Reformasi berjaya mewujudkan tingkat kesedaran baru dalam politik. Lihat sahaja sejarah sekitar tahun 1998. Saudara Anwar Ibrahim isytihar suatu gerakan reformasi untuk melawan rejim pemerintah ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad.

Anak-anak muda yang sebelum ini hanya diam di bilik kuliah, bekerja sepanjang hari dan studio jamming mulai berani berkumpul di warung-warung kopi dan berdebat isu-isu politik, sosial, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan secara terbuka dan bebas. Tidak dapat dinafikan konteks nasional dan kampus memang berbeza. Cuma saya hanya mengambil ia sebagai sebuah analogi perbandingan untuk kita melihat sebuah naratif perubahan.

Namun pada hari ini, kesedaran politik itu kian menghilang dikalangan mahasiswa. Kesedaran untuk ambil tahu berkaitan isu semasa kampus, nasional dan antarabangsa kian menghentam diri mahasiswa. Hatta sikap ambil tahu berkaitan pemimpin mereka di universiti dan fakulti juga kian meruncingkan. Apatah lagi kesedaran untuk mengundi dan terlibat sama dalam mengembalikan fungsi universiti kian merisaukan. Saya yakin ia melibatkan pelbagai faktor antaranya  adalah impikasi pembudayaan politik kotor, kesedaran mahasiswa, implikasi AUKU yang mencengkam aktivisme mahasiswa sejak sekian lama, persepsi psikologi pengundi yang merasakan semuanya okay dan sebagainya.

 

Pembudayaan Politik

Pembudayaan politik yang kotor seumpama pembunuhan karakter, bermain sensitiviti agama dan bangsa memberikan suatu naratif yang kurang baik buat kampus. Kisah-kisah seumpama menggantung kepala babi di surau APIUM, menconteng kain rentang mahupun poster,  culik calon sebelum penamaan calon dan sebagainya. Barangkali terkesan dengan konteks Pilihan Raya Umum yang memang begitu hakikatnya. Penuh propaganda dan anasir yang kurang baik. Mahasiswa harus menjadi pencorak kepada suatu budaya yang murni dalam menjadi agen perubah di dalam kampus. Keutamaan dalam membentuk suatu wacana yang sihat serta pengamalan hujah bertemu hujah harus digiatkan. Bukan sekadar untuk Pilihanraya Kampus sahaja, tetapi medium ilmu yang lain juga.

Pembudayaan politik nilai secara komprehensif pasti akan memberikan suatu naratif yang murni buat sekalian mahasiswa. Budaya hujah bertemu hujah semcam dialog serta wacana dan meraikan perbezaan secara harmoni akan lebih membentuk paradigma perspektif mahasiswa. Kredibiliti mahasiswa akan lebih ditonjolkan secara sihat untuk menjadi elemen utama untuk mencorak kampus.

 

Implikasi AUKU

AUKU 1971 benar-benar mencengkam hampir kesuluruhan aktivisme mahasiswa. Peruntukan yang ada didalamnya menggelapkan kemandirian mahasiswa secara umumnya walaupun dikala perlaksanaan, ramai mahasiswa yang melawan akan kedangkalannya. Hinggakan ada yang disaman, digantung semester dan digantung pengajiannya di universiti seperti (Anis Syafiqah, Suhail Wan Azahar, Adam Adli dll) Malah, ruang inteletualisme juga disekat seperti kes Afiqah Zulkifli (Diskusi GST bersama Rafizi Ramli) di UIA, Gombak.

Demi meraikan keterbukaan universiti pada hari ini, kita harus memanfaatkan ruang sebegini untuk mewunjudkan kesedaran dan memperluas agenda pencerahan berkenaan pembudayaan politik nilai yang harus diambil semangat oleh front politik mahasiswa mahupun mahasiswa itu sendiri. Politik adalah satu ruang untuk beramal, bukan sekadar kau memikirkan kepentingan kelompok semata-mata.

 

Universiti harus menjadi pusat percambahan pemikiran yang bebas dan kritis sama ada melalui wacana, forum atau protes bukan hanya untuk mahasiswa tetapi keseluruhan masyarakat. Mahasiswa harus dipenuhi jadualnya hidupnya dengan majlis-majlis yang menambah keilmuannya serta berkhidmat kepada masyarakat. Ia merupakan medium pendidikan untuk mahasiswa menempuh ke alam realiti yang luar biasa cabarannya. Ia sekali gus memberi ruang serta peluang kepada mahasiswa untuk menentukan serta mengawal selia universiti masing-masing.

Ruang wacana awam telah dikembalikan dan harus bergiat aktif di dalam membentuk pemikiran rakyat terbanyak. Universiti mesti diperkasa sebagai pentas wacana yang meriah. Segala perbezaan dan ribuan schools of thought yang ada mesti diraikan dan dibincangkan secara sihat, malah ia mesti dihubungkan kepada masyarakat. Mahasiswa harus berani membina naratif dan berprinsip. Manfaatkan segala ruang yang ada sama ada melalui penulisan, aktivisme khidmat masyarakat dan  diskusi intelektual.

 

Luthfi Yusri

Editor Nadi Mahasiswa Malaysia

Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

Leave a Reply