Oleh: Rien Sd
Pergerakan sosial semacam kolektif anak muda atau mahasiswa sudah menjadi sebentuk simbol penentangan dan bersifat responsif kepada kebejatan sosial yang belum dan tidak mampu diberesi oleh pergerakan politikal- samaada kuasa ketiga ataupun yang bernuansa kepartian- di Malaysia ini. Permasalahan kelas, alam sekitar, pendidikan alternatif, kebudayaan dan pengenalan kepada kemajmukan literasi setempat ataupun daripada budaya luar tidak tertampung oleh manusia politik dan manusia agama- yang obses fekah tanpa pembacaan yang terkait dengan pengalaman sosial masyarakatnya- di Malaysia.
Cuma, adakah dengan munculnya pergerakan sosial semacam kolektif anak muda atau mahasiswa ini mampu mendukung faham merakyat, alternatif dan kuasa apolitikal sebagai jawapan kepada masalah state (kuasa), kenifaqan para elit pemerintah (governing elite) dan kaum cukong yang mendominasi faktor pengeluaran dalam ekonomi?
Atau kolektif-kolektif ini cuma penjenamaan semula pergerakan-pergerakan sosial yang sebelum ini pernah menawarkan sesuatu yang tidak jelas letak duduknya, tidak menafaskan idealisme, dan tiada keberpihakan sehinggakan menentang manusia hegemonik itu dilihat sebagai perlawanan yang terburu-buru. Lebih cenderung untuk mempelawa koruptor bertandang ke rumah berbincang tentang rakyat sambil ketawa berdekah-dekah.
Ini adalah permasalahan- kalaupun bukan sebentuk masalah maka perlu dipermasalahkan- yang perlu difikir dan dibangunkan semula pertikaian ke atasnya. Tiada pergerakan yang jaguh di dunia ini tanpa gugatan oleh masyarakat sekelilingnya.
Namun tulisan ini tidak akan menekuni budaya kolektif dan kelompongan yang tidak tertampung dalam kalangan mereka serta fatwa sosial- sebentuk solusi massa- yang menyeluruh. Tulisan ini tidak menuju ke situ. Wacana ini sengaja dibangunkan di sebuah negeri yang audiens dan pergerakan massanya memiliki “form” tersendiri.
Antitesis Untuk Kolektif di Sabah
Sekiranya kolektif di Sabah ini dibangunkan dengan tujuan eksperimen, maka adakah eksperimen ini berjaya atau gagal? Adakah hipotetsis oleh kolektif-kolektif ini tercapai? Berapa lama untuk kita boleh mengatakan bahawa pergerakan eksperimental di bawah bayu ini telah mencapai matlamatnya atau belum? Berapa kolektif lagi yang perlu tampil- dan bertolak daripada persoalan itu- adakah dengan meriahnya pergerakan kolektif ini maka masalah sosial mampu diminimalisasikan ataupun sekadar menjadi pergerakan lambak dan menonjolkan pahlawan-pahlawan yang sejarahnya bakal diromantiskan satu masa nanti?
Antitesis ini sangat penting bagi pergerakan kolektif di Sabah- ulangkaji yang murni- untuk menyemak gaya mereka bernafas dan menafaskan pergerakan masing-masing. Walaupun di Sabah ini, pergerakan kolektif kebanyakannya masih tertunggu-tunggu fatwa sosial daripada kolektif di Semenanjung Malaysia untuk diadaptasi di sini. Ini semacam hidup dengan lidah orang lain. Syahdunya adalah permasalahan massa di Sabah tidak sama dengan Semenanjung Malaysia.
Perlawanan yang perlu ditawarkan oleh kolektif di Sabah tidak boleh berwajah cedok-cedokan dan cuplik-cuplikan. Selagi kebergantungan ini masih menjadi kamus pergerakan kolektif di Sabah maka kegelisahan kepada pergerakan politikal yang mandek itu telah bertambah. Alternatif sudah tidak lagi mewajahi dirinya yang sebenar. Kabur dan tiada lagi titik perbezaan antara masalah dan solusi.
Berkongsi-kongsi wacana tanpa mengkritisi konteks dan massa inilah yang sebenarnya mewujudkan wacana kongkongan kalangan pergerakan sosial semacam kolektif di Sabah. Jika ini terus berlanjutan maka pergerakan kolektif telah berkongsi rentak dengan lawannya.
Kolektif yang mewajahi gerakan kebudayaan di Sabah ini perlu gelisah dan khuatir atas kesepian wacana ilmu yang komprehensif dan kejanggalan masyarakat dalam menggauli literasi kebudayaan yang penting. Siapa yang akan memperkenalkan subjek-subjek penting yang pernah mengungguli tamadun-tamadun sebelum ini semisal falsafah dan sastera di Sabah? Industri buku di Sabah- tidak termasuk yang runcit-runcitan- sedang berada di mana? Penulis dan pembaca kita masih belum terpanggil untuk memuatnaik kesunyian-kesunyian ini. Menggusari dan memikul tanggungjawab untuk menasionalkan permasalahan lokal seperti ini.
