DAPATAN PASCA BENGKEL JAWATANKUASA PEMANSUHAN AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI (AUKU 1971)

Saya telah dijemput untuk menghadiri Bengkel Jawatankuasa Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU 1971 pada 26hb hingga 28hb April 2019 yang lalu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. Bengkel ini turut disertai oleh pelbagai kelompok mahasiswa bermula dengan wakil mahasiswa daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di IPTA dan IPTS, Badan Organisasi Mahasiswa (Persatuan Belia Harmoni Malaysia, GAMIS, Mahasiswa Nasional, Mahasiswa Keadilan, PKPIM) dan ramai lagi.

Pada hemat saya, bengkel ini merupakan sebuah usaha pemudahcara antara pimpinan mahasiswa  dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Gerakan Pembebasan Akademik (GPA) untuk mengutip suara dan pandangan mahasiswa mengenai adakah wajar jika AUKU di mansuhkan atau sekadar pindaan sahaja. Namun ada beberapa yang perlu diperbaiki dalam perspekstif figura-figura yang dijemput dan budaya-budaya yang kurang enak.  Selain itu, saya fikir ia adalah suatu usaha yang baik dalam menghimpunkan kesemua pimpinan mahasiswa di peringkat universiti mahupun nasional dalam memberdayakan mereka ke arah Malaysia yang lebih progresif dan kompeten dalam melahirkan pemimpin yang berkaliber pada masa akan datang. Bukan sekadar itu, kita mahukan mahasiswa yang sifatnya mandiri dengan jiwa dan raganya serta menjadi agen pemberi solusi/agen perubah kepada isu-isu mahasiswa dan masyarakat secara umumnya.

Sepanjang berada disini pelbagai diskusi, wacana dan soal jawab yang dapat dizahirkan bersama dalam mendapatkan jawapan terbaik untuk memastikan setiap intipati slot yang diterima itu dapat dibahaskan secara membumi. Perbahasannya berfokus sekitar skop naratif sejarah mahasiswa, autonomi universiti, kebebasan akademik dan falsafah undang-undang. Berpandukan kepada pengisian ini, wakil-wakil mahasiswa akan cuba sedaya upaya mencermati sekiranya AUKU dimansuhkan atau harus dipinda kelak.

 

Universiti dan Tujuannya

Profesor Awang Had Salleh pernah menjelaskan tugas utama universiti ialah menemukan kebenaran dan memperbaharuinya. Sudah tentu, untuk menemukan dan memperbaharui kebenaran ini, sebuah persekitaran terbuka dan bebas sangat diperlukan. Ia perlu berlangsung bukan saja dalam konteks penyampaian ilmu, kajian atau pembacaan, tetapi juga perdebatan idea dan pemikiran. Universiti bukanlah sekadar sebuah bangunan yang nostalgik, tetapi ia adalah sebuah budaya yang harus dihidupkan dan diperkukuhkan.

Bagaimanapun, ini tidak dapat berlaku dengan baik sekiranya ada kawalan yang objektifnya berbeza, mengutamakan kepentingan politik kepartian atau tokoh tertentu. Kawalan yang dikenakan sampai menentukan apa yang boleh atau tidak boleh diajar seseorang pensyarah, apa yang boleh dibaca atau dimiliki mahasiswa dan dengan siapakah mereka boleh berurusan. Seolah-olah kebenaran hanya ada pada satu pihak sahaja. Mujur selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14 tahun lalu, ia memberi suatu nafas baharu kepada universiti. Aspirasi YB Dr Maszlee Malik yang percaya kepada idea Kebebasan Akademik dan Autonomi Universiti haruslah dipikul bersama demi kelestarian kampus dalam menjadi gedung ilmu yang efisyen dan medium untuk mahasiswa beraktivisme secara aktif tanpa limitasi yang menyekat.

 

Cabaran Semasa

Saya fikir cabaran yang dihadapi Malaysia hari ini hanya mampu ditempuh dengan bermulanya kebebasan intelektualisme dalam kalangan mahasiswa serta pemberian secara tuntas autonomi universiti yang holistik kepada setiap universiti memberi suatu naratif baharu dalam menjadikan institut pengajian tinggi yang lebih efisyen dan progresif.

Dengan mansuhnya akta-akta yang menyekat kebebasan akademik dan autonomi mahasiswa dalam menguruskan mahasiswa, akademik, kewangan dan universitinya, saya yakin dan percaya pergolakan cabang dan falsafah ilmu akan mekar dikalangan mahasiswa dalam menangani isu nasional dan global, sepertimana yang pernah dirasai negara bertuah ini pada era 60-70an yang digerakkan di Universiti Malaya. Tokoh-tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Datuk Ibrahim Ali, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Sanusi Jusoh dan ramai lagi.

