CARETAKER MPPUM MEMBANTAH ICERD

1. Sejak kemerdekaan, Malaysia telah mempunyai acuan sendiri dan ditambahbaik dari masa ke semasa bagi memastikan keharmonian kaum terus dipertahankan. Negara kita tidak memerlukan campurtangan asing atau mengikut telunjuk mana-mana pihak antarabangsa untuk perkara ini. Ini kerana sejarah pembentukan Malaysia itu sendiri telah menunjukkan acuan rakyat negara kita pada hari ini yang amat berkesan dan berjaya. Malahan, negara lain yang sepatutnya mencontohi Malaysia bagaimana kita memastikan kestabilan negara walaupun dipenuhi dengan pelbagai agama dan kaum.

2. Apabila ICERD dijadikan suatu persoalan untuk ditandatangani atau tidak, rata-rata mahasiswa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak menyenangkan. Pendebatan mengenai ICERD dikaitkan dengan hak kaum walhal sebelum ini tiada siapa pernah mempersoalkannya. Keharmonian antara kaum di Universiti Malaya tidak pernah terjejas sehingga ICERD dipersoalkan.

3. Kami ahli Caretaker dengan ini MEMBANTAH kerajaan untuk menandatangani ICERD. Malah ICERD tidak harus disebut dan dibincangkan lagi samada hari ini ataupun masa hadapan kerana ia menimbulkan isu perkauman yang tidak pernah ada sebelum ini.

4. Kami juga ingin MENYERU semua mahasiswa Universiti Malaya untuk menyokong Caretaker MPPUM bagi memanjangkan suara kami kepada kerajaan bersama segala kekuatan yang kita semua miliki. Mari kita sama-sama pertahankan perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Yang menjalankan amanah,

Caretaker
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaya
2018/2019

Leave a Reply