Berdirinya sebuah- atau lebih- percetakan buku alternatif sepatutnya menjadi salahsatu cita-cita murni kolektif di Sabah. Atau membangun badan arkib alternatif untuk mengumpul wacana ilmu dan sejarah lokal yang bertaburan- yang pernah dihasilkan oleh pemikir/akademikus- di Sabah ini. Tiada yang akan mencatat sejarah kita, melainkan kita sendiri.
Kolektif & Massa
Namun, ketika kolektif di Sabah sudah mula mengkedepankan wacana kebudayaan yang lebih kritikal dan memperkenalkan literasi-literasi penting dalam wacana tersebut maka mahu tidak mahu, kita tetap perlu mewaspadai keriuhan wacana yang bakal membuat pergerakan sosial semacam kolektif membelakangi panggilan aktivisme yang menuju kepada aksi sosial dan massa.
Di Sabah ini, pergerakan massa masih berlenggang kangkung. Ketika sistem hegemonik menghadiahkan Sabah dengan sebuah isu yang tidak berjawab dan tidak terselesaikan seperti permasalahan orang tanpa negara, penggusuran tanah, dan ekosistem yang terlupakan, pergerakan massa di sini lebih terpanggil mengulas permasalahan nasional yang telah dituturkan oleh beratus-ratus lidah. Ratusan lidah inilah yang hanya beberapa daripadanya terpanggil untuk membicarakan permasalahan negeri ini.
Kita- kolektif di Sabah- masih belum mahir menggunakan instrumen perlawanan semisal ideologi dalam menyelamatkan masyarakat di negeri ini. Satu kem terlalu ideal- dan adakala menjadi terlalu utopis- kem yang sebelah pula sudah semacam anti-wacana dan terburu-buru menuju ke lapangan untuk aksi sosial tanpa perbekalan yang mapan. Kekaburan dalam memahami konsep inilah yang akan menjadi tumour dalam tubuh penggerak sosial ataupun aktivis di negeri ini.
Pembawakan di negeri ini perlu mesra masyarakat. Sesekali perlu menoleh kepada permintaan masyarakat. Seorang sosialis di sini perlu mengolah segala cakap-cakap arwah Karl Marx untuk dipadankan dengan konteks semasa. Begitu juga seorang anarkis, perlu menggunakan muluk-muluk yang sederhana dalam menyampaikan pesan agung pemikir mereka. Seorang islamis tidak perlu tergopoh-gopoh menukilkan teks-teks berkaitan daulah yang mereka idam-idamkan. Dua kutub ini- kutub bahasa (iaitu idealism seorang penggerak sosial) dan kutub partisipasi (masyarakat)- tidak akan bertemu dan bertembung sekiranya penggerak sosial di sini masih tidak mampu menyikapi permasalahan ini.
Membangun Fatwa Sosial
Nampaknya perlu ada blueprint– sebentuk wacana konkrit- untuk merungkai permasalahan di sini sekaligus membentuk fatwa sosial hasil daripada kompilasi corak-corak gerakan sosial yang ada di Sabah agar kita jelas menuju kemana dan semua penghasilan didanai kepada masyarakat ataupun tidak.
Sebentuk pencapaian yang berjaya oleh salahsatu kolektif seni di negeri ini adalah Pangrok Sulap. Kerja seni mereka seratus peratus merakamkan naratif yang terpinggir di negeri ini. bukan setakat menasionalkan permasalahan lokal, bahkan mengglobalkannya sehingga ke luar negara. Tanpa membelakangi peranan masing-masing kolektif di Sabah ini, setiap daripada pergerakan sosial juga ada fungsi sosialnya. Ada pemain-pemainya yang sudah menjadi figura nasional dan suara mereka sudah melangkaui sempadan negeri. Di sini ada Buku Jalanan (Keningau, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Tawau), kolektif mahasiswa semisal Borneo Komrad, kolektif seni Bentarakata dan banyak lagi pergerakan sosial yang indipenden dan memaharkan stamina anak muda untuk berkarya dan mengkritisi masalah masyarakat.
Namun, semua ini perlu dikompilasikan. Titik temu (meeting ground) kepada semua pergerakan sosial ini seharusnya untuk memihak kepada keramaian- untuk konteks Sabah iaitu kemiskinan dan hak pendidikan- serta menjuarai isu-isu yang bukan hanya seputar politikal. Penggerak sosial di sini adalah mereka yang membaca dan membincangkan buku, berkomuniti, berseni, bermuzik, dan berpuisi tanpa tertanggal daripada peranan sosial dan panggilan penting daripada masyarakat yang terpencil dan dilecehkan.
Segala perkakas yang digunakan oleh penggerak sosial dan massa di sini adalah untuk ketidakadilan, kemiskinan, alternatif dan perubahan sosial. Walaupun sebenarnya, fatwa sosial itu sendiri perlu melalui zaman-zamannya untuk dibangunkan tetapi proses perjalanan pergerakan sosial di sini perlu digugat dengan harapan kita mampu menampil sintesis yang lebih ranum daripada pembawakan sebelum-sebelum ini. Meminjam semangat Che Det (bukan Che Guevara); tidak hilang kolektif di Sabah!