Secara peribadi, saya agak skeptikal berkaitan kebebasan secara penuh kepada mahasiswa. Sejauh mana kebebasan yang diberikan? Apakah ia punyai limitasi tertentu? Pasca sekiranya AUKU dimansuhkan menjelang tahun 2020. AUKU secara jelas telah menyekat aktivisme mahasiswa sejak 50 tahun yang lalu. Kebebasan bersuara yang terletak di Perlembagaan Malaysia bertentangan dengan intipati AUKU yang menyekat kebebasan suara mahasiswa. Tambahan pula, ia mematikan idealisme mahasiswa dalam pelbagai skop antaranya neraca penilaian isu dan analisis maklumat yang diterima. Sekiranya AUKU dimansuhkan, limitasi mahasiswa sudah mencukupi sekadar Perlembagaan Malaysia menjadi rujukan tertinggi mahasiswa yang merupakan sebahagian anggota masyarakat di bumi Malaysia ini. Selagi mana tindakan mereka dalam ruang lingkup perlembagaan, ia harus diraikan dan disambut baik oleh semua pihak. Adapun akta baharu, ia harus menyentuh soal-soal pentadbiran universiti seperti pendaftaran universiti dan mahasiswa malah wajib bersifat mesra mahasiswa.

 

Teguran Murni Buat Penganjur : Bengkel Yang Kurang Merakyat

Saya fikir penganjur mungkin terlepas pandang perkara ini. Biasalah manusia, kadang-kadang punyai kesilapan yang kita sendiri tidak pernah cermati kecuali ada orang yang datang meneguri. Saya ada membaca artikel tulisan saudari Nabilatul Husna berkenaan respon beliau berkenaan bengkel ini. Saya fikir ada sebahagian besar pandangannya wajar untuk di post-mortem secara teliti. Objektif yang saya Imani sejak saya pertama kali menjejakkan kaki ke UIAM, Gombak ini adalah kutipan suara mahasiswa berdasarkan informasi, pemerhatian dan perbincangan yang dilakukan. Namun yang menjadi polemik adalah jemputan panelis yang memang bias kepada pemansuhan akta. Jadinya wacana yang dimainkan semuanya berlatar-belakangkan pro-mansuh semata-mata.

Kita sukar untuk menimbang-tarakan antara pindaan dan pemansuhan secara matang dek kerana hal ini. Saya kira jemputan panelis harus punyai dua sisi padangan yang berbeza. Disitu kita boleh menilai hujah dan idea untuk dirakyatkan dengan baik. Tidak semua orang pernah menjadi Majlis Perwakilan Pelajar, hatta tidak semua orang pernah merasai pengalaman menjadi aktivis mahasiswa yang pernah duduk bantah di kementerian, hantar memorandum di parlimen dan berdemo di jalanan. Intipati pengalaman ini haruslah di dicernakan dengan baik. Bukan sekadar mengklaim yang kita pernah buat itu dan ini demi perjuangan mahasiswa sambil merasakan diri kita sahaja yang memegang kebenaran semata-mata.

Laungan-laungan seumpama Hidup Mahasiswa, Kebebasan Akademik dan Autonomi Universiti bukan sekadar retorik semata-mata. Jangan begitu mudah memukul rata dengan mengatakan anda mewakili mahasiswa. Perbincangan Kebebasan akademik dan autonomi universiti harus dibina atas dasar realiti, analisis, pengalaman dan ruh intelektual. Bukan dengan acuan akal yang sempit lagi menyempitkan.

Akhirul kalam, saya ucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, JK Pembangunan Mahasiswa, Gabungan Pembebasan Akademik dan AJK Pelaksana (Komiti UIAM Gombak) atas penganjuran bengkel seumpama. Terima kasih atas peluang ini yang jarang sekali mengunjung tiba. Buat rakan-rakan mahasiswa, teruskan perjuangan demi mahasiswa. Saya mengharapkan perbahasan ini bukan sekadar di ruang lingkup ini sahaja, tetapi kita cuba menjadi ejen pencetus kepada mahasiswa untuk mula ambil cakna keperluan perihal ini.

 

Luthfi Yusri

Editor Nadi Mahasiswa Malaysia

Wakil Persatuan Belia Harmoni Malaysia di Bengkel Pemansuhan/Pindaan AUKU 1971

Leave a Reply