stateless

Kolumnis – Bekerja menafkahi keluarga, tetapi akhirnya dipenjara! Ribuan ‘stateless’ berdepan risiko ini

“Saya merayu sebab saya bekerja untuk adik-adik saya yang masih bersekolah. Adik saya dua orang masih bersekolah dan seorang lagi masih kecil. Saya juga bekerja untuk membantu ibu bapa saya.”

kompleks mahkamah tawau

Rayuan ini bergema di kamar penghakiman. Suara Sabrin, bekas pelajar Sekolah Alternatif, yang kini hanya berusaha untuk memenuhi keperluan keluarganya. Dia bukan seorang pesalah, tetapi seperti ramai yang lain, dia terperangkap dalam kekangan sistem yang tidak mengiktiraf kewujudannya.

Sabrin adalah pemegang kad Lepa-Lepa, namun mahkamah menyatakan kad itu tidak membuktikan dia seorang Bajau Laut. Dia dijatuhkan hukuman dipenjara lima bulan bukan kerana mencuri atau apa-apa jenayah, tapi kerana “kesalahan” hidup tanpa pengiktirafan negara.

sabrin bk
Sabrin: Kedua dari kiri

Aku tidak kenal siapa Sabrin, dan aku tidak pernah bertemu dengannya. Namun, kisahnya bukanlah sesuatu yang asing. Ia adalah kisah yang sama bagi berjuta-juta individu ‘stateless’ yang wujud di negara ini, khususnya komuniti Bajau Laut di Sabah.

Mereka, seperti Sabrin, tidak pernah diiktiraf oleh negara. Mereka dianggap tidak pernah wujud di mata pemerintah, hidup dalam kitaran kehidupan yang penuh ketidakpastian dan penghinaan.

Sabrin hanya ingin mencari rezeki untuk adik-adiknya yang masih bersekolah, membantu ibu bapanya untuk sekadar bertahan hidup. Namun, usahanya yang kecil itu dipadamkan oleh penangkapan, penjara, dan kemungkinan penghantaran ke Pusat Tahanan Sementara sebelum diusir dari tanah yang dia panggil rumah.

Persoalan besar yang sentiasa menghantui adalah, ke manakah mereka akan dihantar? Tiada negara yang mengaku mereka, tiada tempat untuk mereka pergi.

Baca Juga : Kisah Sabrin – Ditahan dalam perjalanan pulang memberi duit gaji kepada ibunya

Kehilangan Hak di Tempat Lahir

Sabrin dan komuniti ‘stateless’ yang lain dilahirkan di Sabah, membesar di sini, menjalani kehidupan harian mereka di sini. Namun, mereka hidup sebagai “invisible” yang tidak diakui.

Tanah ini adalah rumah mereka, tetapi undang-undang menafikan hak mereka untuk terus tinggal. Setiap kali mereka dihantar pulang, mereka bukan dihantar ke negara yang mengaku mereka sebagai warga, tetapi ke tempat yang tidak pernah menjadi negara mereka.

Mereka diusir sebagai “pendatang haram,” walaupun hakikatnya mereka tidak pernah keluar dari tanah ini. Inilah tanah kelahiran mereka, tetapi mereka diusir seolah-olah mereka tidak pernah mempunyai hak untuk berada di sini.

Kehidupan mereka terus dibelenggu oleh sistem yang tidak ada kepastian. Di mana mereka boleh membina kehidupan baru? Tiada jawapan. Di mana mereka mahu dihantar? Tiada jawapan. Hidup tanpa kejelasan, tanpa status, tanpa perlindungan dan tanpa masa depan yang pasti.

Putaran Tanpa Akhir: Nasib Jutaan Manusia ‘Stateless’

Ini bukan hanya kisah Sabrin, tetapi kisah jutaan orang ‘stateless’ di Sabah dan di seluruh dunia. Mereka hidup dalam kitaran keganasan dan kehidupan yang rencam.

Mereka adalah manusia, tetapi mereka tidak dianggap layak untuk hidup sebagai manusia. Hidup mereka terus terperangkap dalam jurang birokrasi yang membutakan kemanusiaan.

Adakah mereka meminta untuk dilahirkan dalam keadaan ini? Tidak. Namun, mereka terpaksa hidup dengan stigma, dikelilingi oleh penghinaan dan ketidakadilan.

Mereka terpaksa menanggung akibat undang-undang yang tidak melihat mereka sebagai individu yang sah, tetapi sebagai masalah yang harus diselesaikan dengan pengusiran.

Bayangkan, hidup tanpa status, tanpa dokumen, tanpa hak, tanpa pengiktirafan. Inilah kehidupan Sabrin dan komuniti tanpa negara yang lain. Setiap hari mereka perlu berjuang untuk sesuatu yang seharusnya menjadi hak asas manusia, hak untuk wujud, hak untuk diakui.

Baca Juga : Taman Taman Sabah digesa henti kezaliman terhadap aktivis, masyarakat terpinggir

Solidariti Buat Sabrin dan Ribuan Yang Lain

Apakah yang dapat kita lakukan dalam menghadapi realiti yang begitu kejam? Kita tidak boleh diam. Kita mesti bangkit dan menyatakan sokongan kita buat Sabrin, buat jutaan komuniti tanpa negara yang lain.

Hak untuk hidup, hak untuk diakui sebagai manusia, adalah hak asas yang seharusnya tidak dinafikan oleh mana-mana sistem atau undang-undang.

Ini adalah seruan solidariti. Kita mesti berdiri bersama Sabrin, bersama Bajau Laut, bersama semua komuniti tanpa negara yang terus diabaikan.

Setiap suara yang kita keluarkan, setiap tindakan yang kita lakukan, adalah sebahagian daripada perjuangan untuk memastikan mereka diakui, dihormati, dan diberikan hak yang sewajarnya.

Di akhir ini aku meninggalkan persoalan untuk difikirkan bersama kawan-kawan pembaca. Adakah mereka patut masuk semula ke rahim ibu-ibu yang berdokumen dan dilahirkan semula, agar boleh hidup dengan bermaruah?

#SolidaritiSabrin


Kolumnis ini diterbitkan oleh Hamdin Nordin – Seorang Aktivis Mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah

Leave a Reply