UMANY MENYERU KERAJAAN MENANDATANGANI ICERD
Baru-baru ini, kerajaan Malaysia berhasrat untuk menandatangani suatu perjanjian PBB yang bernama ICERD atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD)). Walau bagaimanapun, hal ini telah dibantah oleh pergerakan politik seperti Pemuda UMNO and Dewan Pemuda PAS. Puak-puak tersebut telah memesongkan makna isu kandungan ICERD untuk menimbulkan salah faham dan berniat untuk menghasut sentimen rakyat. Mereka mengatakan bahawa hal ini akan melanggar Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
University of Malaya Association of New Youth (UMANY) mengutuk sekeras-kerasnya politikus yang tidak bertanggungjawab ini dan menggesa supaya pihak kerajaan dan pembangkang menghentikan tindakan yang menagih modal politik secara mudah dengan memesongkan makna dan konsep sesuatu isu dan seterusnya berniat untuk mengelirukan orang ramai.
Dengan ini, UMANY berpendapat bahawa ICERD bukan suatu undang-undang antarabangsa. Oleh itu ICERD tidak boleh menidakkan status Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini dan mencabar kedaulatan negara. Bukan sahaja tiada percanggahan antara kedua-duanya, malah ICERD juga menepati niat dan semangat asal ‘social contract’ dalam masyarakat majmuk pada awal kemerdekaan negara. Misalnya, Fasal 1(4) dan 2(2) ICERD menekankan bahawa langkah-langkah khas atau ‘affirmative action’ boleh digunapakai jika perlu. Suatu individu atau komuniti boleh mendapat perlindungan dan ruang pembangunan dalam sektor sosioekonomi dan budaya sehingga tujuan asal dicapai.
UMANY juga ingin melahirkan sokongan terhadap hasrat kerajaan untuk menandatangani ICERD. UMANY menyeru agar kerajaan tidak mudah gentar terhadap provokasi puak-puak pelampau tersebut dan mempercepatkan langkah untuk menandatangani perjanjian antarabangsa tersebut dan seterusnya dapat menunjukkan iltizam untuk menjalankan pembaharuan dan reformasi.
Hujah sokongan UMANY terhadap ICERD adalah seperti yang berikut:
1. Mempertahankan sistem sekular kepelbagaian
Malaysia adalah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama. Kerajaan seharusnya merangkakan dasar yang menjamin hak dan kebebasan semua pihak. Sekiranya ICERD telah ditandatangani, kerajaan mempunyai kewajipan untuk menjamin hak dan kebebasan yang adil dan saksama untuk setiap individu di negara ini. Kebebasan beragama, berbahasa dan berbudaya akan terjamin bagi setiap bangsa . Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berasa bangga terhadap kewujudan ciri sekularisme dan majmuk dalam masyarakat yang pelbagai di negara ini.
2. Menghapuskan diskriminasi kaum dalam negeri
Sejak Peristiwa 13 Mei, kerajaan yang lalu telah berkali-kali memperkasakan dasar-dasar berunsur perkauman. Isu-isu perkauman yang telah lama dimanipulasikan ini telah menyebabkan layanan secara tidak sama rata terhadap pelbagai kaum di negara kita. Ketidaksamarataan ini akan menimbulkan kebencian antara kaum dan menjejaskan kestabilan negara. Dengan menandatangani ICERD, kerajaan dapat menjamin hak sama rata dalam masyarakat majmuk ini dan berjanji kepada rakyat bahawa dasar berunsur perkauman akan lenyap secara beransur-ansur, semua kaum dan bangsa akan dilayan secara sama rata, dan dasar yang bersifat diskriminasi kaum akan dihapuskan sama sekali.
3. Mempertahankan kesamarataan adalah trend antarabangsa
Beberapa dekad kebelakangan ini, negara-negara di seantero dunia beransur-ansur menyokong hak sama rata dengan menandatangani ICERD. Sehingga tahun 2018, kebanyakan negara telah berjanji untuk menghapuskan semua bentuk diskriminasi, kecuali sebilangan kecil negara termasuk Malaysia yang belum menyatakan pendiriannya. Malaysia harus mempercepatkan integrasi dengan kesedaran masyarakat antarabangsa. Kerajaan perlu melahirkan sokongan mereka terhadap agenda yang selaras dengan kebebasan dan kesaksamaan rakyat dengan menunjukkan nilai demokrasi, kebebasan, kesaksamaan dan progresif yang sepatutnya termaktub dalam masyarakat.
Dasar perkauman yang dilakukan oleh kerajaan lalu bukan sahaja gagal memenuhi pemintaan di atas, tetapi juga menyebabkan banyak kesan negatif. Sehubungan itu, kita tidak harus mengulangi kesilapan yang sama.
UMANY percaya bahawa selepas menandatangani ICERD, Kerajaan perlu segera menunaikan tanggungjawabnya, melaksanakan polisi yang mengutamaan semua rakyat dan membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Kerajaan perlu mengukuhkan pendidikan sivik untuk menggalakkan dan melaksanakan nilai yang betul, supaya rakyat Malaysia era baru tidak menentang satu sama lain kerana bangsa, agama, bahasa atau latar belakang.