PENGADIL BERAT SEBELAH APA TINDAKAN FAM?

Semalam berlangsungnya pertandingan futsal sirkit akhir wanita MPFL buat julung kalinya yang dimenangi oleh pasukan Kuala Lumpur. Namun begitu, sebagai penonton yang menyaksikan perlawanan akhir tersebut saya dapat melihat mutu pengadilan yang teruk dan kelihatan berpihak pada pasukan Kuala Lumpur. Ia jelas melanggar “Code of Ethic” sebagai seorang pengadil. Mengikut peraturan FIFA seksyen 5 “Rules of Conduct” 14 menjelaskan tentang “duty of neutrality” di mana pengadil perlu mengekalkan integriti dan bersifat natural ketika mengadili perlawanan. Beberapa foul dilakukan pemain Kuala Lumpur sepanjang perlawanan namun hanya ketika pemain Selangor melakukan foul sahaja wisel kerap kali dibunyikan sehingga mencetuskan ketegangan antara pemain.

Peristiwa ini juga terjadi ketika sirkit 3 perlawanan antara Selangor dan Kuala Lumpur yang mana pengadil sangat jelas melanggar etika “Code of Ethic” sebagai seorang pengadil. Beliau nyata memberi kad kepada pemain tanpa sebab yang kukuh malah bersikap bias, walaupun pemain daripada KL, Intan Sarah menjaringkan gol dan melakukan offense dari sudut aksi ketika meraikan gol dengan gaya tembakan ia sebenarnya telah melanggar AFC Disciplinary Code 2016 mengikut artikel 48 rujuk 48.1.6 “using  offensive, insulting or abusive language and/or gestures” namun tiada apa-apa tindakan diambil oleh pengadil tersebut. Malah ketika melawan Perak pemain ini jelas menunjukkan sign “fuck” kepada pemain Perak ketika sirkit 3.

Persoalan utama jika pengadil, pembantu pengadil pegawai teknikal dan sebagainya diminta mengadili perlawanan futsal adakah mereka memahami perbezaan dua sukan ini atau sekadar dihantar tangkap muat sahaja? Jika dihantar ke MPFL yang dikatakan bar untuk liga professional ini sesuatu yang dikhuatiri kerana kekecohan telah berlaku pada sirkit 3 yang lalu dan terus dihantui sehingga sirkit akhir apabila pengadil yang dihantar FAM beberapa kali mengadili perlawanan dengan cara yang meragukan profesionalismenya sebagai seorang pengadil.

Saya pasti FAM mempunyai KPI tersendiri untuk seseorang pengadil itu namun beberapa persoalan berkenaan sistem pengadil di negara kita. Jika seseorang pengadil mempunyai rekod tidak baik adakah FAM memaparkan di website mereka nama-nama pengadil tersebut dan kesalahan apakah yang menyebabkan kelab atau persatuan terbabit menghantar laporan? Pada pandangan saya mutu pengadilan seseorang pengadil sangat penting dalam memastikan semangat kesukanan tidak dipergadaikan dalam mengadili sesuatu perlawanan.

Mungkin ia terlihat kecil peranannya, namun jika pengadil mengadili dengan berat sebelah ia turut menjejaskan keseluruhan perlawanan tersebut. Kita tidak mahu isu pengadilan berat sebelah menjadi punca kekalahan sesuatu pasukan. Jika pengadil tersebut tidak dikenakan tindakan saya khuatir pengadilannya akan datang boleh menimbulkan ketegangan antara kelab dan memperjudikan semangat kesukanan para pemain. Dalam pertandingan menang kalah adat permainan tetapi isu integriti dan etika seorang pengadil wajar dipersoalkan jika ia terang bersuluh melanggar Code of Ethic mengikut peraturan FIFA.

Sudah tiba masanya FAM mengambil serius isu pengadil yang direkrut mereka. Kita tidak mahu hal ini terjadi dalam sukan bola sepak khususnya. Kita mungkin boleh memejam mata dan memekakkan telinga kerana sukan futsal mungkin tidak memberi impak besar seperti mana sukan bola sepak namun FAM selaku persatuan bola sepak perlu memandang serius kerana pada akhirnya ia membawa imej persatuan ini dan yang menerima kesannya sudah tentu pemain itu sendiri.


Leny Azmi

Alumni Sekolah Merdeka

Leave a Reply