Kerajaan Perikatan Nasional telah gagal melaksanakan Undi18 yang sepatutnya berlaku pada Julai tahun ini. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Undi18 tidak boleh dilaksanakan pada tahun ini disebabkan penularan wabak COVID-19 dan beberapa faktor lain lagi. Alasan sebegini tidak munasabah sama sekali. Jikalau ia ditunda lagi, adakah SPR akan menggunakan alasan yang sama?

Kami Mahasiswa Malaysia meluahkan rasa kesal terhadap pengumuman daripada pihak SPR semalam di mana ianya bakal memberikan kesan terhadap 1.2 juta anak muda yang berumur 18 hingga 20 tahun. Hak anak muda telah dicabul oleh kerajaan Perikatan Nasional dengan tidak membenarkan anak muda mengundi pada usia seawal 18 tahun. Kami juga ada mendengar desas-desus yang mengatakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal dilaksanakan pada hujung tahun ini atau pada awal tahun hadapan. Di manakah logik akal kerajaan Perikatan Nasional yang seakan-akan cuba mendiamkan suara dan kebangkitan anak muda?

Kerajaan sentiasa menggunakan alasan wabak COVID-19 sebagai benteng pertahanan untuk membenarkan segala tindakan buruk yang dilakukan. Ditambah pula dalam keadaan darurat, kerajaan pada hari ini seolah-olah mempunyai kuasa veto dalam menguruskan hal pentadbiran negara. Institusi Parlimen juga digantung sejak Pengisytiharan Darurat. Kerajaan sudah mengamalkan pemerintahan diktator.

Dengan itu, kami mencadangkan beberapa solusi dalam perkara ini jika SPR dan pihak kerajaan kebuntuan idea:

  • Memberi ruang kepada anak muda berumur 18 tahun keatas untuk mendaftar mengundi jika masalah pendaftaran secara automatik sukar dilaksanakan
  • Penyelarasan bersama Jabatan Pendaftaran Negara serta Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha ini bagi mendapatkan data pengundi dan pendidikan politik

Kami mendesak agar Undi18 dilaksanakan dengan segera dan juga pembukaan institusi Parlimen yang menjadi lambang demokrasi negara Malaysia. Cukuplah alasan tidak logik dan keanak-anakan yang diberikan oleh kerajaan Perikatan Nasional. Kami, rakyat Malaysia mencintai konsep demokrasi dan Perikatan Nasional tidak layak untuk melumpuhkannya. Jika tidak mampu mentadbir, letak jawatan! Berikan peluang kepada orang lain untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

 

Kenyataan Bersama oleh:

  1. Mahasiswa HARAPAN
  2. Young Democrats Malaysia (YDM)
  3. Pertubuhan Demokrat Sosial (DEMUDA)
  4. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
  5. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM)
  6. Harmoni Malaysia

Leave a Reply