“ Tidak terlibat dengan parti politik kita bebas untuk kritik siapa sahaja dan tidak tersekat idea kita, mereka yang terlibat dengan parti politik menjadi pak turut dan lembu sahaja tiada kebebasan suara, tiada percambahan idea dan makin bodoh dalam politik

Ini mungkin salah satu teriakan yang diluncurkan oleh anak muda yang memilih dan tidak mahu berpartisipasi dalam parti politik. Bahkan terkadang mereka seakan trauma seperti mangsa rogol yang dirogol secara bergilir. Naif dan daifnya sudut pandang mereka itu. Dalam parti politiklah anak muda bisa menemukan kepuasan dalam memberikan ekspresi dan suara politiknya, bahkan kritik-kritik anak muda dalam parti politik lebih tajam dan dahsyat dari anak muda non partisan.

Apa mereka tidak menyaksikan bahawa anak muda dalam parti politiklah yang paling banyak dan kuat mengkritik parti lawannya?

Apakah mereka buta tidak dapat menyaksikan serangan demi serangan hujah perkataan dari anak muda parti politik kepada musuh-musuh politiknya?

Apa mereka ini tuli tidak bisa mendengar teriakan anak muda dari parti pembangkang setiap kali berhadapan dengan ketidakwajaran pemerintah?

Bahkan kritikan anak muda dalam parti politik ini lebih bebas dan tajam daripada mereka yang tidak menyertai parti politik. Jadi soal menjadi pasu dan tidak dapat mengkritik itu tidak benar. Tidak usah mendabik dada menjadi hero sebagai sang pengkritik kepada ahli politik dan parti politik kerana ahli politik dan anak muda dalam parti politik terlebih dahulu mengkritik parti politik dan ahli politik dari pihak lawan. Bahkan anak muda dalam parti politik sangat bebas menerbitkan kata-kata. Maka, sama sahaja kita.

Persoalan kedua adalah anak muda dalam parti politik semakin jadi bodoh dan idea tersekat dalam parti politik. Benar idea anak muda akan disekat dalam parti politik sekiranya idea itu tiada nilainya. Ya, tidak terlibat dalam parti politik kau hanya syok sendiri dengan idea sendiri. Kolektif  yang hanya ada 10 ahli dan idea yang dilontarkan itu dinilai oleh 10 orang kepala sahaja. Nilai idea itu hanya diterima oleh 10 orang. Nah, itu pun kau sudah rasa paling beridealisme dalam kolektif kau.

Sedang anak muda dalam politik, perlu mengerah kepala mereka untuk mengeluarkan satu idea yang boleh diterima oleh 1 juta ahli dalam parti. Idea ini dinilai oleh 1 juta orang. Manakan sama idea yang dinilai oleh 10 orang dengan idea yang dinilai oleh 1 000 000 orang. Kosong dibelakangnya pun sudah ketinggalan 5 kali bulat. Apakah ertinya lebih bodoh 5 kali ganda? Jawapannya terserah pada pembaca.

Ini barulah perlawanan idea yang sebenar, bukannya bersyok-syok dalam kelompok sendiri seperti kerengga yang rasa besar dikalangan keluarga semut sedang ia belum bertemu dengan sang gajah. Jika benar idea mu mahal, ayuh pertaruhkanlah dalam parti politik biar dinilai oleh orang ramai. Kita boleh lihat mana yang kecut telurnya nanti. Bahkan idea anak muda dalam politik jika diterima tadi akan dinilai pula oleh rakyat teramai dalam pilihanraya. Idea mu itu dinilai oleh siapa? Dan saat tiada penilai, kau pun membuka dada dan berbicara besar bahawa masuk parti politik itu bodoh tidak masuk parti politik itu cerdik. Walhal, kau syok sendiri.

Namun tidak apa-apa, orang yang jiwa kecil sahaja tidak masuk parti politik kerana takut ideanya ditolak. Maka, benarlah jiwa yang kecil, tempanya dikalangan yang kecil-kecil juga. Hiduplah kamu disitu menjadi busu yang menyangka dirinya gunung. Maka, tulisan kali ini membawakan dua premis utama iaitu berparti politik anda akan punya kebebasan untuk mengkritik dan juga berparti politik membuatkan anda menjadi anak muda yang kritis untuk menyumbang idea agar diterima ramai.

Bahkan anak muda dalam politik juga diajar untuk berlapang dada apabila ideanya ditolak dan digalakkan untuk terus berfikir memberikan idea yang lebih bernas. Ini bukan lah tunduk dan membisu tapi ialah disebut sebagai berjiwa besar dan berlapang dada. Sudah pasti berbeza dengan jiwa kecil yang mudah kecewa bila ideanya ditolak. Apakah kau kira idea mu itu wahyu hingga tidak bisa ditolak? Dan kau memberontak kerana idea kau tidak diterima, apakah idea kau itu tepat dan benar sekali?

Ya, kau menjadi manja dan syok sendiri dalam kolektif kau tanpa perlawanan idea yang sangat dahsyat dalam parti politik dan dengan penilaian rakyat terbanyak.

 

Kiriman: PAMI (Projek Anak Muda Islam)

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply