Terus kepada perbincangan, sekiranya diamati pada dekad 80 ke 90 an, gerakan-gerakan mahasiswa dan anak muda yang berorientasikan dasar perjuangan Islam senantiasa melatari perjuangan membebaskan rakyat dari belenggu kezaliman pemerintah dan membaiki struktur sosial masyarakat. Antara nama-nama besar gerakan islam mahasiswa dahulu ialah Persatuan Mahasiswa Islam di pelbagai Universiti, Gabungan Mahasiswa Islam, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan lain-lain.
Warna-warna perjuangan politik mahasiswa Islam pada ketika itu juga dilihat terdapat pertembungan perbezaan pandangan dan kumpulan antara mereka. Walaupun terdapat isu singkir-menyingkir dan rebut-merebut sesama mereka, mereka mampu menyelesaikan secara damai (pada ketika itu) dan masih bertahan di bawah satu kesatuan. Namun kesannya kita boleh lihat pada hari ini. Perkara tersebut amat panjang sekiranya dibahaskan dan bukan dalam ruang tulisan ini.
Persoalannya, sejauh manakah gerakan-gerakan mahasiswa Islam pada hari ini terkehadapan dalam menyelesaikan isu dan permasalahan mahasiswa, negara dan juga sebagai conscience of the majority (bak kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim)? Mungkin dahulu, medium advokasi dan kelantangan mahasiswa Islam adalah satu-satu perkara yang relevan dan berkesan. Namun pada hari ini, bentuk aktivisme mahasiswa sudah berubah daripada kelantangan suara semata-mata kepada kelantangan mengeluarkan idea dan cadangan penyelesaian.
Penyelesaian yang dicadangkan juga pastinya perlu menampakkan idea pembawaan Islam. Sudah tentu bila sebut tentang Islam, maka tidak ada cabang-cabang lain sehingga mengaburkan masyarakat awam tentang konsep Islam itu sendiri. Ada garis-garis dan dasar serta prinsip keilmuan Islam yang perlu diperhalusi. Bukan semberono. Fundamental perlu kukuh dan kuat.
Cadangan dan ide penyelesaian ini pula bukanlah bersifat populis semata. Tetapi benar-benar menatijahkan dan memperlihatkan kesyumulan Islam kepada masyarakat dalam menyelesaikan masalah yang timbul dalam konteks mahasiswa ataupun masyarakat. Tidak kiralah daripada blok mana sekali pun, tetapi elakkan lah daripada mengeluarkan kenyataan yang menjadi liabiliti kepada perjuangan dakwah Islam di Malaysia.
Yang menjadi perhatian juga adalah kelemahan ahli gerakan mahasiswa Islam untuk menerangkan rasionaliti Islam dengan nas-nas yang berpandukan disiplin keilmuan islam dalam gerak kerja perjuangan mereka. Mereka juga harus bijak dalam menyangkal idea ciptaan manusia yang bertentangan dengan dasar dan aqidah islam.
Itu lah sebabnya bila berhadapan dengan masyarakat, kita sering lari daripada hukum yang telah terang dalam Shari’ah yang dianggap bermasalah dalam masyarakat. Apabila kita cuba untuk downplay dengan perkara tersebut, maka ia tidak sesekali pun mengubah pandangan buruk masyarakat yang tidak faham terhadap Islam. Tidak kira lah samada kita mengambil pendekatan yang lebih rahmah atau tidak, ianya tidak akan selesai sekiranya ahli gerakan mahasiswa Islam tidak mampu menerangkan Islam itu secara keseluruhannya kepada masyarakat dan mahasiswa.
Siapakah Islamis?
Suka juga diingatkan agar kita tidak terperdaya dengan istilah “Islamis”. Perkataan ini kebanyakannya diguna oleh sarjana orientalis untuk menggelarkan golongan yang memperjuangkan segala idea dan dasar Islam agar dijadikan panduan dan prinsip sistem kehidupan sosial dan politik manusia.
Tetapi gelaran ini juga dilihat universal dan digunakan sebagai penisbahan kepada golongan yang bukan hanya memperjuangkan idea islam dalam politik sahaja tetapi turut juga aspek kehidupan yang lain. Jadi, apa bezanya Islamis dan muslim? Kalau mereka yang Islamis adalah mereka yang mengamalkan dan memperjuangkan sepenuhnya prinsip Islam, maka setiap Muslim adalah Islamis.
