiri. Keterbukaan akan membentuk suatu naratif yang baik kepada medium universiti.
6) Menjemput ahli politik ke kampus untuk tujuan pencerahan dan dialog juga adalah suatu yang murni dalam perspektif memberi pendedahan kepada mahasiswa berkenaan isu-isu semasa. Hatta menubuhkan kelab parti politik di kampus.
7) Terima kasih diucapkan kepada aktivis-aktivis mahasiswa yang tidak pernah serik memperjuangkan nasib mahasiswa zaman berzaman. Terutamanya sebelum era kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018 yang lepas.
Banyak harga yang perlu dibayar oleh kalian!
Luthfi Yusri
Sub-Editor Nadi Mahasiswa Malaysia