Bukankah satu perkara yang pelik sekiranya sahabat seislam kita menggelarkan kita Islamis? Seolah-olah prinsip dan perjuangan Islam itu tidak terpakai untuk dia (yang juga megucap dua kalimah syahadah). Namun begitulah, tidak semena-mena yang melontarkan persoalan ini dituduh mengkafirkan saudara sendiri.
Gerakan Mahasiswa Islam yang segar.
Kalau ikutkan kepada pendekatan politik, terdapat cabang dan pecahannya di kalangan umat Islam di Malaysia. Di kalangan mahasiswa sendiri sudah wujud kecenderungan yang berbeza. Dahulu mereka boleh duduk di bawah satu bumbung walaupun berbeza bilik. Tapi kini, masing-masing sudah punya rumah masing-masing. Samada menjadi jiran yang baik ataupun saling bercakaran.
Mungkin ada yang tertanya apa perlunya perjuangkan Islam kalau nak dibandingkan dengan perjuangan kebajikan rakyat/mahasiswa? Kenyataan ini bermasalah kerana penyelesaian kepada permasalahan sosial/rakyat memerlukan kepada struktur rangka pemikiran yang jelas. Dalam sedar atau tidak kita sibuk memperjuangkan kebajikan sosial, sebenarnya kita turut dipengaruhi pemikiran tertentu. Sosialis kah, liberalis kah, sekular kah, anarkis kah dan apa kah. Islam sangatlah berbeza dengan pemikiran tersebut walaupun pada beberapa sudut berkongsi nilai yang sama.
Perbincangan tentang gabungan islam sosialis, islam liberalis dan lain-lain tempelan kepada nama islam sudah selesai di kalangan ulama. Keputusannya ialah tidak wujud istilah tersebut. Mendakwa diri mereka islam demokrat, tapi lebih demokrat berbanding Islamnya. Mendakwa diri mereka Islam Liberal, lebih liberal berbanding islamnya. Islam adalah Islam. Noktah.
Firman Allah SWT;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ – 2:208
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah: 208)
Suatu masyarakat sosial yang ideal dan progresif perlu bermula daripada bawah ke atas (bottom-up). Di dalam Islam bermula daripada individu, keluarga sehinggalah kepada pemerintah semuanya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang telah disusun oleh Allah SWT. Bukan bersifat top-down di mana kuasa negara mengawal setiap aspek sepertimana kebanyakan negara-negara sekular. Justeru, hukum-hukum Islam perlu dibincang secara menyeluruh dan bukan terpisah.
Penulis merasakan sudah tiba masanya agar ahli gerakan-gerakan mahasiswa Islam ini duduk semeja bagi membincangkan dan mengeluarkan dan menerangkan penyelesaian dengan substance Islam yang kukuh bagi menonjolkan bahawa sememangnya islam menyediakan penyelesaian kepada masyarakat. Kita sudah ada titik kesatuan, tapi masih lagi mengamalkan sikap cantas-mencantas dan susup-menyusup demi kepentingan kumpulan sendiri.
Jarum-jarum ideologi yang mencucuk dan mengganggu akidah dan pegangan umat Islam hari ini seolah-olah tidak mampu dikawal lagi. Sajian-sajian penyelesaian rekaan manusia yang jauh daripada landasan Islam memberikan kesimpulan bahawa pembawaan naratif sentimen agama semata-mata masih tidak cukup lagi. Dalam Magna Charta Universitatum yang diperkenalkan oleh University of Bologna pada tahun 1988 menyatakan bahawa universiti adalah satu institusi autonomi. Mahasiswa perlu berpihak kepada kebenaran yang bersifat ilmiah. Justeru, sikap ilmiah yang turut diajukan dalam Islam itu seharusnya diberi tumpuan lebih oleh ahli gerakan mahasiswa Islam khususnya.
Islam tidak perlu dimudakan atau dituakan. Kerana ianya inklusif untuk yang muda mahupun tua. Yang perlu dimudakan adalah gerak kerja ahli gerakan. Muda bukan dalam konteks usia, tetapi dari sudut kecerdasan, tenaga dan idea yang sinonim dengan konotasi muda. Dengan kelebihan tersebut, maka pesan pak Hamka teruskanlah berguru, membaca dan bergaul. Semoga gerakan mahasiswa Islam terus segar dengan penerangan dan pencerahan ilmiah di samping perjuangan kebajikan mahasiswa dan suara rakyat marhaen.